suria

Tangisan dalam kegembiraan! Drama queen umur 8 tahun berjurai air mata dapat ‘pengganti’ Taeyang - “Abah, kakak berterima kasih...”

Nur Aysar, 8, menangis terharu mendapat kejutan hadiah kucing daripada ibu bapanya. Foto ihsan Alya Addini Mazzam / instagram alyaaddini

VIDEO seorang kanak-kanak perempuan yang memeluk seekor kucing sambil menangis dengan penuh emosi mengundang sebak warganet.

Disangka meratapi kematian kucingnya, tangisan itu sebenarnya luahan rasa terharu kanak-kanak itu menerima kejutan hadiah berupa kucing peliharaan.

Drama air mata itu kemudian bertukar kepada keterujaannya bersama dua adiknya di dalam kereta apabila diberikan seekor kucing yang diletakkan di dalam sangkar.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa dedah bilik tidur, isteri ‘bising’ punca anak meraung ‘nak mak baharu’, “Kalau diteriaknya nak ‘mak yang hari tu’, habislah saya”

ARTIKEL BERKAITAN: “Ni semua salah ayah!” Abang dedah kisah sebenar adik kuat drama menangis di pagi raya dilabel ‘Anakku Sazali’

ARTIKEL BERKAITAN: Anak menangis tak mahu balik sebab sekolah ‘best sangat’, bapa jawab tuduhan garang, cikgu lawa

“Abah, kakak berterima kasih. Abah, terima kasih bagi kucing,” kata kanak-kanak perempuan itu yang menggelarkan dirinya 'kakak' menangis teresak-esak.

Video berdurasi satu minit dan 35 saat itu menjadi tular selepas dimuatnaik oleh sepupu mereka di laman Twitter dengan setakat ini diulang kicau lebih 16,000 kali.

Nur Asyar menangis kerana terharu hasrat untuk membela kucing tercapai.

Alya Addini Mazzam berkata, sepupunya, Nur Aysar Amni Mohd Saidi yang berumur lapan tahun sememangnya terkenal sebagai 'ratu air mata' dan mudah sensitif dengan sesuatu yang menyentuh perasaan.

Gadis berusia 22 tahun itu memberitahu, Nur Aysar telah lama menyimpan hasrat untuk membela kucing kerana begitu menyayangi haiwan berkenaan.

“Nur Aysar terkenal dengan drama queen dia. Kalau ada yang sensitif, memang dia cepat tersentuh dan menangis. Kalau bercerita, memang dia beria-ria.

“Tapi Nur Aysar juga sayangkan kucing. Kalau jumpa kucing di mana-mana pasti akan dibelainya dan diberi makan sekiranya berpeluang,” katanya kepada mStar.

Nur Aysar bersama adik-adiknya memegang kucing bernama Bella dan Taeyang.

Alya bagaimanapun berkata, hasrat sepupunya itu terpaksa ditangguhkan kerana masalah untuk menjaga kucing di kediaman pangsapuri di Puchong, Selangor.

Namun menurutnya, ibu bapa Nur Aysar kemudian merancang untuk menunaikan impian anak sulung daripada tiga beradik selepas mereka berpindah ke rumah teres di Putra Heights di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Nur Aysar sayangkan kucing. Kalau jumpa kucing di mana-mana pasti akan dibelainya dan diberi makan.

ALYA

“Sebab terkenal dengan perangai drama queen dia, tu yang sampai Nur Aysar menangis macam tu. Bukan seekor tapi dua ekor dapat, tu yang dia terharu sangat.

“Tertunai juga hasrat dia nak bela kucing, sebelum ni selalu survey kat kedai haiwan peliharaan,” tambah pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Alor Gajah di Melaka itu.

Alya (kanan) bersama Nur Aysar (tengah) dan adik lelaki Nur Aysar.

Alya yang berasal dari Kuala Selangor memberitahu dua kucing itu diberi nama Bella dan Taeyang, dan terdapat kisah di sebalik pemberian nama tersebut.

“Nur Aysar ni memang peminat muzik K-pop terutama Taeyang dan kumpulan Blackpink. Walaupun baru lapan tahun, Nur Aysar boleh hafal nyanyi lagu Taeyang.

“Yang kelakarnya nama Taeyang untuk kucing tu bagi mengubati kekecewaan penyanyi K-pop kegilaannya itu yang telah berkahwin.

“Dia kata kalau tak dapat kahwin dengan Taeyang, dapat kucing nama dia pun jadilah,” katanya secara berseloroh.

Nur Aysar merupakan peminat penyanyi K-pop, Taeyang. Foto Taeyang: IME Production

Taeyang yang juga merupakan anggota kumpulan K-Pop terkenal, Big Bang berkahwin dengan pelakon, Min Hyo Rin pada Februari 2018.

Mengenai kucing Bella, jelas Alya, nama tersebut diberi sempena karakter permainan video yang sering dimainkannya bernama Belle.

“Walaupun kelakar, drama queen dan hati tisu, Nur Aysar sebenarnya seorang kanak-kanak yang lebih matang daripada usianya,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kucing, K-Pop, Taeyang, Big Bang, Black Pink

Artikel Lain