suria

“Ada suara berbisik kepadanya untuk ke situ” - Penghidap psikosis hilang 3 hari selepas asyik sebut nama satu kondo, mujur keluarga jenis alert!

Norlaila Zainal Abidin dua dari kiri bersama anak buahnya ketika ditemui pada malam Khamis.

SELEPAS tiga hari hilang tanpa berita, akhirnya Norlaila Zainal Abidin ditemui semula dalam keadaan selamat tetapi agak lemah, kata adiknya, Mohd Alias.

Alias, 49, berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan serta membantu dalam mencari kakaknya di sekitar Kuala Lumpur.

"Alhamdulillah saya bersyukur kakak akhirnya ditemui dalam keadaan selamat walaupun agak lemah.

"Dan terima kasih juga buat keluarga yang tidak putus-putus mendoakan serta turut sama mencari kakak," katanya secara ringkas mengenai wanita berusia 51 tahun itu kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mesej dah sampai Putrajaya, nak makan sekejap, lepas tu langsung tiada berita” - Pelajar Maktab Tentera Diraja hilang, bapa buntu

Norlaila yang merupakan seorang suri rumah disahkan menghidap psikosis dan asma kronik dilaporkan hilang pada petang 17 September lalu selepas meninggalkan rumah mereka di Tasik Heights Apartment, Bandar Tasik Selatan di ibu negara.

Turut tular satu posting yang dimuat naik oleh Hidayah Zainal pada 19 September lalu berkaitan berita kehilangan kakaknya dengan kapsyen, "Tolong sebarkan. Kakak saya hilang. Dan kini pencarian diteruskan di sekitar KL" mendapat kira-kira 2,000 ulang kicau (retweet) di laman Twitter.

Berita kehilangan Norlaila Zainal Abidin turut tular di laman Twitter.

Kehilangan Norlaila turut mendapat perhatian ramai serta mengundang kerisauan dalam kalangan ahli keluarganya sehinggalah dia ditemui semula malam Khamis, di sebuah kawasan kondominium di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, lokasi yang sering disebut-sebutnya sebelum dia hilang.

"Sejak kakak hilang, saya tidur pun tak boleh, makan pun asyik teringatkan kakak, apalah yang dia makan.

"Saya hanya risaukan kesihatan dia, yelah kakak dengan asma lagi sakit psikosis lagi, ubat pun dia tak bawa. Tapi saya percaya yang kakak akan kembali ke kondo itu semula. Jadi saya ada tinggalkan nombor telefon pada pengawal di situ," luah Alias.

Kata Alias, dia percaya kakaknya akan kembali ke kawasan perumahan itu kerana sering mendengar wanita itu menyebut nama sebuah kondominium beberapa hari sebelum kehilangannya.

Kami sekeluarga cuba menghubungi telefon bimbitnya beberapa kali dan ketika itu isteri beritahu dia ada di sebuah kondo di Jalan Tun Razak kerana mendengar ada suara berbisik kepadanya untuk ke situ sebelum panggilan tersebut dimatikan.

ROSZMI OSMAN

SUAMI PESAKIT

Seperti yang diharapkan, ibu kepada dua anak itu akhirnya berjaya ditemui selepas Alias mendapat satu panggilan daripada seorang pengawal kondominium tersebut tentang penemuan Norlaila.

"Semalam sekitar pukul 10 malam, pengawal keselamatan di perumahan tu telefon dan cakap dia ada jumpa kakak saya. Jadi saya minta dia tengokkan sekejap sebab saya dalam perjalanan ke sana bersama anak buah.

Alias bersama pengawal keselamatan yang menghubunginya memaklumkan berita penemuan Norlaila.

"Alhamdulillah, masa saya jumpa kakak keadaan selamat cuma lemah sedikit. Lepas tu saya terus bawa kakak ke Hospital Pusrawi untuk buat check-up,"  jelasnya.

Sementara itu, menurut suami mangsa, Roszmi Osman, 53, dia dimaklumkan mengenai kehilangan Norlaila oleh anaknya yang baru pulang dari sekolah.

"Saya dapat tahu isteri hilang selepas dapat panggilan daripada anak yang memaklumkan ummi mereka (isteri saya) hilang. Masa tu saya sedang bertugas.

"Kami sekeluarga cuba menghubungi telefon bimbitnya beberapa kali dan ketika itu isteri beritahu dia ada di sebuah kondo di Jalan Tun Razak kerana mendengar ada suara berbisik kepadanya untuk ke situ sebelum panggilan tersebut dimatikan.

"Selepas itu, ipar saya bersama suami dan anaknya terus ke tempat yang disebut itu untuk mencari isteri saya, tapi tak jumpa" kata polis bantuan itu yang bersyukur akhirnya isterinya selamat dijumpai.

Psikosis adalah penyakit mental yang boleh membuatkan seseorang itu berhalusinasi dan ianya sukar untuk dikawal.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kakak, hilang, sakit, psikosis

Artikel Lain