suria

Gelak bertukar sebak! Hari terakhir mengajar, murid beri beyblade ‘pengajaran’ untuk guru sandaran - “Susah orang dewasa nak buat”

Fitri (kanan) mengakui sebak apabila membaca surat yang diberi oleh muridnya yang bernama Taufiq (kiri).

ADAT pertemuan, pasti ada perpisahan. Begitulah yang berlaku terhadap seorang guru sandaran sewaktu menamatkan khidmatnya di sebuah sekolah pada Selasa lalu.

Pada hari terakhir bertugas, Muhamad Nur Fitri Nor Azman menerima pelbagai hadiah daripada anak didiknya.

Namun, pemberian ketua kelas tahun tiga yang dikenali sebagai Taufiq memberi kesan mendalam buat guru berusia 23 tahun itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Cuci najis hadiah paling bermakna Hari Guru, “Terima kasih cikgu, cebokkan Ali tadi”

ARTIKEL BERKAITAN: Terkejut prank hadiah RM50, guru pening cari minyak angin, sebak fikirkan murid jual lukisan kumpul duit “Terima kasih Farhana”

Dia yang pada mulanya menganggap pemberian gasing moden 'beyblade' sebagai sesuatu yang kelakar bagaimanapun berubah fikiran apabila membaca surat yang dikarang oleh murid tersebut.

"Saya dah dewasa, memang tak main beyblade. Pelik bila dia bagi. Mula-mula nak tergelak, rasa kelakar.

Posting Fitri yang tular di Twitter.

"Bila tengok belakang, saya tersentuh baca surat yang Taufiq tulis. Saya rasa sebak dan terharu.

"Rasa betul-betul dihargai. Benda tu membuka hati saya. Biasanya kita beli benda baharu sebagai hadiah, tapi dia bagi barang yang dia paling sayang.

"Pemberian tu mengajar saya, orang dewasa belum tentu boleh ikhlaskan hati buat macam ni. Susah orang dewasa nak buat," ujarnya sewaktu dihubungi mStar.

Saya berazam untuk jadi cikgu terbaik. Ibu ayah juga banyak bagi nasihat. Mereka minta saya terapkan nilai yang baik dalam diri setiap murid dan tunjuk contoh baik kepada mereka.

Muhamad Nur Fitri Nor Azman

Menurut Fitri, dia juga begitu menghargai pemberian anak didiknya yang terdiri daripada murid tahun satu dan tiga di Sekolah Kebangsaan Sg Telor, Kota Tinggi, Johor itu.

Tambahnya lagi, dia juga berasa ralat untuk berpisah dengan mereka memandangkan dia mempunyai ikatan yang rapat dengan murid serta guru-guru di sekolah itu.

"Mereka banyak ajar saya erti menghargai seseorang. Dah rapat dengan murid, tiba-tiba kena berpisah.

Fitri kini menyambung legasi ibu bapanya dalam bidang perguruan.

"Sedih bila cikgu-cikgu lain buat majlis perpisahan untuk saya. Mereka banyak beri tunjuk ajar dan layan saya dengan baik biarpun saya cikgu sandaran sahaja," ujarnya lagi.

Bercerita mengenai dirinya, graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Antarabangsa, Lembah Pantai Kuala Lumpur itu mengakui tidak bercita-cita untuk menjadi guru sewaktu berada di bangku persekolahan.

Beyblade dan surat daripada Taufiq buat Fitri.

Namun, dia yang tidak berpeluang menyambung pelajaran dalam bidang perubatan akhirnya akur dengan saranan kedua ibu bapa untuk menyambung legasi mereka dalam bidang pendidikan.

"Ibu dan ayah saya cikgu. Lepas tamat sekolah, mereka nak saya jadi cikgu.

Foto kenangan bersama murid-muridnya.

"Saya sebenarnya nak jadi doktor sebab belajar di sekolah sains, tapi tak dapat sambung medic. Jadi bila masuk IPG, saya bina passion. Hari pertama masuk saya terus tukar cita-cita.

"Saya berazam untuk jadi cikgu terbaik, malahan ibu ayah juga banyak bagi nasihat. Mereka minta saya terapkan nilai yang baik dalam diri setiap murid dan tunjuk contoh baik kepada mereka," katanya lagi.

Dalam pada itu, posting Fitri mengenai hadiah murid-muridnya sehingga kini menerima lebih 7,500 perkongsian di Twitter.

Rata-rata netizen turut menzahirkan rasa terharu mereka atas perkongsian Fitri mengenai kisah itu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain