suria

“Hari Raya doktor ucap tahniah, dua hari kemudian minta bersabar...” - Blender buah sudah dibeli, pasangan ini akur belum rezeki timang anak

Zati kini sedang berpantang apabila mengalami keguguran kandungan anak pertama selepas lima bulan berkahwin. Foto ihsan Nurul Izzati Zaini

SETIAP pasangan yang baru berkahwin pasti mempunyai keinginan untuk dikurniakan cahaya mata yang diibaratkan sebagai penyeri rumah tangga.

Sepasang suami isteri menerima khabar gembira pada Hari Raya Aidiladha, Ahad lalu apabila si isteri disahkan hamil anak pertama, namun kegembiraan itu tidak berpanjangan apabila mengalami keguguran dua hari kemudian.

“Dua hari lepas (raya) pergi klinik, doktor periksa kata positif (hamil). Alhamdulillah. Pagi tadi bangun tidur, pendarahan teruk. Check klinik, doktor kata baby dah tak ada (gugur),” menurut perkongsian wanita itu yang tular di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Pagi nikah, subuh dijemput Ilahi

ARTIKEL BERKAITAN: Bercinta 9 tahun, isteri meninggal selepas 3 bulan kahwin, 4 hari sebelum honeymoon ke Maldives, “Tiada pesanan terakhir cuma ucapan...”

Wanita berkenaan, Nurul Izzati Zaini berkata, Ahad lalu menjadi hari yang menggembirakan bukan hanya kerana sambutan Aidiladha, tetapi disebabkan dia dan suami menerima perkhabaran akan dikurniakan cahaya mata selepas berkahwin, Mac lalu.

Perkongsian yang menyentuh emosi.

Lebih dikenali sebagai Zati, wanita berusia 22 tahun itu memberitahu dia dan suami begitu teruja menunggu detik menggembirakan itu sejak hari pertama disatukan sebagai suami isteri.

“Dua minggu sebelum raya, saya asyik muntah-muntah. Kejap demam, kejap baik lepas tu demam lagi. Tanda-tanda macam mengandung tu ada.

“Empat kali saya dan suami pergi klinik buat pemeriksaan, tapi doktor kata negatif. Kali kelima pergi periksa masa raya haji, doktor kata tahniah, saya disahkan mengandung. Masa tu syukur dan rasa seronok sangat,” katanya kepada mStar.

Zati berkata, suaminya yang sangat teruja dengan kandungan anak sulung itu terus pergi membeli pengisar buah-buahan supaya dia dapat minum air buah yang berkhasiat untuk dirinya dan bayi.

“Suami gigih pergi beli blender (pengisar) untuk buah-buahan. Dia nak saya minum air buah yang ada banyak khasiat, elok untuk kandungan nanti.

“Bukan itu sahaja, suami juga pergi ke kedai buku dan beli buku mengenai nama-nama Islam yang baik untuk menamakan anak kami,” katanya.

Zati menerima berita gembira mengenai kehamilannya pada Hari Raya Aidiladha.

Pada hari kedua mendapat khabar gembira itu, menerusi kit ujian kehamilan, Zati masih lagi disahkan mengandung lima minggu dan merancang untuk berjumpa doktor pada hari ketiga bagi membuat imbasan.

“Tapi pendarahan berlaku pada pagi hari ketiga. Saya ingatkan pendarahan yang biasa bagi awal kehamilan. Bila doktor periksa, dia minta saya banyak bersabar sebab kandungan gugur.

“Masa tu saya terdiam. Memang sedih tapi cuba bertahan, bila masuk dalam kereta terus menangis. Suami beri kata-kata semangat, dia kata belum ada rezeki dan jangan putus asa walaupun masa kahwin tu berharap sangat dapat bunting pelamin,” ujarnya.

“Ada pasangan yang dua, tiga tahun kawin tapi tak ada rezeki lagi nak mengandung sedangkan saya dah dapat merasa tu. Kenapa saya nak bersedih dengan perancangan Allah?

ZATI

Zati bagaimanapun reda dengan ketentuan Tuhan dan percaya setiap apa yang berlaku adalah perancangan yang sebaik-baiknya daripada Allah SWT. Dia menamakan kandungan yang gugur itu sebagai Farel Adham yang membawa maksud ‘Hero yang kacak’.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, hukumnya sunat memberikan nama kepada janin yang gugur yang telah menunjukkan tanda-tanda kehidupan seperti pergerakan..

Jelas mufti lagi, hikmah penamaan juga kerana anak-anak yang gugur itu akan dipanggil nama mereka di hari akhirat dengan nama-nama berkenaan.

Zati bersyukur suaminya memberi sokongan moral dalam waktu sukar.

Walaupun hanya beberapa hari, Zati bersyukur sebab dapat merasai sendiri zuriat dalam perutnya, berbanding segelintir wanita lain yang sudah lama berkahwin tapi masih belum berpeluang untuk mengandung.

“Ada pasangan yang dua, tiga tahun kawin tapi tak ada rezeki lagi nak mengandung sedangkan saya dah dapat merasa tu. Kenapa saya nak bersedih dengan perancangan Allah? Perancangan manusia itu usaha, perancangan Allah itu takdir. Rezeki Allah itu luas. 

“Saya doakan kepada semua pasangan yang inginkan zuriat, agar Allah permudahkan secepat mungkin. Dan doakan supaya saya cepat sihat ya. Terima kasih ya Allah kerana pinjamkan saya kebahagiaan walaupun cuma beberapa hari. Kepada Farel Adham, insyaAllah kita jumpa di sana nanti,” kata Zati.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
gugur, hamil, kahwin, bunting pelamin

Artikel Lain