SELEPAS empat hari terpisah, naluri pasangan suami isteri ini merasakan bagai ada sesuatu yang tidak kena terhadap Amanda Qaleesya, sekali gus mendorong mereka berusaha mencarinya semula. Sebelum itu, pada 3 Julai lalu insiden tidak diduga menimpa Sazlizam Ariffin serta isterinya, Faridah Mat Desa apabila dengan berat hati terpaksa menyerahkan anak jagaan mereka itu kepada ibu kandungnya, seorang warga Indonesia, selepas tujuh tahun mencurahkan kasih sayang. Bercakap kepada mStar, dek kerana tidak tahan menanggung rindu, Sazlizam bertindak mengambil semula budak perempuan itu di kediaman majikan ibu kandung Amanda yang terletak di Bukit Kuda, Klang. "Saya sedaya upaya mencari maklumat di mana tempat tinggal ibu kandung Amanda. "Selepas memperoleh maklumat itu, pada Ahad 7 Julai kira-kira pukul 9 malam, saya ke rumah berkenaan. Kebetulan, ibunya tiada di rumah, kemungkinan keluar bekerja. “Sebaik melihat saya, Amanda berlari dan memeluk saya sebelum mengadu ditampar serta dipukul jika tidak mendengar kata ibunya," demikian kata lelaki yang menjaga kanak-kanak itu dengan penuh kasih sayang sejak berusia dua bulan. Surat tulisan tangan Amanda yang diberi khas buat ibu angkatnya. Sazlizam menambah, Amanda juga mengadu dipaksa berdoa di gereja kerana ibu kandungnya adalah penganut agama Kristian. “Amanda dipaksa masuk gereja, makan daging khinzir tetapi Amanda menangis hingga dipukul dan ada masanya dia mahu mengurung Amanda dalam stor kerana tak nak dengar cakap," dakwanya mengenai tindakan wanita yang bekerja di kantin kilang di Klang. Kata lelaki berusia 37 tahun ini, dia faham situasi ibu kandung Amanda yang perlu mentaati agama yang dianutinya, namun berpandangan wanita itu tidak seharusnya bertindak memaksa budak kecil itu. Gambar kenangan Sazlizam sekeluarga bersama Amanda ketika menyambut Aidilfitri baru-baru ini. Sementara itu, Sazlizam turut memberitahu dia dan isterinya telah mendapatkan hak penjagaan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak menjaga Amanda pada 2012. Katanya, ketika warga Indonesia itu menyerahkan Amanda pada April 2012, dia hanya membawa anaknya sehelai sepinggang. Sazlizam dan Faridah mengambil keputusan untuk mengambil anak angkat selepas empat tahun berkahwin. Bagaimanapun, selepas lima tahun menjaga Amanda, pasangan ini dikurniakan zuriat. Disebabkan hubungan Amanda bersama keluarga angkatnya sangat rapat dan perpisahan sementara yang berlaku sungguh meruntun hati dan perasaan mereka. "Sejak berpisah minggu lalu, setiap hari isteri saya menangis kerana rindukan Amanda, dia sangat rapat dengan kami sekeluarga dan celotehnya menghiburkan kami semua. "Surat ditulis Amanda bertajuk 'Selamat Hari Mummy' adalah memori manis yang akan dikenang selamanya," katanya yang berasal dari Pelabuhan Klang, Selangor. Dalam pada itu, posting dimuat naik Sazlizam di laman Facebook miliknya mendapat pelbagai reaksi netizen sehingga mendapat hampir 3,000 perkongsian. Rata-rata netizen terkesan dengan peristiwa yang dialami Sazlizam sekeluarga dan mendoakan yang terbaik buat mereka.