SEORANG pemuda yang hadir di kaunter imigresen baru-baru ini menjadi perhatian apabila aksinya yang dirakam semasa membuat permohonan pasport tular di media sosial. Menerusi klip video itu, dua pegawai memegang pelindung cahaya yang sekali pandang seperti ‘kipas pengantin’ di atas pemuda yang berkepala botak. “Silau sangat sampai akak imigresen kena tekup kepala,” menerusi perkongsian di laman sosial Facebook ‘Nazirul Nazrin’ yang mengundang gurauan netizen. ARTIKEL BERKAITAN: Pasport Malaysia Versi Baharu Tercantik Di Dunia? ARTIKEL BERKAITAN: ‘Pasport Malaysia’ Jadi Rebutan Hari Raya Pemuda botak berkenaan, Muhammad Faridudin Zulkapar berkata, kejadian berlaku semasa mengambil gambar untuk permohonan pasport Malaysia di pejabat Imigresen di UTC Melaka, Sabtu lalu. Farid ketika mengambil gambar untuk permohonan pasport Malaysia. Foto twitter faridbinzul Anak jati Melaka berusia 25 tahun itu memberitahu, ia merupakan permohonan pasport Malaysia yang dibuat untuk pertama kali setelah sekian lama menyimpan hasrat untuk ke luar negara. “Saya dah lama teringin ke luar negara, terutama selepas habis belajar sebab masa tu dah kerja. Tapi masa dan keadaan tak mengizinkan. “Saya buat pasport ni selepas ada rancangan untuk ke Jogjakarta pada akhir tahun ini untuk menghadiri majlis perkahwinan abang rakan saya, dan sekali untuk pergi bercuti bersama rakan-rakan,” katanya kepada mStar. Lebih mesra dengan panggilan Farid, dia tidak menyangka video yang dirakam rakan-rakan yang menemaninya ketika membuat permohonan pasport menjadi tular. “Pertama kali saya nak buat pasport, dan pertama kali kena ‘payung’ macam tu. Rasa kelakar dan malu pun ada. Tapi tak kisah gaya macam mana pun, janji pasport siap,” katanya sambil menambah bahawa pasport Malaysia pertamanya diperoleh dalam tempoh kurang sejam selepas membuat permohonan. Farid (kanan) bersama rakan-rakan yang menemaninya untuk membuat permohonan pasport. Menurut Farid yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik, dia mula botak sejak November tahun lalu selepas mengalami masalah keguguran rambut dan sejak itu, dia selesa dengan gaya berkenaan. “Tak ada nama panggilan pun, tapi sejak video saya di kaunter imigresen tu tular, rakan-rakan terus panggil saya ‘abang botak’. Saya okay,” katanya secara berseloroh, yang turut menyimpan hasrat untuk ke Paris, Perancis suatu hari nanti. Pertama kali saya nak buat pasport, dan pertama kali kena ‘payung’ macam tu. Rasa kelakar dan malu pun ada. Tapi tak kisah gaya macam mana pun, janji pasport siap. MUHAMMAD FARIDUDIN Kisah ‘abang botak’ turut menarik perhatian Jabatan Imigresen, di mana Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pasport Datuk Mohd Zulfikar Ahmad berkata, syarat dan tatacara pengambilan gambar bagi pasport Malaysia pada masa ini adalah berbaju gelap kerana berlatar belakang putih mengikut standard yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO). Farid selesa dengan gaya botak sejak November tahun lalu. Bagi kes rambut putih atau botak, beliau menjelaskan bahawa pencahayaan perlu dikurangkan bagi menimbulkan imej pemohon. “Bagi kes sedemikian, SOP (prosedur operasi standard) menetapkan kaedah penutupan flash (cahaya) kamera FLC (fixed lens camera) atau lampu di atas kepala pemohon bagi mengurangkan cahaya atau silauan. “Kaedah-kaedah lain bagi mengurangkan pencahayaan boleh dilaksanakan tertakluk kepada keadaan dan kesediaan pejabat yang menguruskannya,” ujar Mohd Zulfikar. Mohd Zulfikar Ahmad. Mengulas mengenai video yang tular, Mohd Zulfikar berkata, pelindung cahaya adalah kreativiti pejabat imigresen masing-masing bagi mengatasi cahaya yang berlebihan semasa pemohon mengambil gambar untuk permohonan pasport. “Pegawai-pegawai di imigresen UTC Melaka telah menggunakannya sejak 2016, menggunakan kadbod hitam dan batang paip PVC, hasil kreativiti mereka sendiri. “Bila ada imej yang begitu terang pada gambar pemohon, pegawai akan menggunakan pelindung cahaya itu dan istilah yang mereka gunakan adalah ‘tolong payungkan’, yang bermaksud letak pelindung cahaya tu di atas kepala pemohon yang berambut putih atau botak,” tambahnya. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) on Jun 18, 2019 at 5:11pm PDT