suria

Belajar di ICU, keputusan pun cemerlang, hasrat abah sarung jubah tak kesampaian, “Ingat pesan buat sampai habis”

Mohd Irwan (kanan) bersama bapanya semasa majlis konvokesyen selepas tamat pengajian diploma. (gambar kecil) Bapanya di ICU kerana jangkitan kencing tikus. Foto ihsan Mohd Irwan Shah Jamal

PASTINYA teruja apabila mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran, dan wajah insan tersayang terutama keluarga terbayang untuk berkongsi kegembiraan itu.

Namun, seorang pemuda hanya mampu mengukir senyuman dari luaran kerana kejayaan yang dikecapi itu tidak dapat dinikmati bersama bapa kesayangan yang dijemput Ilahi.

Memuat naik keputusan peperiksaannya yang cemerlang di laman sosial Twitter, dia bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang membantunya ketika mengalami waktu sukar.

“Ini untuk kamu abah! Semoga tenang di sana. Saya amat merindu kamu #AlFatihah,” menurut perkongsiannya yang ditujukan kepada arwah bapanya, termasuk ibunya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kau belajar main-main macam mana nak dapat” - Tragis kisah selempang pink... abah sebak, mak merajuk 2 hari

ARTIKEL BERKAITAN: Selempang pink dah dapat, anak sebak tak mampu tunai satu lagi hajat bapa... patutlah berulang kali cakap fasal kebaya

Pemuda berkenaan, Mohd Irwan Shah Jamal berkata, dia amat bersyukur dengan keputusan cemerlang yang diterimanya meskipun terpaksa mengharungi tempoh sukar dengan pemergian bapanya pada akhir April lalu.

Perkongsian mengenai keputusan cemerlang di laman sosial.

Pelajar berusia 22 tahun itu memberitahu, bapanya meninggal dunia akibat jangkitan leptospirosis atau kencing tikus selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selama kira-kira dua minggu di Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru, Johor.

“Saya masa tu di universiti, keluarga tidak segera memberitahu saya sebab tak nak saya bimbang dan terganggu pelajaran. Tapi, saya nekad untuk jaga abah memandangkan keadaannya tenat.

“Tapi saya akui ketika itu agak sukar buat saya, kerana minggu peperiksaan semakin hampir dengan beberapa assignment (tugasan) yang masih belum siap,” kata pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam itu kepada mStar.

Demi kasih buat seorang bapa, Mohd Irwan membuat keputusan mengambil cuti sekali gus menangguhkan tugasan dan ujiannya buat sementara waktu.

Arwah bapa banyak memberi kata-kata semangat untuk tidak berputus asa.

Mengakui banyak ketinggalan dari segi pelajaran dalam tempoh beberapa minggu berikutan bapanya koma di hospital, anak jati Pasir Gudang, Johor itu hampir berputus asa.

“Saya tinggal banyak benda dengan kawan-kawan. Sampai satu masa saya hampir putus asa. Tapi saya teringat kata-kata abah ‘buat sampai habis, belajar bersungguh-sungguh’.

Abah susah nak tunjuk sweet (penyayang) dia, tapi abah kata ‘abah sayang adik’. Saya tak sangka itulah pelukan terakhir abah

MOHD IRWAN

“Masa saya nak balik ke universiti beberapa minggu sebelum abah jatuh sakit, abah peluk saya. Abah susah nak tunjuk sweet (penyayang) dia, tapi abah kata ‘abah sayang adik’.

“Saya tak sangka itulah pelukan terakhir abah. Tak sangka ia merupakan tanda-tanda yang abah akan pergi buat selama-lamanya,” ujar anak bongsu daripada lima beradik itu.

Mohd Irwan bersama ibu bapanya.

Dia bagaimanapun perlu membina kekuatan dengan kata-kata sokongan bapanya kerana tidak mahu menambah kesedihan keluarganya terutama ibu.

“Saya perlu kuatkan diri walaupun agak sukar ketika itu. Sepanjang tempoh saya menjaga abah di ICU, saya gunakan masa sebaik-baiknya untuk belajar.

“Beberapa hari sebelum abah menghembuskan nafas terakhirnya, dia dapat bergerak sekejap dan pandang saya dan mak, seperti mahu pandang buat kali terakhir,” katanya yang kemudian dapat menyempurkankan ujian dan tugasannya selepas bapanya meninggal dunia.

Arwah bapa memakai jubah sempena majlis konvokesyen selepas tamat pengajian diploma.

Bagaimanapun, pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Perhubungan Awam) Tahun Dua itu berasa agak terkilan kerana tidak sempat menunaikan hasrat bapanya yang mahu melihat dirinya tamat pengajian.

“Abah pernah kata dia nak sarung baju jubah majlis konvokesyen saya apabila saya tamat pengajian nanti, sama macam masa saya dapat diploma dahulu.

“Tapi hasrat abah tak kesampaian dan rasa sebak setiap kali teringat perkara tu. Walaupun abah dah tak ada, tapi semangatnya ada dalam diri saya termasuk sokongan mak yang berterusan untuk saya belajar bersungguh-sungguh untuk buktikan pada arwah abah dan mak,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kencing tikus, UiTM, konvo, jubah, ICU

Artikel Lain