KEHILANGAN isteri tersayang dalam keadaan anak-anak masih kecil benar-benar memberi kesan kepada insan bergelar suami. Hakikatnya pemergian itu amat memeritkan tetapi kita harus reda dengan ketentuan-Nya. Menerusi perkongsian Zhafri Nabilah, lelaki ini meluahkan rasa sebak atas pemergian isterinya akibat kanser pada tengah hari Sabtu lalu. Posting bapa kepada lima anak perempuan itu menjadi tular dan mengundang simpati netizen. ARTIKEL BERKAITAN: Suami kongsi kisah tragis di sebalik pokok bentuk love di kubur ‘bidadari’, “Kalau dia dah tak ada tolong jangan beritahu saya” ARTIKEL BERKAITAN: Bercinta 9 tahun, isteri meninggal selepas 3 bulan kahwin, 4 hari sebelum honeymoon ke Maldives, “Tiada pesanan terakhir cuma ucapan...” "Damailah di sana wahai isteriku yang tercinta. Tiada lagi kesakitan yang perlu ditanggung. Moga ia menjadi asbab syurga tanpa hisab buat dirimu. "Air mata ini menitis bila mana dirimu reda akan ujian yang sangat berat ini. Ketahuilah bahawa Allah juga meredai hamba-hamba-Nya yang reda dengan ujian yang diberikan-Nya," tulisnya. Tinggal kenangan... Isteri Zhafri bersama anak-anak mereka. Dalam posting itu, Zhafri turut mengimbau saat isterinya perlu menjalani pembedahan segera akibat penyakit kanser dan pada masa sama anak dalam kandungan berusia 27 minggu juga perlu dikeluarkan. "Hanya Allah sahaja yang mengetahui perasaanku ketika itu. Tanggal 23 Jun 2019, seawal pagi seusai solat subuh dirimu sudah bersiap sedia untuk ke bilik bedah. Jam 9 pagi operation dimulakan. "Alhamdulillah, baby berjaya dikeluarkan pada jam 9.50 pagi seberat 1.005 kg. Syukur atas kelahiran yang kelima menjadikan anak-anakku semuanya gegirls," katanya. Namun Zhafri berkata dia hampir rebah apabila dimaklumkan doktor bahawa lidah isterinya perlu dipotong kerana sel kanser sudah merebak. "Tepat jam 1 pagi, doktor memanggilku setelah 15 jam menunggu. Hatiku menanti dengan penuh debaran saat melihat wajah doktor pakar. "Kami terpaksa memotong kesemua lidah isteri awak disebabkan sel kanser tersebut telah merebak," kata doktor pakar. Isteri Zhafri bersama salah seorang anak mereka. "Hampir sahaja aku rebah dan terduduk saat mendengar kata-kata tersebut. Ya Allah! beratnya dugaanmu wahai isteriku," katanya. Ceritanya lagi, dia melihat isterinya itu semakin sihat selepas tiga minggu menjalani pembedahan. "Aku masih ingat lagi dia menulis "kalau sayang dah sihat, kita pergi makan di kedai sama-sama yer". "Dia suka masak di rumah dan tak suka makan di luar. Hanya sekali sekala sahaja menjamu selera diluar," katanya. Namun Zhafri berkata keadaan isterinya mula merosot selang beberapa hari kemudian. "Doktor mencadangkan kemoterapi namun isteri memilih untuk radioterapi dan memilih Pulau Pinang sebagai destinasi untuk meneruskan rawatan susulan. "Tiga hari sebelum transfer ke Pulau Pinang aku mengajaknya untuk melihat baby yang belum pernah dilihatnya sejak dilahirkan. Aku menolaknya dengan menggunakan wheelchair. Gambar percutian keluarga Zhafri. "Saat pertama kali dia melihat baby, dia menitiskan air mata. Dia mengusap baby perlahan-lahan dan beberapa kali seolah-olah itulah yang pertama dan yang terakhir sentuhan seorang ibu. Ya Allah, ternyata benar!" tulisnya. Tambah Zhafri lagi, keadaan isterinya semakin tenat sehari sebelum pemergiannya. "Ya Allah! Hanya kepadaMu sahaja kami berserah. Semua ahli keluarga dipanggil balik. Kami memenuhi permintaannya untuk dipindahkan ke wad paletif yang mempunyai keselesaan dan dijaga nurse. "Malam sebelum pemergiannya, hampir keseluruhan adik-beradik ada bersama dan mereka meminta maaf. Isteriku mencapai pen dan menulis kepadaku "kenapa semua orang balik? Sayang dah nak mati ka?" Ya Allah!. "Betapa sedihnya aku ketika itu dan dengan perlahan-lahan aku bisikan di telinganya sambil menceritakan keadaannya yang sebenar. Dia pun menulis memohon maaf kepada semua adik beradiknya," katanya. Zharif berkata isterinya berkesempatan menunaikan solat Isyak yang panjang, bagaikan sudah tahu itu solat Isyak terakhirnya. Isteri Zhafri meninggalkan lima anak perempuan yang masih kecil. "Aku berdiri di tepi katilnya memandang wajahnya sambil melihat dia solat. Tanpa ku sedar, air mataku mengalir dengan membayangkan adakah ini pandangan terakhirku terhadapnya? Ya Allah. "Aku menemaninya pada malam itu, dia tidur begitu nyenyak sekali. Hanya sekali sekala sahaja matanya buka memandangku di sisinya. Pada waktu subuh, aku mengejutkannya untuk solat subuh. Dia mengangguk! "Lalu aku capai sarung tangan dan semburkan air wuduk padanya. Dengan perlahan-lahan aku ratakan air wuduknya. Lalu ditutup auratnya untuk solat. Aku melihatnya seolah-olah tidak berdaya. Malam sebelum pemergiannya, hampir keseluruhan adik-beradik ada bersama dan mereka meminta maaf. Isteriku mencapai pen dan menulis kepadaku "kenapa semua orang balik? Sayang dah nak mati ka?" Ya Allah! ZHAFRI NABILAH "Lalu aku bacakan surah al-Fatihah dan surah pendek seolah-olah kami solat bersama sampailah selesai solat subuh," katanya. Tepat pukul 12 tengah hari, Zhafri berkata isterinya menghembuskan nafas terakhir tanpa memberikan sebarang isyarat. "Aku sempat membisikkan kalimah syahadah di telinganya. Pergimu begitu tenang sekali. Wajahmu umpama bayi yang sedang nyenyak tidur. Gambar kenangan raya keluarga besar Zhafri. "Ya Allah! Kau tempatkanlah isteriku di kalangan para syuhadah dan para solihin. Ya Allah! Aku menjadi saksi dia seorang isteri yang baik. Dia telah mendapat reda suaminya. "Terima kasih kepada semua saudara mara, sahabat handai dan rakan taulan yang memberikan sokongan moral, doa, kewangan dan sebagainya. Hanya Allah sahaja yang akan membalas jasa baik kalian," katanya. Dalam pada itu, Zhafri turut bersyukur kerana urusan pengebumian isterinya dipermudahkan. "Alhamdulillah, Allah memudahkan urusan pengebumiannya. Rehatlah dikau di sana wahai isteriku. Terima kasih kerana menghadiahkan seorang lagi puteri buatku. "Pesan terakhirmu akan ku jaga iaitu supaya menjaga anak-anak dengan baik dan memberi pendidikan agama kepada mereka. "Kamu juga meminta supaya mereka titipkan al-Fatihah kepada ibu mereka setelah selesai solat setiap waktu. Syurga tempatmu sayang!! Ameen! Al-Fatihah," tulisnya.