suria

Terima kasih bibik Lia! Nota dan doa buat anak majikan tersentuh, “Harap dia bersama keluarga saya lebih lama”

Wirshad terharu dengan nota kiriman bibik Lia.

HUBUNGAN rapat pembantu rumah atau bibik dengan majikan dan anak bosnya agak jarang ditemui, walaupun sebenarnya ia berlaku dalam kalangan masyarakat negara ini.

Sesetengah majikan secara tidak sengaja atau sengaja meletakkan jurang antara mereka dengan bibik, sekaligus menjadikan hubungan tidak mesra, malah ada juga yang mendera pembantu rumah dengan menyuruh mereka melakukan tugas-tugas yang tidak sepatutnya.

Namun hakikatnya masih ada majikan yang menganggap bibik sebagai sebahagian daripada keluarga sendiri dan memberi layanan baik.

ARTIKEL BERKAITAN: Nourul Wahab mengamuk, pembantu rumah pemalas tapi 'demand' gaji tinggi... “Beritahu betul-betul kalau tak suka budak”

ARTIKEL BERKAITAN: Majikan ikat pembantu rumah pada pokok kerana biar perabot kena panas matahari

Perkongsian seorang pelajar sebuah institut pengajian tinggi awam mengenai sekeping nota daripada bibik Lia meruntun hatinya.

Wan Hafiz Irshad Wan Mohd Zuhdi, 19, memberitahu, sehari sebelum meninggalkan rumah untuk menyambung pengajiannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) , dia menerima sekeping nota daripada bibiknya.

Wirshad bersama ahli keluarganya. Foto: Instagram Wir.Shad

"Saya pun tak pasti kenapa bibik menyerahkan nota itu, tetapi ketika dalam perjalanan ke universiti baru hatinya terdetik nak buka kertas itu.

"Masa tu baharulah saya sedar mengenai apa yang terkandung didalamnya. Saya ada beritahu emak dan dia cakap bibik memang sedih sebab saya dah tak ada kat rumah.

"Nak kata saya rapat dengan dia tak juga berbanding dengan tiga lagi adik beradik saya yang lain. Mereka memang rapat dengan bibik Lia," kongsinya kepada mStar.

Jelas  Wan Hafiz atau lebih mesra disapa sebagai Wirshad, biar pun tidak begitu rapat, namun dia menyedari bibik Lia ini berbeza dengan pembantu-pembantu rumahnya sebelum ini.

Dia masih baharu bekerja di rumah, lebih kurang dua tahun. Tetapi bibik Lia ini seorang yang sangat pro aktif dan tidak suka menangguh apa sahaja kerja rumah. Setiap kerja tak perlu disuruh.

Posting yang dimuatnaik Wirshad di Twitter.

"Pernah juga dia mengemas sehinggakan kadang-kadang kami tak jumpa barang sendiri walaupun tahu sebenarnya ada di tempat asal kerana terlalu kemas.

"Sikapnya yang pantas dan tidak suka menangguh-nangguh kerja itulah membuatkan saya menghormatinya.

"Lagi-lagi sikapnya yang sabar melayan karenah adik-adik saya yang berusia tujuh, 12 dan 15 tahun itu," tambah Wirshad.

Wirshad mengakui catatan bibik Lia itu menyentuh hatinya.

"Terima kasih bibik kerana membuatkan saya tersentuh dengan doa-doa. Saya memang berharap dia boleh bersama keluarga saya untuk tempoh yang lama," kata pelajar Program ASASI pintar di Bangi.

Komen-komen daripada sebahagian netizen terhadap posting Wirshad.

Dalam pada itu Wirshad memberitahu, tujuan dia berkongsi posting tersebut di laman Twitter adalah untuk menyebarkan sesuatu yang positif dalam kalangan masyarakat.

"Sebab saya sedar sejak kebelakangan ini dalam masyarakat walaupun tidak semua tapi masih ada yang memandang rendah terhadap masyarakat lain seperti orang Bangladesh, Indonesia dan sebagainya.

"Mereka selalu menyalahkan apa saja yang terjadi melibatkan bangsa, agama atau negara mereka.

"Seperti bibik dari Indonesia, ada yang selalu memberi persepsi negatif walaupun memang betul ada sifat sebegitu, tetapi kita tidak boleh samakan semua," ujarnya.

Posting Wirshad di Twitter mendapat lebih 17,000 ulang kicau dan pelbagai komen positif.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Bibik Lia, Wirshad, Nota sedih

Artikel Lain