BARU-baru ini tular gambar seorang kanak-kanak lelaki terjun dalam lopak air di dalam perkarangan sebuah sekolah. Gelagat kanak-kanak itu bagaimanapun mendapat respons positif netizen yang mengingatkan mereka dengan kenangan zaman ketika kecil dulu-dulu. Rata-rata netizen terhibur dan menyifatkan kanak-kanak itu sebagai seorang budak yang berani dan bijak. Rozita Abdul Razak, ibu kepada kanak-kanak itu, Putera Muhammad Shafi'e Sak'ma, 7, ketika dihubungi mStar menceritakan kisah di sebalik insiden kelakar tersebut. ARTIKEL BERKAITAN: Yakinnya kamu! Guru kongsi kisah murid lari lawan arah, “Memang laju, dia lari all out siap mimik muka bersungguh” Menurut guru di Sekolah Agama Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, Johor itu, sebelum kejadian tersebut anaknya itu ada mengajak mereka sekeluarga pergi ke rumah bapa saudaranya yang ada kolam renang di Kuala Lumpur. "Kebetulan pak cik dia baru pindah duduk apartmen yang ada kolam renang dekat KL. Biasalah sepupu dia masa tengah berkumpul ramai-ramai waktu raya tempoh hari berceritalah dekat rumah ada kolam (renang). Jadi dia teruja nak pergi. Posting Rozita tular di Facebook. "Dia kata jomlah ummi. Saya cakap sabarlah dik nanti kita pergi cuma saya tak beritahu bila. Tunggu ummi kelapangan masa sebab ummi sibuk sedikit naik sekolah lepas raya ni. Tapi tak sangka nanti saya tu dia dah dulu terjun mandi lopak," katanya. Bercerita lanjut mengenai insiden itu, Rozita berkata dia pelik mengapa anak bongsunya yang dipanggil Imam dalam kalangan keluarga tidak muncul di pejabatnya selepas diturunkan van sekolah di tempatnya mengajar petang 16 Jun lalu. "Saya memang tahu dia selalunya akan datang dekat saya di pejabat atau duduk dekat kereta. Tapi saya rasa pelik sebab saya tunggu (dia) tak muncul-muncul. Lama jugalah saya menunggu dalam 10 minit sambil kemas-kemas barang nak balik. "Tiba-tiba kawan saya beritahu Ita anak kau main air. Kebetulan hujan baru lepas berhenti. Saya cakap tak apalah biarlah dia bahagia. Saya ingatkan memang normal anak main air kalau bukan anak saya pelajar-pelajar saya pun suka main air," katanya. Bagaimanapun sebaik sahaja Rozita keluar dari pintu pejabatnya, dia terkejut dan hilang kata-kata melihat gelagat Imam. "Keluar je dari pintu pejabat saya dah nampak dari jauh dia dah berenang dekat lopak air tu. Saya terkejut sangat. Saya istigfar, Astagfirullahalazim... Astagfirulahalazim. Saya tak boleh nak kata apa sebab dia dah basah kuyup. Gambar Syawal Rozita bersama suami dan empat anaknya. "Dalam hati kata beraninya dia tanpa minta izin saya, lepas tu pakai baju sekolah siap dengan tie sekali. Dia buat aksi betul-betul macam dalam kolam renang siap mendongak-dongak. Lagi saya terkejut budak lain siap bersorak ramai-ramai bagi sokongan. "Tapi bila saya sampai je anak murid saya jadi diam padahal tadi bersorak-sorak. Mesti mereka fikir saya nak marah atau kejar anak saya. Saya tengok dah kuyup nak buat macam mana. Lagipun tengok dia tengah seronok saya jadi kesian... saya biarkan dia," katanya. Ibu kepada empat orang anak itu turut memberitahu dia sempat merakam gelagat Imam untuk disimpan sebagai kenangan. "Kebetulan abang Imam pun ada sekali. Saya tanya mana telefon ummi, ummi nak ambil gambar. Saya tanya kenapa si abang tak larang. Abang dia cakap jangan main itu yang Imam kejar abang dia. Dalam hati kata beraninya dia tanpa minta izin saya, lepas tu pakai baju sekolah siapa dengan tie sekali. Dia buat aksi betul-betul macam dalam kolam renang siap mendongak-dongak. Lagi saya terkejut budak lain siap bersorak ramai-ramai bagi sokongan. ROZITA ABDUL RAZAK Guru Sekolah Agama Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram Johor "Dia memang suka main hujan. Jadi tak boleh terima abang dia tak bagi main air. Waktu dia berdiri tu dia tengah kejar abang dia. Saya tanya kenapa adik main lopak air. Dia jawab ummilah tak bawa mandi kolam kenapa? Saya terkedu dan waktu tu saya terus ambil gambar. "Saya pun masukkan gambar dia dekat Facebook. Kadang-kadang handphone boleh hilang tapi kalau dekat Facebook kita boleh buka dekat laptop atau mana-mana sahaja. Dibuat umur kita tak panjang ke, jadi dia boleh tengok bila-bila nanti. Kiranya untuk kenangan dia semasa di sekolah," katanya. Rozita turut memaklumkan insiden itu kepada suaminya sebelum memuat naik gambar tersebut di Facebook miliknya. Imam sewaktu majlis raya dan sambutan Hari Guru di sekolahnya. "Saya hantar gambar dekat ayah dia sebelum masuk dekat Facebook. Sebenarnya saya ada kelas malam hari tu. Saya tunjuk apa Imam buat dekat sekolah. "Suami saya kata tak apa bagi jelah dia main. Bukan buat benda salah... bukan melanggar hukum agama. Lagipun dia tak mengganggu orang lain pun. Biarlah. Kita dulu pun macam tu kan," kata Rozita menceritakan mengenai reaksi suaminya itu. Dalam pada itu, Rozita turut mendedahkan anaknya itu memang seorang yang manja, berani, lasak dan penyayang. "Dia suka explore benda yang tak sesuai dengan umur dia. Dia juga sangat suka pada binatang terutamanya kucing. Kalau dia nampak kucing waktu tengah bermain dia akan pergi peluk dan angkat kucing tu. "Bila kucing tiba-tiba datang rumah, dialah orang pertama akan bangun walaupun waktu tu tengah tengok TV. Nampaklah sikap penyayang dia lebih sedikit... dengan ibu bapa pun dia macam tu," katanya. Rozita juga berkata Imam turut dikenali dalam kalangan ibu bapa pelajar di sekolah rendahnya kerana sifatnya yang mudah mesra. "Imam ni jenis mesra dengan semua orang tak kira bangsa pun. Sampai dekat sekolah kebangsaan dia tu tak kira India ke Cina ke semua kenal dia. Dia lebih terkenal daripada saya kerana sifatnya yang suka salam dan peluk orang. Imam memang aktif dan gemar main air. "Saya takut sebab sebelum ini ada orang India jumpa saya, dia tanya ini anak awak ke? Cara dia tanya tu macam anak saya buat salah. Tapi dia kata budak ni bagus. Dia siap beritahu kalau keluar pagar dia akan peluk semua ibu bapa dekat situ sebelum dia naik van sekolah. "Tapi saya ada nasihatkan dia tak semua orang suka kena peluk. Tapi saya kenal majoriti ibu bapa dekat situ. Mereka ibu bapa kepada pelajar-pelajar saya jadi mereka kenal anak saya. Saya berani cuma saya bimbang orang tak selesa. Tapi Alhamdulillah bila orang jumpa dia mereka akan angkat tangan," katanya. Di sebalik sifat periangnya itu, Rozita turut memberitahu Imam pernah disahkan menghidap penyakit jantung berlubang ketika berusia tiga bulan. Namun Rozita bersyukur kerana masalah kesihatan Imam tidak kronik. "Imam ada masalah jantung berlubang tapi tak kronik. Waktu tu detect masa dia umur tiga bulan. Dia masih perlu menjalani rawatan macam biasa. "Cuma kalau sebelum ini (rawatan) enam bulan sekali, setahun sekali tapi sekarang setahun setengah sekali. Lagipun doktor ada beritahu akan tertutup sendiri. Insya-Allah doakan untuk Imam," katanya.