MAJLIS konvokesyen begitu dinanti-nantikan graduan menandakan mereka menamatkan pengajian dan menerima sijil sebelum menentukan hala tuju masing-masing. Hari istimewa itu sudah tentu mahu dirai bersama insan tersayang terutama keluarga tercinta, malah diserikan dengan pemberian bunga dan hadiah tanda ucapan tahniah. Namun bagi seorang pemuda ini, kehadiran bapa tercinta sudah baginya meraikan kegembiraan itu meskipun tanda ibu di sisi. ARTIKEL BERKAITAN: “Kau belajar main-main macam mana nak dapat” - Tragis kisah selempang pink... abah sebak, mak merajuk 2 hari ARTIKEL BERKAITAN: Hampir putus asa, enggan hadir konvo, pemuda sado menangis di pusara bapa Abah: Dik, nak bunga tak? Saya: Tak apalah bah, cukuplah abah datang majlis konvo adik ni dan wakilkan arwah mak sekali. Perkongsian seorang pemuda mengundang sebak netizen. Memuat naik gambar bersama bapanya, perkongsiannya itu menjadi tular dengan lebih 12,000 diulang kicau dan meraih 28,000 tanda suka (like). Pemuda berkenaan, Badrul Halim Katimin berkata, majlis konvokesyen itu berlangsung di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada Sabtu lalu, sempena tamat pengajian dalam Sijil Pemasangan Elektrik di Kolej Komuniti Segamat 2 di Segamat, Johor. Dia yang berusia 21 tahun berkata, soalan mengenai pemberian bunga itu diajukan oleh bapanya, Katimin Rujikun, 67, sebab banyak gerai menjual bunga untuk dijual kepada pengunjung majlis konvokesyen. “Sebenarnya saya dah lama dan banyak kali tanya abah (panggilan bapa), boleh ke abah datang ke majlis konvo saya. Tapi, abang ambil masa untuk beri jawapan. “Saya risau juga sebab macam abang dulu, tak ada siapa pun datang masa konvo sijil dia, sedih juga tengok. Alhamdulillah, kali ni abah datang,” katanya kepada mStar. Selain bapa, salah seorang abangnya turut hadir pada majlis konvokesyen. Bagi anak bongsu daripada lapan beradik itu, besar harapannya untuk melihat bapa kesayangan hadir pada majlis konvokesyennya selepas pemergian ibu tercinta. Menurut Badrul, ibunya meninggal dunia akibat masalah pernafasan tiga hari sebelum dia mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Saya masih teringat macam mana riak wajah abah masa mak menghembuskan nafas terakhirnya kat hospital. Walaupun masa tu saya menangis, tapi saya masih teringat wajah sedih abah kehilangan insan tersayang. BADRUL “Sejak mak dah tak ada, abah lebih suka mendiamkan diri. Tak banyak cakap dan suka pendam. Abah seorang peneroka Felda, jadi rumah kami ada banyak pokok. “Kalau nampak abah tengah tebang pokok, potong rumput tu maknanya abah cuba meluahkan perasaannya. Kadang-kadang ada juga dia bercerita dengan saya, kadang-kadang memang pendiam,” katanya dengan nada sebak. Kenangan... bapa Badrul (kanan) bersama abang (tengah) dan arwah ibu. Badrul yang berasal dari Felda Pemanis 1 di Segamat mengakui sebak apabila mengenang hidupnya kini tanpa seorang ibu, namun bersyukur masih mempunyai seorang insan bergelar bapa. “Saya masih teringat macam mana riak wajah abah masa mak menghembuskan nafas terakhirnya kat hospital. Walaupun masa tu saya menangis, tapi saya masih teringat wajah sedih abah kehilangan insan tersayang. “Sekarang ni abahlah ayah, abahlah mak saya. Walaupun abah lebih suka memendam perasaan, tapi abah seorang ayah yang penyayang. “Sebab itulah apabila nak majlis konvokesyen, saya berharap sangat abah datang tengok saya ambil sijil. Bila tengok abah depan mata, bukan saja hati ni memang seronok, tapi juga terubat kerinduan pada arwah mak,” katanya yang kini menyambung pengajian dalam Diploma Penjaga Jentera Elektrik di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah, Melaka.