SEBAGAI anak sudah tentu kita mahukan yang terbaik dan berusaha membahagiakan kedua ibu bapa kita selagi mereka masih ada. Itulah yang dilakukan lapan beradik ini apabila membuat kejutan menghadiahkan sebuah kereta Proton Saga baharu kepada ibu bapa mereka, Latifi Ismail, 59, dan Jamilah Ahmad, 57 pada Jumaat lalu. Salah seorang anak perempuan pasangan warga emas ini, Nuraina Sofia, 22, memberitahu mereka adik-beradik dan menantu sepakat menghadiahkan kereta tersebut sempena ulang tahun perkahwinan ke-39 tahun ibu bapa mereka. ARTIKEL BERKAITAN: Bapa umur 71 tahun merasa pandu kereta baharu, gugur air mata si anak ARTIKEL BERKAITAN: Sila 'sign'! Dapat hadiah motosikal tapi 'tak boleh' bawa anak dara orang'... Syarat ibu memang 'win' "Kiranya hadiah tu untuk anniversary parents kami. Tarikh sebenar anniversary mereka pada 14 April lalu tapi masa tu kami tak beli apa-apa pun lagi. "Jadi kami plan nak beli kereta dan selalunya urusan tersebut ambil masa lama. Kebetulan nak jadi rezeki, kereta tu sampai kelmarin (malam Jumaat) betul-betul dalam bulan puasa. Sofia bersama kedua ibu bapanya. "Tapi sebenarnya ia sebagai tanda terima kasih kerana membesarkan kami adik-beradik. Selalunya masa kecik-kecik apa kita nak semua abah sedia. Jadi sekarang tiba masa untuk kami balas jasa dia dan mak," kata Aina kepada mStar. Menurut anak keenam daripada lapan beradik itu, mereka memilih untuk menghadiahkan sebuah kereta memandangkan kereta lama bapa mereka kerap rosak. "Ayah memang ada satu kereta lain tapi selalu meragam kiranya dah tersadai hampir setahun... kerap rosak. Sekali nak repair itu jumlah agak tinggi. Lagipun abah saya ni berniaga makanan, jadi hari-hari kena beli barang tapi kereta tersadai. "Kebetulan kakak saya ada satu lagi kereta jadi ayah pinjam untuk pergi beli barang. Tapi selalulah ayah kata susahnya tak ada kereta. Mereka plan nak beli kereta second hand tapi kami fikir nanti sama juga takut ada macam-macam masalah. "Bila dengar abah selalu cakap macam tu, kami pun surveylah kereta dekat Proton. Tengok-tengok harga kereta tu mampu milik. Jadi kami decide beli dan kongsi bayar ramai-ramai termasuklah dengan menantu abah," katanya. Mengenai reaksi kedua ibu bapanya, Nuraina Sofia atau lebih mesra disapa Sofia berkata, mereka adik-beradik tidak menjangka orang tua mereka benar-benar terkejut dengan hadiah tersebut. "Masa tu mak abah balik tarawih. Kami terus gerak ambil kereta dekat Proton Seri Manjung kira-kira pukul 8.40 malam, lepas tu print out ucapan Happy Anniversary abah mak letak kat depan cermin kereta dan tutup pagar. Keluarga besar Sofia semasa majlis perkahwinan abang keempatnya. "Kami semua menyorok dekat sebuah kereta warna hitam di luar pagar. Kami nampak abah baca ucapan tu, dia macam tak percaya. Kami biar agak lama juga, tengok mak abah masuk dalam rumah selak-selak pintu bilik apa semua cari kami. "Bila tengok mak abah kelam kabut... kesian tengok mereka jadi kami pun keluar. Abah banyak kali ulang tak sangka sampai macam ni korang surprisekan kami. Mereka terkejut dan memang menangislah. Dia kata macam tak percaya dapat kereta baharu untuk raya," katanya. Dalam pada itu, Sofia berkata mereka adik-beradik amat gembira kerana hadiah tersebut membuatkan ibu bapa mereka menangis kegembiraan. Ayah memang ada satu kereta lain tapi kereta dah meragam kiranya dah tersadai hampir setahun... kerap rosak. Sekali nak repair itu jumlah agak tinggi. Lagipun abah saya ni berniaga makanan, jadi hari-hari kena beli barang tapi kereta tersadai. NURAINA SOFIA LATIFI "Kami pun tak sangka abah terharu sampai macam tu. Tiba-tiba terfikir hebat sangat ke apa yang kami buat. Rupanya betullah. Mereka bukan lihat pada nilai kereta tersebut tapi keikhlasan kami terhadap mereka. "Banyak kali abah cakap betul ke ni... betul ke ni. Kami pun gembira. Seronok dia rasa macam lebih daripada kita dapat kereta sendiri. Kami pun lega sebab surprise tu menjadi. Memang tak sangka mak abah boleh menangis. "Dari hari pertama kami booking tu macam-macam cara kami nak elak mereka tahu tentang surprise tu. Kami tanya apa warna mereka suka. Memang kami banyak kali bagi hint tapi abah kata dia tak terfikir dia boleh dapat hadiah kereta tu," katanya. Sofia yang berasal dari Seri Manjung, Perak memuat naik rakaman video mengenai reaksi kedua ibu bapanya semasa menerima kejutan hadiah itu di Twitter petang Sabtu. Tweet Sofia mendapat perhatian netizen. Perkongsian tersebut yang mendapat 15,700 ulang kicau dan 15,400 tanda suka turut mengundang sebak netizen. Sofia mengakui terharu dengan komen positif netizen terhadap usaha mereka adik-beradik. "Tak sangka viral sebenarnya sebab saya hanya kongsi di Twitter sekadar untuk suka-suka sahaja. Bila bangun nak sahur pagi tadi tengok-tengok dan beribu-ribu retweet. Kita rasa benda ni biasa-biasa je tapi bila tengok komen tu sejujurnya saya amat tersentuh. "Saya harap agar kisah ini menjadi inspirasi kepada orang lain untuk membahagiakan ibu bapa mereka. Terima kasih juga kepada mereka yang mendoakan agar kami adik-beradik dimurahkan rezeki. Saya turut mendoakan agar anda semua juga berpeluang membahagiakan orang tersayang," katanya.