suria

Album kahwinku musnah! 'Berkurun' tunggu, bayar RM700, pengantin hanya dapat 8 gambar resepsi, berinai, “Macam beli di kedai 2 ringgit”

Album kahwin bernilai RM700 tidak dipenuhi dengan gambar-gambar majlis, malah tiada gambar keluarga.

GAMBAR merupakan perkara penting bagi sebuah perkahwinan kerana ia merupakan memori indah untuk dijadikan kenangan malah ia dapat dikongsikan dengan anak cucu di kemudian hari.

Bagaimanapun, harapan seorang wanita untuk melihat kepingan gambar-gambar indah yang dirakam ketika majlis perkahwinannya enam bulan lalu musnah apabila menerima sebuah album yang didakwa tidak seperti dijanjikan oleh seorang jurugambar perempuan.

Mengimbas kembali insiden itu, Nor Azah Mat Aris, 29, berkata dia mengenali jurugambar berkenaan di sebuah majlis di Kampung Bagan Datoh, Perak.

ARTIKEL BERKAITAN: "Kenapa, tak suka ke?" - Penyunting tak faham mengapa video kahwin dikritik

ARTIKEL BERKAITAN: Katerer pakej lebih RM13,000 cabut lari, keluarga pengantin terpaksa gadai barang kemas

Jelasnya ketika itu dia sedang berbual dengan seorang rakan mengenai majlis perkahwinannya yang bakal dilangsungkan pada Disember 2018. 

"Masa dah agak suntuk waktu tu, dan saya memang tengah mencari jurugambar untuk majlis perkahwinan saya. Kebetulan dia terdengar perbualan kami dan terus tanya kat saya. Katanya dia seorang jurugambar dan pakej untuk 'shoot' dan 'burn' hanya RM500.

"Saya pun terus bersetuju," kongsinya kepada mStar.

Hanya empat keping gambar majlis resepsi, selain langsung tiada gambar keluarga.

Menurut Nor Azah, dua hari selepas itu jurugambar berkenaan menghantar mesej bertanyakan tentang jenis album yang dia mahukan.

"Saya memang tak tahu dalam bab ni. Jadi saya cakap terserah kepadanya yang mana senang. Dan dia ada cakap kalau 'photobook' nampak cantik tetapi saya perlu tambah lagi RM200.

"Saya ikut sahaja yang penting tak susahkan mana-mana pihak. Jadi sebelum majlis saya selesaikan bayaran sebanyak RM700 walaupun ketika itu dia ada beritahu boleh bayar lagi separuh selepas majlis. Tetapi saya nampak dia seorang yang baik dan tak mungkin nak tipu saya," ujarnya.

Nor Azah memberitahu, apa yang membuatkan dia lebih tertarik apabila jurugambar itu turut menawarkan khidmatnya untuk merakam gambar pada malam berinai.

"Dia 'offer' secara percuma. Saya tanya dia 'OK ke' sebab nanti dia akan tangkap gambar dua hari berturut-turut. Dia cakap OK. Jadi saya pun terus bersetuju.

Saya bukan nak malukan dia. Tetapi sudah lama bersabar dan dia hanya berdiam diri. Saya bayar dengan duit bukan daun kering.

NOR AZAH MAT ARIS

"Jadi ketika majlis berlangsung bukan dia yang tangkap gambar, tetapi 'partner'nya," jelas Nor Azah yang bertugas di sebuah syarikat swasta di Perak.

Hari berganti minggu, minggu berganti bulan namun sekeping gambar perkahwinan pun belum dapat dilihatnya.

"Saya ada tanya kawan-kawan yang bekerja sebagai jurugambar berapa lama tempoh untuk siapkan tugasan ini. Mereka cakap paling cepat dua minggu dan paling lama tiga bulan.

"Saya agak peliklah sebab sudah enam bulan tapi satu album pun tak nampak.

"Jadi saya pun hubungi dia, namun tidak mendapat respon yang baik. Saya tanya 'partner'nya dan dia terkejut. Tapi tak 'sure' lah dia betul-betul terkejut atau saja berdrama.

"Selepas itu dia (jurugambar) pun hantarlah album itu kepada saya. Selepas dia balik, saya pun tengok album itu," ujarnya Nor Azah.

Gambar malam berinai juga hanya empat keping dimuatkan dalam album.

Bagaimanapun alangkah terkejutnya apabila apa yang diterima Nor Azah tidak seperti yang dijanjikan.

"Saya tengok album itu macam dibeli di kedai dua ringgit sahaja. Dia ada juga bagi 'pendrive'.

"Dalam album itu tak semua gambar yang ada dan ruangan gambar pun tak penuh. Gambar berinai ada 4 keping sahaja. Gambar 'family' langsung tak ada. Ruangan gambar nikah pula penuh.

"Agak sedih sedikit sebab bayar dia dengan duit bukan dengan daun kering," luahnya.

Tambah Nur Azah dia begitu terkilan dengan apa yang berlaku dan mengambil keputusan untuk viralkan perkara ini supaya orang lain tidak mengalami nasib sepertinya.

"Tak kisahlah ada masalah apa pun. Tapi itu duit saya. Walaupun hanya RM700, tetapi itu sangat besar bagi saya.

"Saya tak kisah kalau dia bagi respon setiap pertanyaan, tetapi sebaliknya berlaku. Dah la dia tipu saya, gambar pula hilang.

Sebahagian daripada komen pelayar-pelayar Facebook terhadap posting Nor Azah.

"Memang bukan niat saya untuk malukan dia dengan cara viral ini. Tetapi saya dah cukup bagi masa untuknya.

"Dia ada mesej saya minta saya padam apa yang saya viralkan ini. Tetapi ia belum selesai kerana dia sendiri janji untuk bayar ganti rugi sebelum 1 Ogos lalu.

"Tetapi sampai tarikh itu dia belum bayar. Dia cakap jangan libatkan ayah dia tapi dia berdiam diri. 

"Saya senarnya tak kisah kalau dia tak dapat bayar balik duit tu, tetapi bukan dengan berdiam diri.

"Saya dah tanya semua kawan, keluarga sebelum menyebarkan perkara ni. Saya tetap fikir panjang sebelum buat ini, tetapi dia terus berdiam diri," ujarnya yang mendapat lebih 500 perkongsian daripada pelayar-pelayar Facebook.

Tambah Nor Azah, selepas insiden ini jadi viral ramai yang menghantar mesej kepadanya memberitahu mereka turut 'terkena' dengan jurugambar ini.

"Rupa-rupanya ada beberapa orang lagi yang sama kes dengan saya. Saya berharap sangat biarlah saya yang menjadi terakhir mangsanya. Jangan dia terus aniaya orang lain. Memang perit rasanya walaupun nilai tak banyak," tambahnya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
album kahwin, photobook, tipu, jurugambar

Artikel Lain