suria

“Saya tak mau ada yang mati” - Uncle Cina gigih angkut tar, disangka buang tabiat cangkung tengah jalan

Seorang warga emas membawa dua bakul berisi tar untuk menampal jalan berlubang. Foto ihsan FaezBo

BAHAYA, itu yang boleh diperkatakan apabila melihat individu yang bertindak berdiri di tengah jalan yang sibuk.

Namun, seorang warga emas seperti tidak mempedulikan bahaya yang mendatang apabila mencangkung di tengah jalan, di siang hari.

“Tadi masa aku jalan naik motor melalui Jalan Kuning di Taman Pelangi Johor Bahru, aku ternampak orang cangkung tengah jalan.

“Bila aku perhatikan betul-betul seorang warga emas, uncle Cina tua yang mencangkung atas jalan sedang menimbus jalan-jalan yang berlubang di tengah jalan.

“Dari mana entah dia dapat tar-tar lebih dia kutip masuk dalam baldi yang dia bawa ke hulur hilir? Semoga Allah membalas jasa budi baik uncle ni!,” demikian perkongsian seorang pemuda di laman sosial Facebook yang menjadi tular.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia agih sampai habis semua” - Feri rosak, coklat mahal penumpang Cina jadi 'korban' iftar, lelaki ini buktikan rasis sikap individu!

ARTIKEL BERKAITAN: "Pakcik Abdul Kadir berhati mulia" dijemput Ilahi semasa selamatkan kucing

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda India tolak perbezaan warna kulit, agama bantu cari Acap, “Cubit paha kanan, paha kiri terasa”

Pemuda berkenaan, Mohd Faizal Abd Mahad berkata, kejadian berlaku semasa dia menunggang motosikal untuk membuat penghantaran makanan kepada pelanggan.

Seorang warga emas menaiki basikal selepas menampal jalan berlubang.

Lebih dikenali sebagai FaezBo, pemuda berusia 29 tahun itu memberitahu dia sering lalu di jalan tersebut kerana ia telah menjadi laluan utama oleh penduduk tempatan.

“Ketika itu saya menuruni bukit dan dari jauh nampak uncle Cina tu mencangkung di tengah jalan di laluan bertentangan. 

“Saya terfikir, apa benda yang uncle ni buat? Dah buang tabiat agaknya, waktu tengah hari panas terik boleh pula dia mencangkung tengah jalan,” katanya kepada mStar.

Perkongsian FaezBo mengenai kemuliaan hati  seorang'uncle Cina' yang menjadi tular.

FaezBo berkata, kelakuan pelik uncle Cina itu membuatkan dia memberhentikan motosikalnya di tepi jalan selain bimbang warga emas itu dilanggar kenderaan lain.

“Bayangkanlah dia mencangkung di tengah jalan tak pandang kiri kanan. Tak ambil kisah pasal bahaya pun kalau ada kereta atau motosikal yang akan lalu lalang.

“Tapi bila saya nak datang dekat, uncle tu dah bangun pergi ke tepi jalan dan ambil basikal dia. Saya nampak ada dua baldi kecil di kiri kanan pemegang basikalnya.

“Bila saya pergi ke tengah jalan tempat uncle tu mencangkung, saya nampak ada beberapa kesan lubang yang sudah ditampal atau diturap dengan tar,” katanya.

Ada yang tegur uncle ni sebab apa yang dia membahayakan diri dia, tapi katanya ‘biar saya tutup lubang ni dulu, kalau tak... nanti kereta, motor lalu boleh accident, saya tak mau ada yang mati’.

UNCLE CINA

Menurut FaezBo, warga emas tersebut kemudian beredar dan dia sempat melihat saki-baki tar di dalam kedua-dua baldi pada basikalnya.

Beberapa 'tampalan' di jalan yang dilakukan oleh seorang warga emas di atas inisiatifnya sendiri.

Dalam pada itu, anak jati Johor Bahru itu turut berkongsi pengalamannya nyaris terlibat dalam kemalangan motosikal akibat melalui jalan tersebut yang berlubang.

“Februari lalu, saya hampir tergolek sebab terlanggar lubang di situ, mujur saya sempat mengelak. Tapi rakan saya tidak bernasib baik apabila terjatuh semasa melalui jalan yang sama pada akhir tahun lalu. Dia cedera dalam kejadian tu,” katanya.

FaezBo berkata, perkongsiannya turut mendapat pelbagai reaksi netizen yang turut mengenali warga emas itu kerana menampal jalan berlubang di beberapa kawasan.

“Ramai juga yang nampak uncle ni mencangkung tengah jalan untuk tutup lubang walaupun terpaksa menggadaikan nyawa demi orang lain.

“Ada yang tegur uncle ni sebab apa yang dia membahayakan diri dia, tapi katanya ‘biar saya tutup lubang ni dulu, kalau tak... nanti kereta, motor lalu boleh accident, tak mau ada yang mati’. Terharu saya dengan kemuliaan uncle ni, semoga urusannya dipermudahkan,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
uncle, Cina, tar, jalan berlubang

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan