suria

Hikmah bayi 33 hari menangis, ibu dalam pantang sempat selamatkan diri bersama 7 anak sebelum rumah hangus

Noor Afiza Yusof bersama bayinya, Nor Aira Qairina. FOTO: Facebook Ashy Idrus.

SIAPA yang tidak sedih seandainya rumah yang menjadi tempat berteduh sekeluarga musnah dijilat api, lebih-lebih lagi hanya beberapa hari menjelang tibanya fajar Syawal.

Tragedi itu berlaku pada Ahad lalu sewaktu keluarga malang itu sedang bersiap untuk berbuka puasa.

Sewaktu kejadian, Noor Afiza Yusof, 40, sempat menyelamatkan diri bersama suami, Che Abdullah Che Su, 54, dan tujuh anak mereka termasuk bayi perempuan yang baru berusia 33 hari.

ARTIKEL BERKAITAN: Sebak 'photoshoot' kediaman jiran rentung, “Dia kata sekurang-kurangnya ada juga gambar kenangan rumahnya”

ARTIKEL BERKAITAN: Hantaran hangus sejam selepas siap, tapi semasa kemas rumah pengantin tak sangka terjumpa sesuatu yang istimewa

Bercerita kepada mStar, kakak Noor Afiza, Rohayati Yusof, 54, mengakui sedih memikirkan kejadian itu, tambah-tambah lagi adiknya yang masih dalam tempoh berpantang.

Ujarnya, hikmah tangisan bayi Nor Aira Qairina seolah-olah menjadi petanda sebelum api marak memusnahkan kediaman itu.

"Anak bongsu yang baru lahir tu dia letak kat ruang tamu. Mujurlah baby tu menangis, jadi dia sempat pergi ambil.

Usaha memadamkan kebakaran sewaktu kejadian pada Sabtu lalu.

"Masa tu mereka sekeluarga kat dapur, sedang tunggu untuk berbuka puasa.

"Allah nak selamatkan, nak lindungi mereka, nasib baik semua tak cedera," ujar Rohayati sewaktu dihubungi pada Selasa.

Ya Allah... Dugaan di hujung bulan Ramadan. Bertabahlah atas dugaan ini.

NETIZEN

Menurut Rohayati, keluarga adiknya kini ditempatkan di sebuah rumah sementara bagi menyambut Hari Raya Aidilftitri pada Rabu.

Bercerita lanjut mengenai kejadian, Rohayati berkata, sebuah kereta Nissan Sentra milik adik iparnya turut musnah dalam kebakaran itu.

"Suami dia kerja sebagai pemandu teksi di lapangan terbang. Kereta Nissan Sentra tu yang dia gunakan untuk cari rezeki, tapi dah rosak sebab hangus.

"Kami ada beradik dekat-dekat ni turut bantu, ada juga orang bagi sumbangan pakaian untuk raya.

"Kami pun tak menolak kalau ada pihak yang nak bagi sumbangan, ringankan beban keluarga adik saya," katanya.

Sewaktu kejadian, pasukan Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa turut dikejarkan ke kediaman itu bagi membantu memadamkan kebarakan.

Kediaman keluarga itu musnah dijilat api menerusi kejadian pada Sabtu lalu.

Dalam pada itu, posting mengenai kisah malang keluarga itu turut ditularkan menerusi laman Facebook.

Malah, ramai netizen turut meluahkan rasa simpati mereka susulan kejadian itu.

"Allahuakhbar... Beratnya dugaan dah nak sambut raya. Semoga dipermudah segala urusan," tulis Zuraini Weyne.

"Ya Allah... Dugaan di hujung bulan Ramadan. Bertabahlah atas dugaan ini," tulis seorang lagi netizen.

Posting itu sehingga kini menerima hampur 2,000 perkongsian oleh pelayar Facebook.

Sesiapa yang berhasrat menghulurkan bantuan boleh menghubungi Rohayati di talian 013-9489163.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain