suria

Bangun tidur, terus ajak kekasih balik kampung sebab nak peluk Islam... selepas 4 bulan, pemuda ini kejutkan rakan pula!

Alex membuat kejutan kepada kawan-kawannya dengan mengumumkan tentang dirinya yang sudah bertukar agama di Twitter.

“MUALAF atau tidak kita semua adalah sama,” demikian pandangan saudara baharu Alexander D Santiago.

Pemuda kelahiran Kuala Lumpur berusia 24 tahun ini bergelar mualaf selepas memeluk Islam pada Februari lalu, tetapi hanya memberitahu rakan-rakannya tentang perkara ini menerusi satu posting di media sosial pada Sabtu.

Dalam posting tersebut, Alexander mengucapkan 'Assalamualaikum' kepada rakan-rakannya di Twitter yang beragama Islam, berkongsi kad perakuan Muslim sebelum ia tular.

Bercerita detik awal hatinya ingin memeluk Islam, jejaka yang lebih mesra disapa Alex ini memberitahu niatnya untuk 'berhijrah' sudah lama dipendam.

ARTIKEL PENUH: "Dia istimewa kena tolong lebih sedikit...” Ibu bangsa Cina sanggup hantar anak OKU Muslim ke masjid, daftar sekolah tahfiz

ARTIKEL PENUH: Sampainya hati! Baru sehari peluk Islam, dah ada yang tipu mualaf, “Menangis bukan sebab duit tapi sebab nak al-Quran”

Bagaimanapun menurut Alex, ia berlaku pada awal pagi 9 Februari lalu selepas tersedar daripada tidur.

Alex bersama tunangnya, Nur Amira.

Katanya, tarikh itu dipilih kerana teman wanitanya, Nur Amira lahir pada bulan September (9) dan kebetulan Februari adalah bulan untuk pasangan kekasih (Valentine's Day).

“Sebenarnya saya sudah biasa dikelilingi kawan-kawan pelbagai bangsa memandangkan saya tinggal di sebuah taman perumahan bersama nenek dan ramai kawan saya berbangsa Cina, India dan Melayu.

“Membesar dalam komuniti yang pelbagai bangsa membuatkan saya lebih matang dan untuk memilih jalan hidup sendiri. Tetapi, minat saya kepada Islam semakin mendalam apabila berkenalan dengan seorang gadis yang berjaya membuka hati saya," katanya kepada mStar.

Tidak semua kita perlu ubah. Bagi saya apa yang penting adalah keyakinan dan kepercayaan dan sentiasa berniat baik.

ALEX

Mualaf

Menurut Alex, kawan-kawannya sebelum ini sering mengajaknya untuk memeluk Islam, tetapi mengakui rasa takut menghantui dirinya.

“Satu hari selepas bangun tidur saya terus ajak teman wanita saya balik ke kampungnya di Ipoh untuk mendaftar masuk Islam.

“Masa tu ibunya gembira sangat dengan keputusan yang saya buat ini dan membawa saya ke Masjid Muhammadiah (Masjid Cina). Saya terkejut berjumpa dengan Ustaz Hafiz Ng yang juga mualaf.

“Dan dialah yang ‘convert’kan saya ke Islam dan banyak memberi nasihat untuk saya,” katanya.

Kad perakuan memeluk Agama Islam yang dikongsi Alex.

Menurut Alex, dia berasa bersyukur kerana perjalanan untuk memeluk Islam dipermudahkan semuanya.

“Ibu bapa saya memang menyokong apa sahaja keputusan hidup saya sendiri kerana saya sudah dewasa.

“Apa yang penting bagi mereka saya gembira dengan jalan yang saya pilih.

“Kawan-kawan juga banyak membantu dari segi memberi pandangan serta membuka fikiran saya untuk melihat lebih jelas apa yang saya mahu dan apa itu ‘tujuan hidup’. Alhamdullilah, saya kini lebih tenang,” ujarnya.

Sebahagian daripada sokongan yang diterima Alex di laman Twitter. Statusnya memeluk Islam mendapat lebih 9,000 ulang kicau.

Jelas Alex dia masih mengekalkan namanya walaupun sudah memeluk Islam.

“Tidak semua kita perlu ubah. Bagi saya apa yang penting adalah keyakinan dan kepercayaan dan sentiasa berniat baik.

“Semua manusia sama saja dan tidak perlu timbul perbezaan agama dan bangsa.

“Saya juga tidak menyangka ramai yang memberi sokongan selepas berkongsi kad perakuan memeluk Agama Islam di media sosial.

“Terima kasih kepada semua. Doakan yang terbaik untuk saya ya,” jelasnya yang bakal mendirikan rumah tangga hujung tahun ini.

Posting Alex mengenai kisah dia memeluk Islam mendapat lebih 9,000 ulang kicau.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
mualaf, peluk Islam, tunang

Artikel Lain