suria

“Abang saya mula dari bawah” - Bapa dah lama tiada, ‘membawang’ masih ada... anak arwah Aziz Desa jawab tuduhan guna kabel

Mas Zhafir (kanan) tampil mempertahankan abangnya yang juga pembaca berita, Mas Zharif. Gambar kecil, Allayarham Aziz Desa.

TINDAKAN segelintir netizen yang mendakwa pembaca berita TV9, Mas Zharif Zhafri menggunakan pengaruh arwah bapanya, Allahyarham Aziz Desa untuk mendapat pekerjaan ternyata tidak disenangi ramai.

Perkara itu turut mendapat perhatian seorang lagi anak Allayarham iaitu Mas Zhafir Zhikri yang mana dia meluahkan rasa kurang senangnya dengan tuduhan berkenaan menerusi laman Twitter.

ARTIKEL BERKAITAN: Mas Zharif Hiba Bekerja Di Tempat Arwah Bapa

ARTIKEL BERKAITAN: Wartawan kena sondol, netizen kata “lain kali jangan halang lembu nak masuk TV”

"Dekat sini nampak sangat dah perangai buruk orang kita. Tak boleh tengok orang lain senang.

"Ada ja benda nak membawang. Takpela bang, lepas ni print sijil degree kau besar poster tampal depan rumah," tulisnya sehingga menerima lebih 2,000 perkongsian di Twitter.

Antara komen negatif di media sosial.

Mesra disapa Mas Zhafir, dia turut memuat naik paparan skrin komen negatif segelintir netizen yang mendakwa abangnya mendapat kerja kerana menggunakan 'kabel'.

Bercerita kepada mStar, jejaka berusia 23 tahun itu mengakui sudah terbiasa melihat komen negatif di media sosial termasuklah yang mempermainkan nama arwah bapanya.

"Bagi saya, kabel atau networking tu satu kelebihan kalau kita baik dengan orang. Tapi ia bergantung kepada kelayakan juga. Sebagai adik, saya tahu abang ada bakat, ada kelayakan dan berusaha keras. Bergantung pada industri juga, kena ada bakat. Abang saya pun mula dari bawah.

Mas Zhafri menemani Allayarham Aziz Desa ke set rakaman Nasi Lemak Kopi O (NLKO) TV9.

"Selalu juga nampak posting di Facebook, bila baca komen nampak ada yang permain nama ayah. Desa tu sebenarnya nama arwah atuk.

"Harap mereka tak kaitkan nama arwah atuk dengan kampung atau desa. Itu nama orang-orang lama," ujarnya sewaktu dihubungi pada Rabu.

Saya sangat terharu. Rasa terimbas balik ikut ayah pergi bertugas dulu. Selain abang yang jadi pembaca berita, adik saya yang berumur 17 tahun juga aktif mengacara dan bersajak.

MAS ZHAFIR ZIKRI

ANAK KETIGA ALLAHYARHAM AZIZ DESA

Menurut graduan bidang kejuruteraan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Batu Pahat, Johor itu, dia juga bangga melihat abangnya, Mas Zharif seolah-olah menyambung legasi dalam bidang penyiaran yang ditinggalkan oleh arwah bapanya.

"Saya sangat terharu. Rasa terimbas balik ikut ayah pergi bertugas dulu. Selain abang yang jadi pembaca berita, adik saya yang berumur 17 tahun juga aktif mengacara dan bersajak.

Foto sewaktu graduasi Mas Zhafri.

"Saya pula, walaupun belajar kejuruteraan, saya suka bagi syarahan motivasi. Sebab dulu, arwah ayah pun pernah pergi berceramah di sekolah-sekolah," ujar anak ketiga kepada bekas pengacara TV3 itu.

Untuk rekod, abang kepada Mas Zhafir iaitu Mas Zharif yang juga anak sulung kepada Allahyarham Aziz Desa mula bertugas sebagai pembaca berita TV9 pada 1 September 2017.

Allahyarham Aziz Desa meninggal dunia pada 27 Disember 2015 akibat masalah buah pinggang kronik, kencing manis dan jantung.

Beliau meninggalkan seorang isteri Raden Nor Azlina dan enam cahaya mata.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain