suria

Jumpa makcik tua di klinik kesihatan, bayi Cina disuruh letak nama Melayu... tiga bulan kemudian lelaki ini bawa 2 isteri, 6 anak peluk Islam

Muhammad Khalid (dua, kanan) bersama isteri-isteri dan sebahagian anaknya di pejabat agama Islam daerah Gombak untuk melafaz dua kalimah syahadah. (gambar kecil) Muhammad Khalid bersama Ustaz Amir Ng. Foto Facebook Muallaf Rawang

“SAYA hampir menitiskan air mata gembira,” Mohd Amir Al Karim Ng Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amir Ng apabila menyaksikan sebuah keluarga berbangsa Cina memeluk Islam pada 17 September lalu.

Kisah keluarga saudara baharu itu mulai tular selepas ia dikongsikan di halaman Facebook komuniti Muallaf Rawang.

ARTIKEL BERKAITAN: Mohd Chan dedah rahsia tak pernah tanggal kopiah lebih 10 tahun

ARTIKEL BERKAITAN: Setiap tahun wanita India ini tak pernah ‘missed’ datang surau, “Dia sedekah, hantar borang minta buat tahlil...”

Bercakap kepada mStar, Ustaz Amir yang juga pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, dia dihubungi oleh sebuah keluarga bukan Islam yang menyatakan kesediaan untuk memeluk Islam tetapi mahu berjumpa dengannya terlebih dahulu bagi mendapatkan penjelasan mengenai agama itu.

Muhammad Khalid (kanan) semasa mengucap dua kalimah syahadah di hadapan Ustaz Amir Ng.

“Alhamdulillah, pada 17 September 2019, mereka sekeluarga mengambil keputusan untuk mendekatkan diri kepada Islam. Saya sangat gembira dapat membantu mereka.

“Rasa nak menangis mendengar mereka melafazkan dua kalimah syahadah. Air muka mereka cukup bersih semasa melakukannya,” ujar Ustaz Amir Ng yang juga merupakan pengerusi badan bukan kerajaan (NGO), Perkim Gerak.

Sementara itu, salah seorang saudara baharu itu, Muhammad Khalid Marcus Wong memberitahu mStar , dia dan dua isteri serta enam anak mereka kini bergelar mualaf selepas memutuskan untuk memeluk Islam dengan hati yang terbuka.

Isteri-isteri Muhammad Khalid mengucap dua kalimah syahadah.

Bapa berusia 42 tahun itu tenang dengan keputusan itu selepas mengadakan perbincangan bersama ibunya yang beragama Buddha.

“Keinginan saya untuk masuk Islam dah lama ada, tapi ambil masa untuk beritahu ibu saya mengenai hasrat itu, dan syukur mendapat restu daripadanya.

“Ibu kata saya sudah besar untuk menentukan hala tuju sendiri dan membuat keputusan yang baik. Saya kemudian berbincang dengan isteri-isteri dan keluarga menyatakan persetujuan bersama untuk memeluk Islam,” katanya sambil menambah hanya tiga daripada enam anaknya yang hadir ke pejabat agama Islam daerah Gombak kerana tiga lagi masih kecil.

Anak-anak Muhammad Khalid (kanan) turut memeluk Islam.

Berkongsi cerita, Muhammad Khalid berkata, antara tanda-tanda yang menguatkan lagi hasratnya untuk memeluk Islam apabila bertemu dengan seorang wanita warga emas di sebuah klinik kesihatan, kira-kira tiga bulan lalu.

“Masa tu saya dan isteri bawa anak saya yang baru lahir untuk pemeriksaan kesihatan. Kemudian ada seorang makcik tu dengan sopan datang tegur kami.

Saya pernah bekerja menyelenggara sistem audio dengan kebanyakannya di masjid-masjid dan surau-surau. Setiap kali bekerja saya selalu mendengar bunyi azan dan bacaan doa

MUHAMMAD KHALID

“Makcik tu beritahu anak kami comel dan tenang sekali wajahnya. Dia tanya apa nama anak kami. Kami beritahu belum lagi diberikan nama sebab baru lahir tiga hari.

“Makcik tu mencadangkan untuk menamakan anak kami Siti Khadijah. Saya kemudian beritahu yang kami bukan Islam ketika itu, dan rasanya dia pun boleh tahu,” katanya yang menetap di Kajang, Selangor.

Ustaz Amir Ng bersama keluarga Muhammad Khalid serta wakil-wakil Perkim Gerak dan Muallaf Rawang.

Peristiwa tersebut turut dikongsikan dalam pertemuan pertamanya bersama Ustaz Amir sebelum memeluk Islam, dan dia kemudian dimaklumkan bahawa Siti Khadijah adalah nama isteri Nabi Muhammad SAW.

“Tiga bulan lalu saya namakan anak saya Caynice. Tapi kini saya menamakan namanya Siti Khadijah, sebagaimana yang dicadangkan oleh makcik itu,” tambahnya.

Menurut Muhammad Khalid, Islam bukan sesuatu yang baharu baginya kerana sejak kecil dia rapat dengan rakan-rakan Muslim.

“Kampung nenek saya di Port Dickson, Negeri Sembilan, kawasan Cina, tapi sebelah kampung ramai Melayu. Jadi, saya ada ramai kawan beragama Islam.

Di hadapan Kompleks Islam Daerah Gombak.

“Saya juga pernah bekerja menyelenggara sistem audio (PA system) dengan kebanyakannya di masjid-masjid dan surau-surau.

“Jadi, setiap kali bekerja saya selalu mendengar bunyi azan dan bacaan doa. Malahan, saya sering berjumpa dengan bilal dan imam di lokasi saya bekerja,” katanya yang berkhidmat dalam sistem audio itu selama 12 tahun.

Muhammad Khalid yang kini bekerja sendiri berkata, hatinya cukup tenang selepas akhirnya membuat keputusan untuk memeluk Islam bersama keluarganya.

“Jujurnya, saya rasa amat lega. Ucapan dua kalimah syahadah adalah permulaan buat kami sekeluarga untuk mendalami Islam secara perlahan-lahan,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain