SEDIH kerana kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata memang pedih, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Tambahan pula bukan seorang, tetapi tiga orang tersayang pergi buat selamanya dalam satu masa dan lebih menyedihkan mereka pergi secara mengejut. ‘Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’ apabila seorang gadis terpaksa dipapah masuk ke rumah sebaik menyedari ibunya meninggal dunia. ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi Tahfiz: Hilang Tiga Anak Serentak ARTIKEL BERKAITAN: Sebak... Selesai jenazah dikebumikan, balik rumah jamah nasi lemak terakhir dimasak arwah emak Sepanjang perjalanan pulang dari kerja (14 Jun) Nurul Hazwani Bazlan,23, telah merancang untuk membawa ibunya keluar makan malam. Kenangan terakhir Wanny bersama arwah kakaknya, Nurul Jannah (kanan). Mengimbas kembali insiden malang pada Jumaat lalu, katanya, segalanya berlaku begitu pantas sekali. “Memang saya rancang nak bawa mak keluar sebelah malam, tapi lain pula yang berlaku. “Sampai sahaja di rumah saya tengok ramai orang. Saya agak pelik dan hati mula berdebar. “Sepupu terus datang ke arah saya yang ketika itu masih ada dekat kereta. “Dia beritahu “mak dah takde”. Badan saya terus longlai dan pengsan di situ juga. Semua orang papah saya masuk ke rumah,” katanya ketika dihubungi mStar. Sampai sahaja di rumah, saya tengok ramai orang. Saya agak pelik dan hati mula berdebar. NURUL HAZWANI BAZLAN Kata Nurul Hawani, apabila sedar dia nampak ada tiga tilam terbentang di ruang tamu. “Saya tanya siapa lagi meninggal, namun semua orang hanya diam. “Rupa-rupanya, kakak dan anak buah saya turut meninggal dunia,” kongsinya lagi. Jelas Nurul Hazwani atau mesra disapa Wanny, pada hari kemalangan ibu bersama kakak, Nurul Jannah, 24, dua anaknya serta adik dalam perjalanan pulang dari Kuantan ke Pekan. Salah seorang anak saudara Wanny berusia 4 tahun, Nursyaffina Qalesya Mohammed Sollahuddin (kanan) turut maut dalam kemalangan. Wanny memberitahu, beberapa hari sebelum kejadian, ibu, Asnawati Muslimin,53, ada menyerahkan sesuatu kepadanya. Katanya, mereka menghadiri kenduri di Kuantan, semuanya lima orang, namun dua terselamat. “Anak buah paling kecil dan adik saya terselamat dan baharu keluar dari hospital,” katanya. Tambah Wanny lagi, beberapa hari sebelum kejadian, maknya ada menyerahkan sejumlah duit kepadanya untuk dimasukkan ke akaun ayah. “Mungkin duit simpanan mak daripada pemberian abang dan anak-anak yang lain. “Saya memang pelik sebab selalunya duit belanja mak yang simpan, tapi semasa mak bagi saya hanya ambil dan tak tanya apa-apa,” katanya. Sebahagian daripada komen-komen semangat untuk Wanny. Selain itu, katanya, kakak pula, berjumpanya malam sebelum kemalangan untuk bayar balik duit yang dipinjam. “Saya dengan kakak memang rapat memandangkan kami hanya beza umur setahun. “Malah kakak kelihatan sangat gembira menyambut hari raya pertama bersama kami tahun ini. “Sebelum ini dia beraya di rumah keluarga mentuanya,” ceritanya. Wanny mengakui sehingga kini dia seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku. “Setiap hari saya menangis. Semua orang bersedih, lebih-lebih lagi adik bongsu saya yang berusia 13 tahun tu. “Manakala ayah pula agak tenang walaupun saya tahu dia sangat sedih. “Saya dengan mak memang rapat. Dialah yang jaga makan minum dengan teratur memandangkan saya sendiri tidak sihat mengalami penyakit anemia tahun ini. “Namun semuanya takdir dan kami meneruskan hidup dengan kenangan arwah ibu, kakak dan anak buah,” ujar anak kelima daripada enam beradik ini. Wanny turut berkongsi kisah sedihnya ini di laman Twitternya. Antara salah satu statusnya: “Arwah mak dan kakak pakai beg dan purse pemberian aku sempena hari jadi mereka di saat akhir...teach me how to be strong seeing your gift from them...covered with blood...luluh hati, terduduk....” Perkongsiannya yang mendapat ulang kicau lebih daripada 7,000 turut menyentuh hati netizen yang sama-sama menasihatkannya supaya bersabar dan lebih kuat.