suria

“Saya terketaq-ketaq tak pernah dapat hadiah” - Itulah hikmah pemuda berhutang beri makan haiwan jalanan

Ann menerima kejutan hadiah motosikal daripada Modenas, susulan kisahnya memberikan makanan kepada kucing dan anjing jalanan menjadi tular. Foto ihsan Azman Ali

UMPAMA rezeki terpijak, pemuda yang menggunakan upahnya menjaga parkir kereta bagi membeli makanan kucing dan anjing jalanan menerima kejutan yang tidak disangka-sangka.

Anfalazie Anuar, 30, atau Ann sebelum ini terpaksa meminjam motosikal milik adiknya kerana motosikalnya sendiri rosak dan perlu menanggung kos untuk membaikinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Selekeh, tak berduit... tapi disayangi kucing, anjing jalanan, “Kalau hujan sanggup tunggu walau basah kuyup”

ARTIKEL BERKAITAN: Anjing, kucing jalanan makan 'mewah' kerana lelaki ini berhutang - "Saya makan nasi dengan telur goreng cicah kicap dah cukup"

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya dah tak berhutang lagi” - Rezeki beri anjing, kucing jalanan makan... motosikal pun ada yang nak tolong baiki!

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita Cina lancar gerakan kumpul dana, terharu tengok pemuda kurang duit gigih beri makan haiwan jalanan

Namun tuah menyebelahi Ann apabila anak syarikat DRB-Hicom Berhad (DRB-Hicom) iaitu  Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) tampil membuat kejutan dengan menghadiahkan sebuah motosikal buatnya.

(Dari kiri) Nur Balkish, Roslan, Ann, Azman, Mohd Al Safrin, Kamil Azhar dan Mohd Nur Firdaus, kakitangan Modenas di Gurun, Kedah.

Malah, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan turut turun padang ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang untuk menghadiahkan sendiri motosikal itu kepada Ann.

Ketua Komunikasi Strategik Kumpulan DRB-Hicom, Mahmood Abdul Razak berkata, Modenas menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) menaja sebuah motosikal model CT 115S bernilai lebih RM5,000 untuk kegunaan harian Ann.

"Apa yang dilakukan oleh Ann merupakan perbuatan murni dan tidak disangka-sangka. Dia wajar diberikan ganjaran sebagai penghargaan kerana bersikap penyayang kepada haiwan.

"Tajaan berupa motosikal memandangkan motosikal milik Ann rosak dan perlu diperbaiki, sehingga dia terpaksa meminjam motosikal adiknya untuk bergerak ke lokasi-lokasi bagi memberi makanan kepada kucing dan anjing jalanan," katanya kepada mStar.

Ann memberi makanan kepada kucing jalanan.

Mahmood berkata, sumbangan tersebut bukan sahaja akan lebih memudahkan pergerakan harian Ann bahkan menaikkan semangatnya sebagai pencinta haiwan.

"Kami berharap sumbangan ini dapat menaikkan semangat dan motivasi kepada Ann untuk menjadi lebih penyayang terhadap haiwan-haiwan, sekali gus memberi inspirasi kepada masyarakat untuk melakukan perkara yang sama," ujarnya.

Turut membuat kejutan buat Ann pada Khamis lalu adalah Timbalan Ketua Komunikasi Strategik Kumpulan DRB-Hicom, Nur Balkish Hood; Pengurus Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan DRB-Hicom, Kamil Azhar Mustafa dan Pengurus Pemasan Modenas, Mohd Al Safrin Md Amanti serta Azman Ali, individu yang membuat perkongsian mengenai Ann di laman sosial sehingga menjadi tular.

Sementara itu, Ann ketika dihubungi mStar meluahkan kesyukuran sambil menyifatkan kejutan seumpama itu merupakan sesuatu yang tidak dijangka dan belum pernah berlaku dalam hidupnya.

Ann memberi makanan kepada anjing jalanan.

Pemuda yang berasal dari Butterworth, Pulau Pinang itu berkata, motosikal yang disumbangkan oleh Modenas itu merupakan hadiah pertama buat dirinya.

"Saya tak pernah dapat hadiah, apatah lagi menerima kejutan. Hanya Tuhan saja yang tahu masa dapat kejutan tu, saya terketaq-ketaq (terketar-ketar).

"Memang tak terkata apa-apa masa tu sebab ia merupakan motosikal baharu pertama saya. Selama ni saya hanya menggunakan motosikal terpakai (second hand).

"Motosikal adik yang pinjam tu pun sebenarnya second hand juga, jadi bila dapat motosikal baharu saya amat bersyukur," kata anak sulung daripada tiga beradik itu dengan nada teruja.

Selain motosikal, Ann memberitahu dia turut menerima sumbangan 'duit raya' daripada Modenas bagi meringankan bebannya sekeluarga untuk meraikan Aidilfitri.

Memang tak terkata sebab ia merupakan motosikal baharu pertama saya. Selama ni saya hanya guna motosikal terpakai (second hand). Motosikal adik yang pinjam tu pun sebenarnya second hand juga.

ANFALAZIE ANUAR

Tambahnya, terdapat pihak secara individu dan berkumpulan tampil membantu memberikan sumbangan dari segi pembiayaan makanan untuk kucing dan anjing jalanan, serta ubat-ubatan bagi merawat haiwan berkenaan.

"Terima kasih kepada Modenas di atas hadiah motosikal ini. Ia memberi semangat untuk saya terus membela nasib binatang jalanan dan dengan kemudahan itu membolehkan saya untuk pergi ke lebih banyak lokasi selepas ini.

"Juga terima kasih kepada abang Azman yang berkongsi kisah mengenai saya, begitu penghargaan buat rakyat Malaysia yang menyokong dan membantu saya secara langsung dan tidak langsung. Hanya Tuhan saja yang dapat membalas budi anda semua," katanya.

Ann (tengah) dan Azman (kanan) bersama CEO Modenas, Roslan Roskan.

mStar sebelum ini melaporkan Ann memberi makanan kepada anjing dan kucing jalanan di sekitar Bukit Mertajam, yang mana pemuda itu melakukan dua kerja iaitu pekerja pembersihan sepenuh masa dan penjaga parkir kereta sambilan.

Disebabkan sumber kewangan yang terhad, Ann terpaksa membuat pusingan modal menggunakan upahnya dan pada masa sama berhutang dengan peniaga di pasar bagi membolehkannya terus memberikan makanan kepada anjing dan kucing jalanan setiap hari.

Kredit video Azman Ali

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain