suria

“Dia ikhlas, bukan untuk 'cover' sebarang kritikan” - Ibu Dr Amalina dedah kenapa dia menangis, kongsi apa berlaku di sebalik rawatan Ainul Mardhiah di UK

Dr Amalina merupakan pelatih pakar bedah di London, dengan sokongan ibu tercinta, Sabariah Hassan. Foto instagram dramalinabakri

DAHULU beliau pernah menggegarkan negara dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang luar biasa apabila memperoleh 17A1.

Kisah yang menjadi tajuk utama media tempatan itu berlaku pada 2004 dan kini namanya kembali meniti di bibir rakyat Malaysia apabila merintis usaha untuk merawat bayi yang menghidap ‘Germ Cell Tumour’, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin.

Menerusi pembedahan di sebuah hospital kanak-kanak di London pada Isnin lalu, ketumbuhan seberat 200 gram di mulut bayi sembilan bulan itu berjaya dikeluarkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Berjaya! Tumor 200g dikeluarkan dari mulut Ainul Mardhiah, "Perjalanan yang cukup emosi..." - Dr Amalina

ARTIKEL BERKAITAN: “Harta boleh dicari, nyawa tiada ganti” - Ramai tak sanggup tengok derita Ainul Mardhiah, rela jual barang kesayangan

Betapa besarnya cabaran pelatih pakar bedah warga Malaysia di United Kingdom (UK), Dr Nur Amalina Che Bakri untuk mengatur pembedahan bayi itu sehingga ia menjadi realiti.

Ketumbuhan pada mulut Ainul Mardhiah berjaya dikeluarkan menerusi pembedahan di London. Foto Instagram _nrlerwani

Di sebalik berita menggembirakan rakyat Malaysia terutama ibu bapa Ainul, ibu Dr Amalina berkongsi perasaan terharunya di atas usaha anak kesayangannya itu.

Mengakui Dr Amalina jarang bercerita mengenai tugasnya kerana hal perubatan begitu sulit untuk dikongsikan, Sabariah Hassan mengetahui mengenai hasrat anaknya untuk membantu merawat Ainul menerusi laman sosial Instagram doktor muda itu.

"Saya terlalu terkejut dan pada masa sama cukup terharu apabila Amalina mahu membantu Ainul dan meminta bantuan orang ramai untuk dia berhubung dengan ibu bapa bayi itu.

"Saya sebak sampai menangis kerana bersyukur Amalina mempunyai nilai insaniah yang sangat tinggi. Saya terbayang keadaan Ainul sebelum pembedahan menerusi gambar-gambar dan melihat kesakitan yang dialaminya di depan mata sendiri semasa saya berada di London, baru-baru ini," katanya kepada mStar.

Dr Amalina (kiri) bersama ibu bapa Ainul, Nurul Erwani Zaidi (tengah) dan Ahmad Safiuddin Ahmad Razak. Foto Instagram dramalinabakri

Sabariah yang baru pulang ke tanah air selepas dua minggu di London bertemu dengan anak tunggalnya itu berkata, Dr Amalina menghadapi banyak cabaran untuk membawa Ainul dan ibu bapa bayi itu ke London, termasuk kewangan dan pakar-pakar yang berpengalaman.

Menurut Sabariah, faktor kewangan juga menjadi cabaran kerana rawatan tersebut memerlukan perbelanjaan yang sangat tinggi, dan menerusi akaun Instagram, Dr Amalina menyeru orang ramai untuk menghulurkan sumbangan.

"Amalina juga merayu sana sini termasuk di akaun Instagramnya. Syukur, Allah permudahkan urusannya dengan kerjasama kenalan di UK dan pihak lain di Malaysia.

"Pakar-pakar perubatan yang hebat dan berpengalaman bukan sahaja teruja, malah mereka mempunyai sifat perikemanusiaan yang tinggi untuk menyelamatkan nyawa Ainul dan mengembalikan senyuman buat anak kecil itu dan kedua ibu bapanya," katanya.

Ibu Dr Amalina, Sabariah Hassan. Foto ihsan Sabariah Hassan

Mohon doakan Ainul

Sabariah yang juga Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Tiram di Johor berkata, Dr Amalina terlalu teruja apabila Ainul dapat dibawa ke London dengan bantuan dan kerjasama pelbagai pihak.

"Nampak wajah Amalina cukup teruja. Bukan mudah nak bawa bayi dengan keadaan yang kronik dan proses untuk menguruskan juga rumit, tapi semuanya mengikut prosedur.

"Amalina kata 'Mama, pray for me (doakan untuk saya), pray for Ainul (doakan untuk Ainul). Amalina juga meminta doa rakyat Malaysia agar Ainul disembuhkan," ujarnya.

Amalina buat dengan ikhlas, bukan untuk dipuji dan bukan juga untuk cover semua kritikan dan tohmahan yang diterimanya selama ini. Dia masih Amalina yang dulu

SABARIAH HASSAN

Sepanjang dua minggu di London, katanya, Dr Amalina sibuk dengan jadual kerjanya di hospital termasuk menguruskan hal-hal berkaitan dengan Ainul.

"Amalina selalu on call (standby) 24 jam. Tapi Amalina tak merungut kerana dia cukup suka dengan kerjanya. Malah, dia cukup bersemangat untuk berurusan tentang Ainul," katanya. 

Ainul kini stabil selepas pembedahan. Foto Instagram _nrlerwani

Dalam pada itu, ibu Dr Amalina turut berkongsi kisah di sebalik Hari Raya pertama dua beranak itu di London pada 4 Jun lalu, yang jatuh sehari lebih awal berbanding Malaysia.

"Sehari sebelum 1 Syawal, Amalina on call dan hanya balik ke rumah pukul 9 pagi esoknya pada Hari Raya. Dia berehat dulu beberapa jam sebab penat bekerja.

"Kemudian kami makan tengah hari bersama. Lepas solat Zohor, kami ke hospital dan berjumpa dengan ibu bapa Ainul. 

"Kami beraya bersama mereka, dan saya bawa ayam masak merah dan nasi tomato yang saya masak, dan kami menjamu mereka makan," katanya.

Dari kiri, Dr Amalina, Sabariah bersama ibu bapa Ainul pada Hari Raya pertama di hospital. instagram dramalinabakri

Tak peduli tohmahan

Menyedari penampilan terbaru Dr Amalina yang dikritik hebat netizen, Sabariah menegaskan bahawa dia dan anaknya tidak mengambil peduli mengenai tohmahan itu.

Menurutnya, apa yang masyarakat lihat pada Dr Amalina itulah realiti anaknya meskipun penampilannya yang dahulunya bertudung semasa di sekolah.

"Kami tak ambil kisah dan Amalina sendiri begitu sibuk dengan kerjanya, daripada mahu melayan kata-kata netizen. Biarlah orang bercerita yang buruk pasal dia.

"Dia juga dikritik kerana berada lama di luar negara, tetapi membuktikan dengan pengalaman dan insiatifnya, dia juga dapat membantu rakyat Malaysia. 

"Selama ini pun, Amalina banyak berkongsi ilmu terutama berkaitan perubatan dengan pengikutnya di laman sosial yang majoritinya adalah rakyat Malaysia," tambahnya.

Tumor yang berjaya dikeluarkan dari mulut Ainul merupakan berita paling gembira buat Dr Amalina yang juga merupakan sebahagian daripada pasukan pembedahan bayi itu.

Sabariah berharap anaknya, Dr Amalina terus merendah diri dan berbakti kepada masyarakat. Foto Instagram dramalinabakri

Namun apa yang dilakukan oleh anaknya adalah ikhlas tanpa mengharapkan pujian, dan bukan mahu membersihkan namanya di atas siri kritikan sebelum ini.

Tetap Amalina yang dulu

"Amalina sangat teruja sampai hilang rasa penatnya. Dia bersyukur sebab segalanya dipermudahkan dengan kerjasama semua pihak.

"Amalina buat dengan ikhlas, bukan untuk dipuji dan bukan juga untuk cover segala kritikan dan tohmahan terhadapnya selama ini. Dia masih Amalina yang dulu," katanya.

Sabariah berkata, dia berpesan kepada anaknya agar terus berbakti kepada masyarakat sama ada di UK, Malaysia mahupun di negara-negara lain.

"Saya mendoakan agar Ainul terus diberikan kesihatan yang baik, dan membesar menjadi seorang anak yang cerdik dan berjaya di dunia dan akhirat.

"Buat anak saya Amalina, terus kekal merendah diri dan berkhidmat kepada masyarakat dengan penuh kesabaran dan semangat insaniah yang tinggi. Saya mendoakan dia agar menjadi seorang doktor di peringkat lebih tinggi pada masa akan datang," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain