suria

Sayang kekasih, sambil ‘dating’ awek tolong rembat 2 pasang kasut untuk pakwe - “Nombor kereta berjaya dikesan”

Posting kecurian kasut oleh pasangan kekasih tular di laman Twitter.

'SWEET betul cara mereka ni dating', demikian antara komen sinis netizen terhadap tindakan curi kasut dipercayai dilakukan oleh pasangan kekasih di sebuah kondominium.

Ia susulan satu posting tular yang dimuat naik di laman Twitter seorang lelaki dengan kapsyen, "Tolong hati-hati, pencuri ada di mana-mana. Salah aku juga tak letak kasut dalam rumah. Kalau sesiapa kenal, cakap kat dua ekor ni supaya aman dunia akhirat," pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Malang nasib pelajar baharu! Tak dapat hostel, pelindung gigi dan alat mekap simpan di bawah tangga lesap

Turut mengenakan tanda pagar #couplegoal #caribfberkualiti pada video yang berdurasi 0:27 saat itu, ia meraih kira-kira 3,000 ulang kicau (Retweet) serta 1,200 tanda suka (like). 

Menurut lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Amirul, 24, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana membawa bapanya ke hospital dan hanya menyedari kehilangan kasutnya pada keesokan hari.

Kereta  jenis Proton yang digunakan kedua-dua suspek.

"Hari yang hilang tu, saya tiada di rumah sebab bawa ayah ke hospital untuk buat pemeriksaan doktor.Tapi esoknya, masa nak pergi kerja baru saya sedar yang kasut kerja saya hilang.

"Kemudian, saya beritahu jiran dan minta tolong tengok CCTV rumahnya sebab rumah saya tak ada CCTV. Lepas tu, nampaklah pasangan ini curi kasut saya. Yang perempuan tu ambil dua kasut masukkan dalam beg tangannya," katanya ketika dihubungi mStar.

Difahamkan, kejadian berlaku di Vista Tasik Condo, Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur. Manakala, kasut yang dicuri pasangan itu berjenama Clark dan Dr Martens dianggarkan bernilai hampir RM500.

Pengawal tu cakap, masa kejadian suspek tu beritahu pengawal yang dia nak drop-off penumpang di blok F selain memberikan nombor pengenalan diri palsu.

AMIRUL

PENASIHAT KEWANGAN BANK

Amirul kemudiannya membuat laporan kepada pengawal keselamatan berhubung kejadian curi tersebut.

Selain itu, Amirul turut memuat naik bebenang (thread) pada Rabu memaklumkan: 'Terbaharu, nombor pendaftaran kereta WLN1558. Ayuh rakan media sosial, tangkap setan ini'.

Hasil rakaman CCTV, pihak pengawal keselamatan telah mengenal pasti jenis kenderaan yang digunakan oleh pasangan yang disyaki terlibat dalam kes terbabit.

"Alhamdulillah, hasil rakaman CCTV tu, kenderaan serta nombor pendaftaran kereta suspek berjaya dikesan.

"Pengawal tu cakap, masa kejadian suspek tu beritahu pengawal yang dia nak drop-off penumpang di blok F selain memberikan nombor pengenalan diri palsu," jelasnya yang merupakan seorang penasihat kewangan di sebuah bank.

Susulan itu, Amirul juga membuat laporan polis berkaitan kes tersebut bersama semua bukti rakaman CCTV di Balai Polis Sungai Besi, Kuala Lumpur pada Isnin.

Tambahnya lagi, pihak polis masih berusaha mengesan kedua-dua suspek berkenaan.

Antara komen netizen.

Selain itu, tindakan pasangan itu turut mengundang kecaman netizen yang rata-rata antara mereka tidak berpuas hati.

"Tak sabar nak pakai terompah dekat nerakalah tu," kata seorang netizen.

Turut, difahamkan kes seperti ini bukan kejadian pertama berlaku di kawasan perumahannya.

"Sebenarnya, boleh dikatakan hampir setiap bulan mesti ada laporan kehilangan barang-barang penghuni di sini," jelasnya lagi.

Amirul berharap masyarakat lebih berwaspada agar tidak sewenang-wenangnya meninggalkan barangan berharga di luar rumah.

"Satu je saya nak pesan, kita hidup bermasyarakat perlu buang sikap pentingkan diri. Kita perlu berbaik-baik dengan jiran. Mana tahu jika ada apa-apa yang berlaku dan kita perlukan pertolongan mereka. Taklah mereka ragu-ragu nak tolong," nasihatnya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
hilang, kekasih, curi, kasut

Artikel Lain