suria

Ada PhD tapi tak gembira! Pemuda ini tertekan hanya mampu kerja GrabFood - “Lihatlah sekarang, ke mana minat telah membawaku?”

Perkongsian kisah lelaki itu menjadi tular di media sosial. (Gambar Hiasan)

"TIDAK berbaloi," demikian luah seorang pemuda berhubung tempoh lapan tahun yang dihabiskannya untuk melengkapkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

Menerusi perkongsian di IIUM Confession itu, penuntut berusia 32 tahun ini mengakui masih lagi terkapai-kapai mencari pekerjaan bagi memperolehi pendapatan yang stabil.

Lebih pilu, dia juga risau kerana tidak dapat membantu tiga adiknya yang masih bersekolah serta ibu bapanya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ada title Dr pun buat apa” - 8 tahun struggle belajar, anak meninggal ketika hampir lengkapkan PhD... ayat suami buat isterinya tersentak!

ARTIKEL BERKAITAN: Mahu buat kejutan, akhirnya sendiri yang sebak! Reaksi ibu buat kembar terima master terharu menyanyi dalam dewan konvo

"Kesian mak ayah aku. Aku patut dah mampu bantu mereka dari segi perbelanjaan harian supaya mereka tak perlu pening berkira-kira dalam hidup.

"Ada lagi tiga adik masih belum habis belajar, pun perlu mereka tanggung.

"Aku? Hanya mampu sara diri sendiri. Maaf ibu ayah dan adik-adik abang," luah pemuda itu.

Perkongsian semula kisah itu di Twitter.

Bercerita mengenai perjalanannya menuntut ilmu, dia memaklumkan sudah menghabiskan pengajian PhD pada 2017.

Ujarnya, dia sudah mencari kerja sejak di peringkat diploma, namun usahanya gagal dan berterusan sehingga ke peringkat PhD.

"Sebab penolakan mereka (syarikat), saya terlebih layak untuk pekerjaan itu. Kalau sorok PhD dan Master dalam resume, mereka akan tanya kenapa ada kekosongan lapan tahun tanpa pengalaman kerja?

Ilmu bukan terletak di universiti sahaja. Di kilang-kilang, pejabat-pejabat hatta di jalan pun ada banyak ilmu lagi. Ingatlah, usahamu di lapangan kerja, orang sekelilingmu mendapat manfaat.

GRADUAN PHD

"Masa tu kena berceritalah kata ada Master dan PhD. Disebabkan itu, mereka tolak saya untuk sebab sama.

"Saya lelaki, umur hampir 32 tahun, tanpa kerja stabil. Aku makin takut dengan hari-hari yang mendatang," luahnya.

Ujarnya, tempoh lapan tahun itu sepatutnya diguna untuk membina kerjaya dan dia kini baru tersedar selepas melihat rakannya memiliki kehidupan yang stabil.

Malah, hidup ahli keluarganya juga pasti lebih baik jika dia sudah lama bekerja, luahnya lagi.

Tambah pemuda itu, jika dibandingkan beban hutang pelajaran yang ditanggung dengan keadaan semasa, ia sememangnya sangat tidak berbaloi untuk meneruskan pengajian hanya kerana minat belajar dan cintakan ilmu.

"Aku mula rasa sinis bila membaca komen-komen sambung belajar sebab minat belajar, buat PhD sebab cintakan ilmu.

"Aku pun begitu dulu, kerana cinta untuk belajar, sumpah benar. Kerana itu, aku sambung belajar hingga PhD.

"Tapi lihatlah sekarang, ke mana minat telah membawaku?" soalnya.

Antara komen netizen di Twitter.

Dia turut memberi saranan bahawa pengajian postgraduate hanya sesuai untuk mereka yang bekerja dengan pengalaman dan kepakaran dalam bidang tertentu.

Malah, pensyarah dan profesor juga perlu berhenti menyasarkan lepasan ijazah untuk menjadi pelajar postgraduate mereka, kata pemuda itu.

"Ilmu bukan terletak di universiti sahaja. Di kilang-kilang, pejabat-pejabat hatta di jalan pun ada banyak ilmu lagi.

"Ingatlah, usahamu di lapangan kerja, orang sekelilingmu mendapat manfaat.

"Usahamu di makmal postgraduate akan tersimpan di celah kulit tebal dan rak buku terperuk dalam perpustakaan. Entah siapa yang akan membacanya nanti," tulis pemuda itu lagi.

Dia juga mengakui mengalami tekanan disebabkan hal itu dan kini bekerja sebagai penghantar makanan GrabFood.

Perkongsian luahan itu dikongsi semula oleh seorang individu di Twitter.

Ia sehingga kini menerima lebih 7,300 ulang kicau (Retweet) dan turut dihujani komen yang meminta agar dia bersabar dan terus berusaha.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain