BABAK air mata melibatkan seorang pengantin lelaki sewaktu majlis akad nikahnya ternyata menyentuh hati ramai. Menerusi satu perkongsian gambar, Nor Saiful Syazwan Abdullah dilihat tidak dapat menahan sebak sebelum dia dinikahkan dengan pasangannya, Asyikin Rozi pada April lalu. Foto itu mula tular pada minggu lalu sebelum Asyikin tampil berkongsi kisah di sebaliknya menerusi laman Twitter. ARTIKEL BERKAITAN: “Dia buat saya rasa macam masih ada emak” - Kakak enggan lepas adik, berlaku 'drama' di majlis kahwin ARTIKEL BERKAITAN: Pengakuan pengantin 'hujan air mata': “Saya tak boleh tahan lagi...” "Suami saya sebak sebab dia teringat kedua ibu bapa dia. Dia anak tunggal yatim piatu. "Sebelum akad nikah tu, tok kadi tanya latar belakang pengantin, tanya mana ibu bapa dia? Sebab tu dia sebak dan menangis. "Saya pun bagi dia tisu, saya tahan sebak. Tapi selepas akad nikah tu, saya pun menangis juga," ujar Asyikin sewaktu dihubungi mStar pada Ahad. Pasangan ini mula berkenalan sejak 2015. Kata Asyikin, majlis itu berlangsung di kediamannya di Tasik Gelugor, Pulau Pinang. Bercerita mengenai suaminya, Asyikin menyifatkan jejaka itu sebagai individu yang cukup tabah dan berdikari. Suami saya sebak sebab dia teringat kedua ibu bapa dia. Dia anak tunggal yatim piatu. ASYIKIN ROZI "Saya tak rasa apa yang dia rasa, saya kenal dia pun masa dia dah yatim piatu. "Tapi dia seorang yang kuat. Masa zaman belajar, dia sanggup buat kerja sambilan untuk tanggung kos pengajian," ujarnya yang bertemu dengan suami di sebuah institut pengajian tinggi di Perlis, sekitar 2015. Asyikin menyifatkan suaminya seorang yang cukup tabah dan berdikari. Masing-masing berusia 24 tahun, Asyikin berkata, dia juga terharu dengan komen-komen positif yang diterimanya menerusi laman Twitter. Dalam pada itu, posting berkenaan sehingga kini menerima lebih 18,500 ulang kicau (Retweet). "Sama macam husband saya. Dia anak yatim piatu since usia dia 13 tahun. Dia kata sebak sangat nak panggil mak saya dengan panggilan 'mak' sebab dah lama tak sebut perkataan tu. By the way selamat pengantin baru. Semoga berbahagia ke akhir hayat," tulis @cuwaya_. "Tetiba aku jadi sebak. Even parents aku nak balik dah lepas aku sanding pun aku dah peluk mak ayah aku nangis-nangis ini kan pulak dia anak yatim piatu," tulis @yusofhsnn.