suria

Utamakan pembelajaran selamat, UKM sahkan pesalah pedofilia dipantau, kesihatan mental terkini diperiksa Jabatan Psikiatri

Nur Fitri sedang mengikut pengajian peringkat PhD di UKM.

PELAJAR genius Matematik, Nur Fitri Azmeer Nordin yang diberi peluang kedua untuk melanjutkan pengajiannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dirujuk ke Jabatan Psikiatri, Hospital Canselor Tuanku Muhriz bagi melihat status terkini kesihatan mentalnya.

Pusat Komunikasi Korporat UKM dalam satu kenyataan berkata langkah yang diambil itu adalah sebagai pemantauan wajar bagi mengutamakan suasana pembelajaran yang selamat untuk semua pelajarnya.

"UKM secara berterusan melaksanakan langkah-langkah pemantauan yang sewajarnya kepada Nur Fitri Azmeer melalui Unit Kaunseling yang merupakan salah satu unit di bawah Hal Ehwal Pelajar.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh pesalah pedofilia di UK kini penuntut PhD UKM, penyelia minta henti kecam genius Matematik...“Dia ada kelas tersendiri, saya bagi thumbs up”

ARTIKEL BERKAITAN: Pesalah Pedofilia Seorang Bebas Selepas Jalani Hukuman Di UK - Timbalan KPN

"Antara langkah-langkah yang diambil adalah pemantauan secara berterusan dan berkala oleh pihak Hal Ehwal Pelajar dan Fakulti," katanya.

Tambah kenyataan itu, Unit Kaunseling UKM telah merujuk pelajar ke Jabatan Psikiatri, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, UKM bagi melihat status kesihatan mental terkini pelajar.

"Kaunseling individu turut dijalankan bersama pelajar untuk memahami isu serta membantu pelajar memperbaiki diri dari aspek kesejahteraan psikologi," katanya.

Baru-baru ini, kisah Nur Fitri tiba-tiba menjadi bualan hangat di Twitter selepas seorang netizen mendakwa pemuda itu sedang menyambung pengajiannya di universiti tersebut.

Posting mengenai Nur Fitri tular di Twitter baru-baru ini.

Nur Fitri yang melanjutkan pelajaran di Imperial College, dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Southwark Crown, London setelah mengaku bersalah atas 17 pertuduhan memiliki bahan pedofilia dengan niat untuk mengedarkannya.

Ketika ditahan, polis mendapati pelajar itu yang juga pemegang biasiswa Matematik, memiliki 601 video dan imej lucah kategori A iaitu kategori penyalahgunaan melibatkan aktiviti seksual kanak-kanak, serta beratus-ratus bahan lucah ka­tegori B dan C.

Menurut kenyataan itu lagi, selepas setiap sesi yang dijalankan laporan psikologi dan kesihatan mental pelajar berusia 27 tahun itu akan diberikan kepada Hal Ehwal Pelajar dan Fakulti untuk pemantauan dan mengambil langkah-langkah yang perlu.

UKM secara berterusan melaksanakan langkah-langkah pemantauan yang sewajarnya kepada Nur Fitri Azmeer melalui Unit Kaunseling yang merupakan salah satu unit di bawah Hal Ehwal Pelajar.

PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT UKM

"Sepanjang pengajian di UKM, fakulti dan penyelia akan terus memantau aktiviti akademik pelajar itu. Selain bantuan kepakaran dalaman, UKM turut bekerjasama dengan keluarga dan agensi berkaitan dalam memantau keadaan pelajar.

"UKM juga diminta untuk memberikan pengawasan berterusan kepada pelajar dengan kerjasama daripada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ini adalah penting untuk memastikan langkah-langkah pencegahan dapat diambil dengan tepat," katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, perbincangan dengan keluarga turut dilakukan bagi memastikan pelajar mendapat sokongan dan pemantauan yang berterusan.

Nur Fitri Azmeer Nordin.

"Sebagai sebuah institusi yang mempunyai kepakaran dalam bidang yang berkaitan, UKM memastikan bahawa semua tindakan yang wajar diambil bagi memastikan isu-isu keselamatan dan keselesaan semua pelajar ditangani dengan berkesan dan mempunyai pelan strategik yang merangkumi kawalan serta pemantauan terhadap semua aspek yang berkaitan dengan pelajar.

"UKM tidak akan berkompromi dengan apa-apa bentuk salah laku pelajar yang melanggar peraturan universiti dan perlakuan yang melanggar undang-undang negara. UKM percaya pendidikan boleh membantu transformasi individu dengan memberi peluang kepada mereka untuk memperbaiki diri bagi mencapai kejayaan tertinggi dalam kehidupan," katanya.

Seorang profesor di Pusat Pengajian Sains Matematik, Fakulti Sains dan Teknologi UKM yang juga penyelia utama tesis Nur Fitri menerusi laporan mStar pada 22 Ogos lalu mendedahkan pemuda itu sedang mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di universiti berkenaan.

"Memang betul dia masih lagi belajar... sambung ke PhD sekarang, dah masuk tahun kedua di bawah saya.

"Sebenarnya dia daftar sebagai pelajar Masters dan dah selesai buat Masters  dalam masa setahun. Sepanjang tempoh itu dia berjaya hasilkan output yang baik dan peroleh keputusan yang cemerlang.

"Atas sebab itu dia dapat kemudahan untuk transfer ke pengajian peringkat PhD dan perkara tersebut sudah dapat kelulusan Senat universiti," katanya yang enggan namanya didedahkan.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain