KUCING adalah seekor haiwan namun sering kali terjadi tingkah laku yang ditunjukkan mampu menceritakan segalanya. Selain menjadi haiwan peliharaan, ramai juga yang menganggap kucing sebagai sahabat. Nur Iylia Malek atau mesra disapa Iylia memuat naik gambar seekor kucing yang jelas kelihatan sugul betul-betul di tepi jenazah tuannya yang juga bapa saudara gadis itu di laman Twitter miliknya. ARTIKEL BERKAITAN: “Ayah jalan ke surau, Johnny teman” - 2 tahun depan pagar, anjing ratapi pemergian penjaganya... terima kasih tuan ARTIKEL BERKAITAN: Ramai sayu, anak OKU tak menangis kebumi bapa, siap ucap 'bye'... 3 hari kemudian, apa yang jiran nampak mengejutkan keluarganya! ARTIKEL BERKAITAN: Pelik... semua kucing tiba-tiba murung, rupanya petanda 'tuan' meninggal dunia Apa yang lebih menyedihkan apabila kucing kesayangan arwah Md Jais Jaapar yang dipanggil Messi itu langsung tidak menjamah makanan selama dua hari dan hanya duduk termenung selepas kematian tuannya. Posting tular di Twitter menunjukkan Messi duduk bersebelahan jenazah tuannya. "Messi duduk bersama keluarga arwah bapa saudara sejak 2006 dan baru-baru ini ketika dia meninggal, Messi langsung tak makan dua hari. "Messi ini sebenarnya dah dibela sejak kecil dan setiap kali arwah panggil dari jauh, Messi mesti akan berlari terus datang kepadanya. "Dalam semua ahli keluarganya, Messi lebih rapat dengan bapa saudara saya berbanding yang lain," ujarnya ketika dihubungi mStar. Menurut Iylia, Md Jais dijemput Ilahi pada usia 75 tahun akibat penyakit kanser pundi kencing. Iylia mengaku turut terkesan dengan tingkah laku Messi. Sementara itu, wanita berusia 27 tahun ini turut memberitahu Messi juga menunjukkan tanda-tanda pelik sebelum arwah mendapat tahu tentang penyakit yang dihidapinya. "Mak saudara saya ada cerita, sebelum arwah dapat tahu dia menghidap penyakit kanser pada Februari lalu, Messi duduk menghadap ke sofa seolah-olah dia tahu tuannya sedang sakit pada masa itu. "Seminggu sebelum arwah meninggal, Messi langsung tak datang dekat katil arwah... kalau kita angkat dia ke katil pun dia tak nak, dia terus lari ke dapur," katanya yang merupakan anak kedua daripada empat beradik. Messi menunjukkan reaksi pelik sebelum tuannya disahkan menghidap penyakit kanser. Selepas ketiadaan Md Jais, barulah ahli keluarga sedar tingkah laku Messi yang telah dibela selama 13 tahun memberikan beberapa maksud tersendiri. Dalam pada itu, posting yang dimuat naik Iylia di laman Twitter telah diulang kicau lebih 12,200 kali dan mendapat 13,200 tanda suka sejak 27 Jun lalu. Gambar yang dimuat naik Iylia menunjukkan Messi kelihatan sugul di sebelah jenazah tuannya ternyata mendapat pelbagai reaksi daripada netizen. "Messi nampak tua, please jaga elok-elok for me," komen salah seorang netizen @pikahtheline. "Sedihnya, mata masuk habuk," komen @Nurulain.