NASIB adik lelaki bongsu, tugas mengemas rumah terpaksa digalas memandangkan semua kakak sudah berkahwin dan giliran beraya di rumah keluarga suami masing-masing. Tidak menjadi satu bebanan sebaliknya Azhar Ramlie gembira melunaskan tanggungjawab itu dengan aksi bersahaja yang cukup menghiburkan hati netizen. Video pemuda berusia 23 tahun itu sedang mengemas rumah sambil menari dan menyanyi dimuat naik ke laman Twitter menjadi tular dan menarik perhatian ramai. ARTIKEL BERKAITAN: Raya nak dekat, tapi rumah bersepah? Ikuti 7 teknik mengemas kediaman jimat tenaga ARTIKEL BERKAITAN: Dah mula packing nak balik raya? Ketahui 8 barang utama yang perlu ada dalam bagasi Menurut penuntut jurusan seni persembahan di Amerika Syarikat (AS) itu, dia dengan rela hati mengemas rumah memandangkan ibunya uzur pada masa ini. "Kami lima beradik, tiga kakak saya dah kahwin, manakala seorang lagi kakak masih bujang. Tapi dia balik lambat. "Sebenarnya dah tiga tahun tak raya di Malaysia. Sebelum ni kakak yang kemas, sekarang giliran saya pula. "Kakak balik raya di rumah mertua masing-masing. Kebetulan mak pula tak sihat, saya bagi dia rehat la," ujar Azhar sewaktu dihubungi mStar pada Selasa. Aku kalau kemas rumah macam ni la, nak hilangkan bosan punya pasal. NETIZEN Menerusi video yang dirakam pada Sabtu lalu, Azhar yang mesra disapa Achei kelihatan menyusun semula perabot di ruang tamu kediaman keluarganya yang terletak di Kemanan, Terengganu. Selain itu, dia turut membuat persiapan lain termasuk membersihkan lantai, menukar langsir dan sebagainya. Ia pantas menarik perhatian netizen sehingga menerima lebih 9,000 ulang kicau (Retweet). Malah, rata-rata netizen turut menyifatkan rakaman itu sebagai sesuatu yang 'relatable' memandangkan mereka juga harus mengemas rumah menjelang sambutan Aidilfitri pada Rabu. Azhar kini menetap di Kemanan, Terengganu bersama keluarganya. "Itu perkara biasa untuk adik yang belum kahwin. I feel you," tulis @lyndaaamohamed. "Aku kalau kemas rumah macam ni la, nak hilangkan bosan punya pasal," tulis seorang lagi netizen. Mengulas penularan video itu, Azhar mengakui tidak menyangka dengan respon yang diterimanya. "Saya rakam untuk tunjuk pada kawan-kawan sahaja. Versi penuh video pula saya masukkan di Youtube. "Ramai yang cakap mereka pun sama macam saya, kena kemas rumah sebelum raya," katanya. Foto bersama keluarganya yang dirakam beberapa tahun lalu. Azhar sebelum ini menuntut di Northampton Community College, Pennsylvania dan Purdue University, Indiana, AS Dia pulang ke tanah air pada Ogos tahun lalu. Bercerita lanjut mengenai persiapan raya, dia yang memiliki darah keturunan Bugis akan menyediakan juadah tradisi, Burasak di kediamannya pada hari raya. "Setiap tahun, kat rumah saya memang akan sediakan Burasak sempena raya," ujarnya.