suria

Atuk 3 cucu masih handal di dapur, nasi goreng daging salai power! - “Boring duduk rumah, selagi ada kudrat dia nak buat juga”

Atuk berusia 61 tahun atau lebih dikenali penduduk Dengkil sebagai Haji Mahmud mempunyai pengalaman memasak selama 30 tahun. Kredit Foto Ash Foodhunter

GELAGAT seorang datuk memasak nasi goreng dengan gaya tersendiri di dapur berjaya mencuri tumpuan netizen.

Semuanya gara-gara video perkongsian Wan Muhammad Ashril atau lebih dikenali sebagai Ash Foodhunter dengan kapsyen 'Leka aku tengok atuk ni goreng nasi' yang menjadi tular di Twitter.

Video berdurasi 30 saat itu mendapat lebih 200,000 tontonan sejak dimuat naik pada petang Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah bergelut habiskan nasi lemak demi sara 7 adik, gadis ini tak lokek kongsi cara masak sambal paru yang ‘sumpah win’

ARTIKEL BERKAITAN: Tunku Azizah komen mi bandung Sg Lembing paling sedap di dunia, tauke kedai buntu... macam mana nak kongsi resepi ni?

Rata-rata netizen meluahkan rasa kagum dan teringin mencuba hidangan air tangan lelaki tersebut.

Nasi goreng daging salai antara menu kegemaran pengunjung.

Eli Imran, anak kepada Mahmud Buyamin, 61, lelaki warga emas dalam video yang tular itu ketika dihubungi mStar mendedahkan bapanya itu sudah biasa memasak sejak 30 tahun lalu.

"Memang ayah yang akan masak di kedai. Kalau orang ramai saya akan tolong ayah masak tapi selalunya dia yang incharge semua.

"Dia masak dah 30 tahun. Walaupun dah berusia tapi dia tetap nak masak. Dia kata boring duduk rumah. Saya pun masih belajar ikut style dia masak," katanya yang menguruskan kedai makan Dengkil Heritage di Kampung Dato Ahmad Razali di Dengkil sejak lebih setahun lalu.

Jelas anak kedua daripada lima beradik itu, selepas video bapanya sedang memasak tular di media sosial, kedai mereka didatangi ramai pengunjung.

"Biasa kami berniaga pukul 7 pagi hingga 4 petang setiap Isnin hingga Sabtu. Untuk sarapan pagi kami selalu sediakan nasi lemak dan roti canai.

"Tapi sejak viral pagi-pagi lagi dah ada orang order nasi goreng daging salai. Nak tak nak kami kena buat juga. Ada juga yang sanggup datang dari Cyberjaya dan Putrajaya," katanya.

Mahmud (kiri) bersama Eli dan cucunya.

Menurut pemuda berusia 33 tahun itu, nasi goreng daging salai antara menu kegemaran pengunjung mereka.

"Selalunya orang buat daging salai dan itik salai masak lemak tapi kami cipta kelainan sedikit. Menu salai tu kami buat versi nasi goreng.

"Alhamdulillah ramai suka. Hidangan nasi goreng daging salai antara kegemaran ramai, diikuti nasi goreng ayam salai dan mi goreng daging salai," katanya yang menghasilkan hidangan itu menggunakan resipi turun-temurun keluarga.

Atuk tu cedok daging dari kuah gulai masak lemak dan tumis sekali dengan nasi. Tu yang buat lagi sedap.

WAN MUHAMMAD ASHRIL

Sementara itu,  Ash berkata dia merakam video tersebut kerana kagum dengan kebolehan Mahmud yang juga datuk kepada tiga cucu.

"Memang susah nak cari owner kedai masak sendiri sekarang. Selalu kita tengok orang tua owner kedai tapi anak dia atau pekerja yang masak.

"Tapi saya kagum bila tengok atuk tu sendiri yang masak. Atuk tu beritahu walaupun anak-anak dia boleh masak tapi dia sendiri nak masak. Selagi ada kudrat dia nak buat juga," kata pemuda yang sering membuat review makanan di Twitternya.

Ash bersama keluarganya mencuba beberapa menu ditawarkan di Dengkil Heritage.

Ash berkata nasi goreng daging salai itu mempunyai keunikannya tersendiri.

"Sebenarnya banyak tempat yang jual menu masakan salai tapi kedai ni guna daging salai daripada gulai masak lemak. Memang nasi tu terasa masak lemak.

"Atuk tu cedok daging dari kuah gulai masak lemak dan tumis sekali dengan nasi. Tu yang buat lagi sedap," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
atuk, masak, nasi goreng daging salai

Artikel Lain