suria

Masih ada 'hantu'? Siasat tak mahu, pegawai imigresen Malaysia didakwa minta RM150 'shortcut' selesai kes cop pasport Singapura

Gambar halaman pasport yang dimuat naik menerusi perkongsian di Facebook Ginell Kyau pada 26 Jun lalu.

PERIKSA dulu pasport sebelum meninggalkan kaunter imigresen – demikian nasihat seorang wanita tempatan mengenai pengalaman buruknya yang didakwa dialami bersama seorang rakannya yang merupakan warga Singapura.

Dilaporkan, seorang wanita yang dikenali sebagai Ginelle Kyau berkongsi mengenai pengalamannya mendakwa seorang pegawai imigresen di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru meminta suapan, baru-baru ini.

Memetik laporan portal berita Singapura, The Indepedent, wanita itu mendakwa insiden berlaku semasa dia bersama rakannya itu mahu masuk ke negara Republik itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada cop pasport, pegawai didakwa minta rasuah RM150... ini jawab Jabatan Imigresen!

Menerusi terjemahan perkongsian di Facebook dalam tulisan Cina pada 26 Jun lalu, Ginelle memberitahu pegawai imigresen tersebut mempersoalkan mengapa tiada cop kemasukan dibuat pada halaman pasport milik rakannya itu.

Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru.

Menurutnya, mereka sebelum itu memandu dari Tuas, Singapura ke Johor Bahru pada hari yang sama tetapi tidak membuat semakan sama ada terdapat cop kemasukan pada pasport masing-masing di pusat pemeriksaan. 

“Saya masih tak mempercayainya. Malaysia masih ada ‘hantu’. Saya berkongsi pengalaman saya supaya anda semua semak pasport sebelum meninggalkan pusat pemeriksaan.

“Ia menjadi ‘masalah besar’ semasa perjalanan balik ke Singapura apabila pegawai di pusat pemeriksaan mengarahkan kami ke pejabat kerana ketiadaan cop kemasukan pada pasport rakan saya,” katanya.

Dia menyarankan pegawai tersebut membuat pemeriksaan terhadap punca kecuaian berlaku tetapi cadangan tersebut ditolak.

“Pegawai itu menolak cadangan itu dan memberitahu tidak perlu... dia percayakan saya. Atas dasar apakah ini? Ia membuatkan saya terfikir mengapa dia tidak menyiasat perkara itu sepenuhnya,” katanya.

Saya masih tak mempercayainya. Malaysia masih ada ‘hantu’. Saya berkongsi pengalaman saya supaya anda semua semak pasport sebelum meninggalkan pusat pemeriksaan.

GINELLE

Berdasarkan perkongsian tersebut, dia mendakwa pegawai itu meminta sebanyak RM150 daripada rakannya kerana ketiadaan cop kemasukan pada pasport sewaktu ketibaan di Malaysia.

“Sebaliknya, dia bagi dua cadangan... pertama kami hubungi polis, bayar RM2 dan banyak masa kami akan dihabiskan (dia kemudian tukar jumlah itu kepada RM100).

“Sejurus selepas itu, kedua kami diminta untuk bayar bagi selesaikan perkara tersebut. Pegawai berkenaan terus meminta RM150,” dakwanya.

Ginelle berkata, sebagai rakyat Malaysia, dia malu menyaksikan insiden tersebut yang membabitkan pasukan beruniform dan memohon maaf kepada rakannya warga Singapura di atas apa yang berlaku. 

Mstar sedang menghubungi Jabatan Imigresen bagi mendapatkan maklum balas berhubung dakwaan tersebut.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
CIQ, pasport, suapan, imigresen

Artikel Lain