"KENAPA penerima terakhir ini sugul dan tidak berupaya senyum panjang walau jadi orang terakhir terima sijil bagi sesi terakhir di atas pentas dan penerima Anugerah Naib Canselor (ANC) pula. "Kebiasaannya penerima terakhir di mana-mana sesi pun pasti akan ceria dan membuat aksi-aksi comel sebab penerima terakhir." Demikian komen salah seorang tetamu yang hadir menyaksikan majlis konvokesyen anaknya yang kebetulan sama sesi dengan graduan penerima ANC berkenaan yang tiba lewat ke istiadat tersebut kerana kematian bapa saudaranya. ARTIKEL BERKAITAN: Siapa Nur yang buatkan petugas konvo menangis ketika namanya diumum? - “Tiba-tiba ada sebuah kereta diiringi peronda di tepi dewan” ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak kuat nak naik pentas” - Sayu, isteri dedah suami berahsia sambung master sebab ‘takut malu’, meninggal selepas 4 hari disahkan kanser Komen tersebut ditulis pada posting sedih mengenai kejadian menimpa Nur Ietrah Shahila Sahrum, graduan Diploma Perakaunan yang dikongsi Pegawai Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Segamat, Johor, Kapten (B) Ujud Tabil di Facebooknya, Rabu. Perkongsian tersebut tular dan dalam masa sama mengundang sebak netizen. Jenazah bapa saudara Ietrah selamat dikebumikan di Felda Sungai Tengi, Hulu Selangor. Nur Ietrah Shahila ketika dihubungi mStar berkata dia pada awalnya rasa berbelah bahagi untuk menghadiri majlis konvokesyennya yang sama hari dengan pengebumian bapa saudaranya, Saringat Taiga, 63. "Sebenarnya pakcik saya meninggal petang sebelum konvo (Selasa) akibat kegagalan buah pinggang. Tapi jenazahnya dikebumikan pada pagi keesokan harinya... hari sama Wak (panggilan arwah pakcik) dan keluarga yang lain sepatutnya datang majlis konvokesyen saya. "Pada awalnya saya WhatsApp pensyarah saya, Puan Juyati nak minta nombor pegawai yang menguruskan nama-nama yang hadir ke konvokesyen nak beritahu saya tak dapat hadir. Saya tak nak menyusahkan pihak sana tertunggu saya tanpa jawapan. "Saya cuba telefon pihak sana sebelum pengebumian Wak, tapi panggilan saya tidak berjawab. Selepas selesai pengebumian, saya cuba lagi tapi tidak berjawab. Sampai di rumah, hati saya terdetik untuk hadir. "Saya tanya pendapat ahli keluarga saya, ayah kandung saya dan kakak saya, mereka kata nak cuba ke sana ke? Sempat lagi. Waktu tu dah pukul 11.30 pagi dan saya masih di Felda Sungai Tengi, Hulu Selangor," katanya. Jelas Nur Ietrah Shahila atau lebih mesra disapa Ietrah, dia bagaimanapun pergi semula ke pusara pakciknya untuk menyedapkan hatinya dan bagi mendapatkan kepastian. Ietrah bersama kakak (kiri), adik dan bapanya. "Saya di kubur dekat 10 ke 15 minit. Kemudian saya balik semula ke rumah. Ayah saya tanya lagi keputusan saya. Kawan-kawan saya pun minta saya cuba datang dan saya teringat hasrat arwah yang nak sangat hadir ke konvokesyen saya. "Saya terus kata nak pergi dan terus bersiap untuk ke Segamat. Saya bertolak pukul 12.30 tengah hari dan cuba menghubungi Puan Rozana (nombor diberikan pensyarah saya). Alhamdulillah berjawab. "Saya cerita apa yang berlaku kepada kami sekeluarga. Dia minta saya beri maklumat tentang kelewatan saya. Alhamdulillah dia beri respons positif untuk cuba sedaya upaya membolehkan saya naik ke pentas. "Saya turut minta dia doakan saya dapat memandu dengan selamat. Saya sendiri drive ke sana. Entah dari mana datangnya kekuatan itu. Sepanjang perjalanan tu, kakak saya berbalas WhatsApp dan update lokasi kami dengan Puan Rozana," katanya. Menurut Ietrah, dia terharu kerana disambut baik Jawatankuasa Induk Majlis Konvokesyen UiTM Ke-91 sebaik tiba di Dewan Sri Temenggong. "Perasaan masa sampai tu saya tak tahu nak gambarkan macam mana. Rasa tak percaya dah sampai dan waktu tu rasa kosong sekejap. Tinggal kenangan... Ietrah bersama Wak dan makciknya. "Sampailah ke bahagian pengurusan kekemasan jubah, petugas bantu saya pakai mortar board, selempang ANC. Waktu tu saya rasa saya dihadirkan dengan orang yang sayangkan saya. "Saya tak keseorangan. Saya sebak dan menangis waktu dipakaikan selempang dan topi konvo. Kalau pakcik ada mesti saya akan tanya dia... saya cantik tak hari tu tapi dia tak ada. "Saya terkilan. Saya ditenangkan petugas-petugas lain. Saya cuba senyum dan ucap terima kasih kepada yang bantu permudahkan urusan tersebut," katanya. Kami sangat rapat. Dia dah jaga kami tiga adik-beradik dah lapan tahun. Saya anggap dia sebagai pengganti ibu kami yang dah lama pergi akibat kanser payu dara. NUR IETRAH SHAHILA SHARUM. Graduan Diploma Perakaunan UiTM Segamat, Johor. Ditanya mengenai perasaannya sewaktu tiba gilirannya naik ke pentas, Ietrah berkata hatinya berasa sayu. "Waktu saya berjalan nak ambil skrol dari Dekan saya cuma bercakap dalam hati 'Wak, Ila berjaya naik ke pentas hari ni tapi Wak tak ada dah. "Saya tak tahu nak senyum atau nak nangis masa tu. Perasaan saya bercampur baur. Tepukan gemuruh segenap dewan sedikit sebanyak menenangkan hati saya. "Saya yakin tepukan kuat tu datang dari tangan kecil keluarga saya dan rakan-rakan saya. Jadi saya buat keputusan untuk cuba senyum waktu tu," katanya. Ietrah menyambung pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda atas permintaan pakciknya untuk mengubah nasib keluarga. Gadis berusia 21 tahun itu mengakui kehilangan pakciknya itu amat dirasai kerana hubungan mereka amat rapat. "Kami sangat rapat. Dia dah jaga kami tiga adik-beradik dah lapan tahun. Saya anggap dia sebagai pengganti ibu kami yang dah lama pergi akibat kanser payudara. "Walaupun dia garang tapi baik hati. Saya tak pernah rasa dianaktirikan. Wak tak pernah cakap kalau duit tak cukup untuk bagi kami tiga beradik belanja sekolah. Dia tetap cuba bagi yang terbaik. "Walaupun tarikh konvo saya dah keluar sebulan lepas, Wak dah excited nak ke sana. Baju untuk dia dan makcik pun kakak saya dah belikan. Agak terkilan juga sebab dia tak sempat nak pergi dan pakai pun baju tu," katanya sebak. Ietrah berjaya mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.87 dan dinobatkan antara graduan terbaik sepanjang menuntut di universiti tersebut. Anak kedua daripada tiga beradik itu kini sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di UiTM Puncak Alam.