suria

“Banyak sangat sampah, nak cari tempat duduk selesa pun susah” - Pantai kotor, pengurus tak jadi riadah... tak sangka ramai tawar diri jadi ‘pekerja pembersihan’

Jefferi Sakedan pada mulanya menjadikan mengutip sampah sebagai satu aktiviti riadah bersama keluarga namun mendapat sambutan ramai sehingga perlu menubuhkan kumpulan WhatsApp.

JARANG-jarang sekali ada orang yang sanggup meluangkan masa untuk mengutip sampah, apatah lagi jika ia adalah aktiviti sukarela.

Namun tidak bagi Jefferi Sakedan yang sanggup mengorbankan cuti hujung minggunya mengutip sampah di pantai sebagai satu aktiviti riadah bersama keluarga.

Berkongsi cerita dengan mStar, Jefferi berkata, aktiviti tersebut bermula secara spontan ketika dia dan keluarga beriadah di pantai berhampiran rumahnya di Butterworth, Pulau Pinang.

ARTIKEL BERKAITAN: Orang lain sibuk OOTD tapi pemuda ini selfie dengan sampah, siap tegur publik tak kira pangkat - “Kalau botol plastik ni bernilai, abang dah kaya” 

“Pagi Ahad awal bulan lalu, saya mengajak keluarga ke pantai berhampiran RnR Bagan Ajam, Pulau Pinang. Ketika kami sampai pagi itu, nampak banyak sangat sampah, nak cari tempat duduk yang selesa pun susah.

“Sayang sekali sebab pantai ni pemandangannya cantik, tetapi kotor. Malu jika ada orang luar yang datang. Kami batalkan rancangan nak riadah dan kemudian pergi ke kedai untuk membeli peralatan untuk kutip sampah,” demikian cerita Jefferi.

Tambah Jefferi, dia dan keluarga datang semula ke pantai itu pada hari berikutnya bersama peralatan untuk mengutip sampah.

“Saya, isteri dan dua anak membersihkan kawasan pantai setakat yang kami mampu saja sebab kami tak ramai. Minggu berikutnya, kami datang lagi ke pantai yang sama untuk kutip sampah.

“Bila kawan-kawan tahu, mereka pun nak join. Bermula dari empat orang kami anak beranak, kemudian bertambah hingga tujuh orang,” katanya yang bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat.

Aktiviti berkelah selepas selesai mengutip sampah. 

Cerita bapa berusia 41 tahun ini lagi, salah seorang daripada rakannya berkongsi gambar aktiviti mereka di laman sosial dan tidak menyangka ia menjadi tular.

“Bila dah viral, saya dapat maklum balas yang sungguh positif. Tak sangka lepas itu, lebih ramai yang nak join. Ada yang saya tak kenal pun, kebanyakannya kenal ‘kawan atas kawan’.

“Jadi bagi memudahkan pergerakan untuk aktiviti seterusnya, kami berkomunikasi melalui kumpulan WhatsApp yang saya tubuhkan.

“Selalunya kami bermula pukul 7 pagi, siap pukul 10.30 pagi. Selepas itu kami akan bentang tikar dan makan ramai-ramai, macam berkelah,” katanya.

Saya sungguh tak sangka aktiviti kecil kami ini memberi banyak manfaat. Bukan saja untuk pupuk budaya jaga kebersihan terhadap orang ramai, tetapi secara tak langsung dapat menjalin ukhuwah.

JEFFERI SAKEDAN

SUKARELAWAN

Terdahulu, posting mengenai aktiviti sukarela tersebut yang dikongsi di sebuah laman Facebook mendapat ratusan perkongsian (share) dengan rata-rata netizen memberi reaksi positif.  

Dalam pada itu kata Jefferi, sampah yang dikumpul kemudian diangkut menggunakan sebuah lori yang dipandu salah seorang ahli kumpulan mereka ke tempat pelupusan sampah.

Tambah Jefferi lagi, dijangka seramai 20 orang akan menyertai aktiviti yang dinamakan Operasi Bersih RnR Bagan Ajam 5.0 pada Ahad ini bagi membersihkan pantai sepanjang kira-kira 3 kilometer itu.

Antara komen netizen yang memuji inisiatif kumpulan Jefferi. 

“Saya rasa seronok bila ramai yang berminat. Ahad ini barulah kami nak berkenal-kenalan.

“Saya sungguh tak sangka aktiviti kecil kami ini memberi banyak manfaat. Bukan saja untuk pupuk budaya jaga kebersihan terhadap orang ramai, tetapi secara tak langsung dapat menjalin ukhuwah.

“Saya harap perkara ini tak timbulkan riyak, kerana kami semua buat ikhlas,” akhirinya.  

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
sampah, sukarela, Bagan Ajam, WhatsApp

Artikel Lain