KISAH sedih seorang lelaki yang tidak mampu membayar caj RM2,000 untuk urusan pengebumian isteri tercinta mengundang sebak netizen. Namun urusan pengebumian tersebut dipermudahkan menerusi bantuan Mohd Zulhairi Zainol yang sering melakukan kerja amal dalam menguruskan perjalanan terakhir jenazah di muka bumi ini serta proses pengebumian. Perkara itu dikongsi pemuda tersebut di Facebooknya dan mendapat pelbagai reaksi netizen. ARTIKEL BERKAITAN: “Bayi sempurna, urusan cepat” - Dipermudah selepas 'ditolak' kerana duit urus jenazah tak cukup RM300 ARTIKEL BERKAITAN: “Peliknya atas baldi tu ada bekas kapur barus”- Anak Musa Hassan dedah ibu sempat letak kain kapan di ruang tamu sebelum meninggal Menurut perkongsian itu, Mohd Zulhairi atau lebih mesra disapa Hery bersyukur kerana segalanya berjalan dengan lancar dan selesai dalam waktu yang singkat. "Alhamdulillah dapat bantu pakcik ni kematian isterinya pukul 10 pagi tadi (Rabu). Ada hamba Allah ni sungguh baik dan dia antara penyumbang Hery. "Dia call Hery mengatakan ada kematian dan perlukan bantuan untuk mandi, kafan solat dan urusan kebumi," katanya yang juga aktivis Amal Team. Hery aktif melakukan kerja amal dalam menguruskan jenazah dan pengebumian. Jelas Herry, lelaki tersebut hanya perlu membayar caj RM450 berbanding RM2,000 yang dikenakan terhadapnya sebelum itu. "Hamba Allah ni katakan akan dikenakan caj RM2,000 untuk segala urusan dan terlalu mahal untuk dibayar pakcik ni. "Jadi Hery terus membantu supaya pakcik ni supaya tidak diambil kesempatan atas kesedihannya," katanya. Lihat muka pakcik tu. Sedih baru kematian isteri lagi nak kenakan caj RM2,000, Ya Allah mahal sungguh. MOHD ZULHAIRI ZAINOL Tambah Hery dia turut meminta bantuan pasukan muslimah untuk urusan mandi jenazah isteri lelaki itu. "Disebabkan jenazah perempuan, jadi Hery call team muslimah untuk mandikan. Hery bawa van, imamkan dan terus bawa jenazah ke kubur. "Pukul 1.30 tengah hari selesai semua. Pakcik ni hanya bayar duit kubur sahaja RM450. Hery dapat jimatkan duit pakcik ni dari diambil kesempatan oleh orang yang tidak bertanggungjawab," katanya. Gambar reaksi pakcik tersebut dikongsi Hery di Facebooknya. Dek kecewa dengan caj melampau itu, Hery berkongsi beberapa keping gambar reaksi sedih lelaki itu semasa di kawasan perkuburan. "Lihatlah muka pakcik tu, sedih baru kematian isteri lagi nak kenakan caj RM2,000. Ya Allah mahal sungguh," katanya. Pada masa sama, Hery turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang membantu urusan tersebut. "Terima kasih kariah masjid kampung yang sama-sama membantu dan izinkan team muslimah menggunakan bilik mandian untuk mandi dan kafankan arwah secara percuma. "Terima kasih juga brader Matnoor sponsor urusan kubur untuk pakcik ini. Alhamdulilah selesai," katanya.