suria

“Saya minta maaf, sejak kecil lagi diajar oleh tok makan durian pakai camca garfu” - Tunku Azizah kongsi tip makan raja buah

Tunku Azizah berkongsi posting mengenai durian di Twitternya pagi Jumaat.

MUSIM durian kembali lagi. Penggemar durian pastinya tidak akan mensia-siakan peluang untuk melepaskan gian mereka di saat raja buah itu mudah didapati.

Malah ramai yang turut berkongsi keterujaan mereka menikmati buah itu di media sosial masing-masing.

Namun perkongsian Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Twitter mengenai durian menjadi tumpuan netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Saya panggil ini 'kecederaan media sosial' - Tengku Puan Pahang

ARTIKEL BERKAITAN: Gelabah Penjual Durian, Tunku Azizah Buat Lagi Kejutan

Dalam posting itu, baginda memohon maaf kerana makan buah tersebut menggunakan sudu dan garfu.

Tweet Tunku Azizah menarik perhatian netizen.

Tunku Azizah bertitah cara itu menjadi amalan baginda untuk mengelak tangan berbau.

"Saya minta maaf, sejak kecil lagi diajar oleh tok saya makan durian pakai camca garfu supaya tangan tak berbau.

"Begitu juga dengan rambutan, siap dikupas dan dihiris. Manggis juga begitu!" tulisnya.

Posting yang dimuat naik bersama gambar seulas durian yang diletakkan di dalam pinggan bersama dengan sudu dan garfu mendapat 1,300 ulang kicau dan 2,600 tanda suka.

Rata-rata netizen memberi reaksi positif terhadap perkongsian Tunku Azizah yang dianggap sebagai satu tip bermanfaat untuk penggemar durian.

"Tips yang bagus Tuanku!," kata Fazri Hassan.

Tunku Azizah pernah tular di media sosial dua tahun lalu selepas gelagatnya yang bersahaja membeli durian tanpa sebarang protokol mendapat pujian netizen.

"Setuju Tuanku. Semenjak kecik saya makan durian tak pakai tangan saya. Semasa kecik emak yang suapkan. Sekarang isteri yang suapkan tapi durian saya kopekkanlah," kata seorang lagi pelayar Twitter.

Tunku Azizah dikenali antara penggemar raja buah itu. Baginda pernah tular dua tahun lalu apabila reaksi bersahajanya berborak dengan seorang peniaga durian yang tidak mengenali dirinya mendapat pujian ramai.

Isteri kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu sempat menikmati buah itu dari gerai lelaki berkenaan yang berada di tepi jalan tanpa sebarang protokol.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
durian, sudu, garfu, Tunku Azizah

Artikel Lain