suria

“Rezeki dia datang seorang, ingatkan nak buat kejutan sudahnya jadi sampah”... Kerana syiling dalam sampul, budak ‘melepas’ duit raya RM10

Menyangka sampul raya hanya mengandungi duit syiling, seorang kanak-kanak bertindak membuat sampul berkenaan yang diisi dengan wang kertas RM10. Foto ihsan Muhammad Azhan Zaffuan Ramli

KANAK-kanak merupakan golongan yang paling teruja setiap kali menjelang 1 Syawal, bukan saja dapat berhari raya tetapi juga berpeluang menerima duit raya.

Amalan pemberian duit raya seakan-akan menjadi kemestian, sehingga segelintir kanak-kanak sudah mula berkira-kira berapa kutipan duit raya mereka. 

“Aku bagi duit raya dalam sampul. Saja la letak duit syiling sekali duit kertas. Tapi ada budak ni, lepas dapat duit raya, dia cakap ‘duit syiling je?’ Cakap terima kasih pun tak.

“Aku perhati dia gerak balik. Dia jatuhkan sampul tu di tengah jalan. Guys... kecil hati aku. Kot lah nak buka dulu tengok,” kata seorang pemuda menerusi perkongsian di Twitter yang tular dan diulang kicau lebih 29,000 kali.

ARTIKEL BERKAITAN: Sampul duit raya RM5 bikin panas, mak saudara bengang... “Semalam minta maaf, peluk cium pipi rupanya tak ikhlas”

Pemuda berkenaan, Muhammad Azhan Zaffuan Ramli berkata, kejadian berlaku di rumah kakaknya di Sungai Petani, Kedah pada Hari Raya kedua, Khamis lalu.

Perkongsian Muhammad Azhan di Twitter sehingga menjadi tular.

Dia yang berusia 31 tahun memberitahu, ketika itu tiada siapa di rumah melainkan dirinya yang berehat kerana kurang sihat.

“Ada seorang budak lelaki ni beri salam dan tekan loceng. Berdiri seorang di depan pintu pagar rumah. Saya keluar kata tak ada orang kat rumah, tapi jemput masuk untuk beraya. 

“Saya buka pintu pagar, tapi dia hanya berdiri dan senyap saja lepas tu kata nak duit raya. Terkejut juga, tapi saya faham budak-budak,” katanya kepada mStar.

Sampul yang mengandungi duit raya berupa wang kertas RM10 dan syiling 75 sen.

Kerana keberanian budak itu datang untuk beraya seorang, dia mengambil insiatif untuk memberi sampul duit raya yang mengandungi wang kertas RM10.

Apa yang saya kesal adalah Hari Raya ni sepatutnya kita ziarah-menziarahi dan menghargai antara satu sama lain. Duit raya tu sekadar bonus saja

MUHAMMAD AZHAN

“Rezeki dia datang seorang, ingatkan nak buat kejutan. Jadi saya masukkan sekeping wang kertas RM10 dan kemudian fikir campurkan beberapa syiling berjumlah 75 sen.

“Kalau letak duit syiling dalam sampul, memang akan timbul. Kalau pegang pun boleh rasa ada isinya kat dalam. Saja nak buat kejutan sebab saya beri RM10 untuk dia seorang saja,” ujar Muhammad Azhan yang berasal dari Taiping, Perak.

Muhammad Azhan kesal dengan kejadian sampul duit raya yang dibuang seperti sampah.

Walaupun tidak mengenali kanak-kanak itu memandangkan dia bukan penduduk setempat, namun dia dapat melihat wajah muram budak lelaki berkenaan sebaik menerima sampul berisi ‘duit syiling’ itu.

“Muka dia macam tak gembira dan senyap saja lepas kata duit syiling saja dan beredar. Saya perhatikan dari jauh, baru beberapa meter dari pintu pagar dia kemudian jatuhkan sampul tu. Saya fikir mungkin dia dah ambil duit, jadi dia buang sampul tu.

“Saya pun keluar rumah untuk kutip sampul tu. Tak elok biarkan sampul duit raya kosong jadi sampah kat luar rumah,” kata anak bongsu daripada dua beradik itu.

Lokasi sampul duit raya yang dijatuhkan, hanya beberapa meter dari pintu pagar rumah.

Namun apa yang mengejutkan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 2 di Puncak Alam, Selangor itu apabila sampul yang dikutipnya masih belum dibuka.

“Terkejut ingatkan sampul kosong je tapi masih berat dengan duit syiling. Bila dibuka, wang kertas RM10 tu masih ada dalamnya. Sudahnya jadi ‘sampah” sampai dia ‘melepas’ duit raya RM10.

“Memang rasa terkilan sebab pemberian saya ikhlas. Saya bukan nak salahkan cara mak ayah didik budak tu mahupun budak tu sendiri.

“Namun apa yang saya kesal adalah Hari Raya ni sepatutnya kita ziarah-menziarahi dan menghargai antara satu sama lain. Duit raya tu sekadar bonus saja,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
duit raya, sampul, sampah, syilling, RM10

Artikel Lain