suria

Tiada cop pasport, pegawai didakwa minta rasuah RM150... ini jawab Jabatan Imigresen!

Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru.

JABATAN Imigresen Johor kini menjalankan siasatan terhadap dakwaan salah seorang pegawainya meminta rasuah daripada seorang warga Singapura gara-gara tiada cop kemasukan sewaktu ketibaannya ke Malaysia sebelum itu.

Dakwaan tersebut dibuat oleh rakan mangsa yang merupakan seorang wanita rakyat Malaysia dalam insiden yang berlaku di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru, baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Masih ada 'hantu'? Siasat tak mahu, pegawai imigresen Malaysia didakwa minta RM150 'shortcut' selesai kes cop pasport Singapura

Bercakap kepada mStar, jurucakap Jabatan Imigresen memberitahu bahawa pihaknya menerima maklumat berhubung dakwaan berkenaan beberapa hari lalu, susulan perkongsian pengadu di Facebook menjadi tular.

“Kita telah menerima makluman berhubung dakwaan tersebut daripada pihak lain, selepas perkongsian pengadu di Facebook tular.

“Kita sedang menjalankan siasatan dengan mendapatkan maklumat dan butiran terperinci berhubung kejadian sebelum mengambil sebarang tindakan,” katanya.

Halaman pasport milik rakan pengadu yang merupakan warga Singapura. Foto Facebook Ginelle Kyau

Dalam masa yang sama jurucakap itu menasihatkan agar pengadu berkenaan tampil membuat laporan kepada jabatan tersebut bagi memudahkan siasatan dilakukan membabitkan pegawai mereka sebagaimana yang didakwa di laman sosial.

“Dakwaan tersebut membabitkan isu salah laku dan integriti pegawai kami. Semua pihak seharusnya membuat aduan atau laporan mengikut saluran yang betul, bagi memudahkan siasatan dijalankan.

“Ini kerana kita perlu mengetahui butiran lengkap kejadian seperti lokasi, tarikh dan masa. Butiran-butiran akan menentukan kesahihan dakwaan tersebut,” katanya.

Dakwaan tersebut membabitkan isu salah laku dan integriti pegawai kami. Semua pihak seharusnya membuat aduan atau laporan mengikut saluran yang betul, bagi memudahkan siasatan dijalankan

JURUCAKAP IMIGRESEN

Mengambil serius dakwaan tersebut, kata jurucakap itu, Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi mengenai pegawai yang terlibat dalam rasuah.

“Jika siasatan mendapati benar ada pegawai yang meminta suapan seperti yang didakwa, kita akan mengambil tindakan tatertib,” katanya sambil menambah bahawa tindakan tersebut bergantung kepada hasil siasatan.

Memetik laporan portal berita Singapura, The Indepedent, seorang wanita tempatan mendakwa insiden berlaku semasa dia bersama rakannya, seorang warga Singapura mahu memasuki ke negara Republik itu.

Menerusi terjemahan perkongsian di Facebook Ginelle Kyau dalam tulisan Cina pada 26 Jun lalu, dia mendakwa insiden bermula selepas pegawai imigresen mempersoalkan ketiadaan cop kemasukan dibuat pada halaman pasport milik rakannya itu.

Dia menyarankan pegawai tersebut membuat pemeriksaan terhadap punca kecuaian berlaku tetapi cadangan tersebut ditolak.

Berdasarkan perkongsian tersebut, dia mendakwa pegawai itu meminta rakannya sebanyak RM150 kerana ketiadaan cop kemasukan pada pasport sewaktu ketibaan di Malaysia.

“Sebaliknya, dia bagi dua cadangan... pertama kami hubungi polis, bayar RM2 dan ambil banyak masa kami (dia kemudian tukar jumlah itu kepada RM100).

“Sejurus selepas itu, kedua, kami diminta untuk bayar bagi selesaikan perkara tersebut. Pegawai berkenaan terus minta RM150,” dakwanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
pasport, Singapura, CIQ, imigresen, rasuah

Artikel Lain