suria

Insiden 10 tahun lalu tular, anak terkejut ayat bapanya, pesara polis jadi pegangan “Dia cool, tak pernah cerita kejadian di tempat kerja”

SEJAK beberapa hari lalu, kisah tentang seorang anggota polis yang sanggup membantu seorang pencuri roti di sebuah pasaraya sekitar 10 tahun lalu tular di media sosial.

Namun kes kecurian itu bukan menjadi perhatian warganet sebaliknya cara dan kata-kata Sarjan Mejar Sharudin Abu Bakar, 60, dalam menyelesaikan kes itu membuatkan ramai terkesan dalam melihat sesuatu perkara itu dalam cara berbeza.

"Sekarang ini Allah bukan uji hang tapi Allah tengah uji aku untuk tengok apa aku boleh buat dengan pangkat yang aku ada bagi membantu sesama saudara yang tengah susah," katanya seperti diceritakan oleh Lans Korperal Muhamad Azizan di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: “Hati kental ni jadi sebak”- Ibu banyak berhabis untuk raya, anak 13 tahun beri hadiah 'birthday' lebih sebulan awal

Ungkapan itu meninggalkan kesan mendalam kepada sesiapa sahaja yang membacanya termasuklah Azizan sendiri yang memegang kata-kata itu sehingga ke hari ini.

Azizan yang dihubungi mStar berkata, dia sentiasa terkenang akan kejadian dan kata-kata Sharudin dalam menjalankan tugasnya dengan lebih cekap dan amanah.

Perkongsian Azizan mengenai kisah Sharudin menjadi tular di media sosial. 

"Peluang bekerja bersamanya sebelum ini memang menjadi kenangan buat saya sehingga akhir hayat kerana banyak yang saya belajar daripadanya.

"Beliau seorang yang sangat tenang, murah dengan senyuman. Kata-katanya itu memang saya pegang dan akan terbayangkan wajahnya apabila mengendalikan kes seumpamanya," katanya.

Azizan, 32, berkata, dia sempat bekerja dibawah selian Sharudin selama beberapa tahun yang ketika itu memegang jawatan sebagai timbalan ketua balai polis di Pulau Pinang sebelum mereka masing-masing bertukar ke balai berbeza.

Mengimbau kes tersebut, Azizan berkata, lelaki itu dibawa ke balai polis selepas pihak pasaraya berkenaan enggan menyelesaikan kes itu dengan baik.

Katanya, Sharudin terkesan sehingga sanggup mengeluarkan wang dari poketnya sendiri sebagai ganti rugi kepada pihak pasaraya itu sebanyak 10 kali ganda daripada nilai asal selepas mengetahui suspek mencuri dua buku roti kerana ingin memberi anaknya makan.

Seperti mana bapa yang lain dia memang tegas dengan kami empat beradik terutama tentang soal agama dan pelajaran tapi dia seorang yang 'cool'.

MOHD ZHAFRIE SHARUDIN

Anak Lelaki Sarjan Mejar Sharudin Abu Bakar

"Nilai roti tak sampai RM10 dan tiga kali aku bertanya kepada pengawal itu sama ada ingin tangkap juga? Tetapi pengawal itu juga hanya menjalankan tanggungjawabnya selain ia arahan pihak atasan pasaraya itu.

"Dalam kereta aku tanya kenapa mencuri? Dia cakap tak ada wang nak beli... curi pun sebab nak bagi anak dia makan kat rumah. Terkedu aku dengar. Dia cakap anak dia dah dua hari tak makan nasi.

"Dia cuma mampu bagi anak dia makan keropok sahaja yang berharga 20 sen sebungkus. Lepas dengar, bergenang air mata sebab terbayang anak sendiri di rumah," ujarnya.

Sementara itu, anak Shahrudin iaitu Mohd Zhafrie Sharudin, 29, pula mendedahkan bapanya itu seorang yang tegas terutamanya dalam soal pendidikan agama serta pelajaran di sekolah.

Bagaimanapun dalam ketegasannya itu, Zhafrie menyifatkan bapanya itu seorang yang peramah dan disenangi oleh rakan-rakan sekerjanya.

"Jujurnya seperti mana bapa yang lain dia memang tegas dengan kami empat beradik terutama tentang soal agama dan pelajaran tapi dia seorang yang 'cool'.

Gambar terbaharu Sharudin bersama keluarga pada Aidilfitri yang lalu. 

"Kalau ada buat kenduri di rumah memang semua rakan-rakan pejabat dia akan hadir dan mereka memang rapat," ujarnya.

Zhafrie memberitahu dia sebenarnya terkejut apabila kisah mengenai bapanya tular kerana lelaki itu tidak pernah menceritakan hal tentang kerja di rumah.

"Sekarang pun bapa sudah pencen dan banyak menghabiskan masa di rumah untuk berehat. Saya tahu pun tentang kisahnya yang viral apabila ada orang muat naik kisah bapa berserta gambarnya.

"Terkejut tu memang terkejut tetapi sebagai anak pasti saya ada rasa bangga dengannya kerana bapa sendiri tidak pernah bercerita tentang apa terjadi ketika dia bekerja.

"Alhamdulillah kisah itu menjadi inspirasi kepada ramai orang malah saya sendiri terusik dengan apa diceritakan oleh orang lain tentangnya," ujarnya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Polis, Viral

Artikel Lain