suria

Hilang 5 hari selepas bawa Grab, suami akhirnya balik rumah namun apa sebenarnya yang berlaku? – “Macam orang kena sampuk pun ada”

Wanita bernama Shakila Hamzah memuat naik posting di dalam media sosial untuk meminta bantuan orang ramai mengesan suaminya yang hilang ketika membuat perkhidmatan Grab.

“ALHAMDULILLAH, suami saya akhirnya pulang dengan selamat,” kata seorang wanita yang kehilangan suaminya selama lima hari selepas keluar untuk mencari rezeki dengan menawarkan khidmat e-hailing, Grab.

Ketika dihubungi mStar, wanita yang bernama Shakila Hamzah itu berkata, suaminya Mohd Faizal Ibrahim keluar dari rumah mereka di Larkin, Johor pada Ahad lalu untuk mengambil penumpang.

Bagaimanapun, suaminya tidak pulang ke rumah seperti biasa selepas selesai bekerja, menyebabkan dirinya bimbang dan tertanya-tanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Abang askar jaga isteri berpantang bak permaisuri, layanan tip top dari anak pertama hingga keenam - “Risau juga orang cop saya queen control” 

ARTIKEL BERKAITAN: Suami nak ‘outstation’ naik pangkat, isteri dalam pantang sanggup packing barang - “Selepas balik tiba-tiba dia baik lain macam...” 

“Saya memang hubungi dia namun langsung tak dapat. Kemudian saya tanya rakan-rakan, keluarga dan kenalan. Memang merata-rata saya cari, tapi tak ada khabar berita.

“Hari kedua, pada petang Isnin tu, saya pergi buat laporan polis mengenai kehilangan suami. Masuk hari ketiga tapi masih tak ada khabar berita, saya dah tak tahan sangat sebab itu saya post di media sosial untuk minta bantuan orang ramai. Pada mulanya ada pihak yang tak setuju saya viralkan, tapi saya rasa dah tak ada cara lain melainkan kongsi di media sosial.

“Alhamdulillah, berkat pertolongan orang ramai, suami saya akhirnya pulang ke rumah kami pada pagi Khamis,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada netizen yang prihatin.

Posting terbaharu Shakila selepas suaminya selamat pulang ke rumah pada Khamis.

Bercerita lebih lanjut, Shakila berkata selepas berita kehilangan itu dikongsikan di media sosial, pihak Grab ada menghubunginya dan menyatakan lokasi terakhir suaminya.

“Selepas dihubungi pihak Grab, saya rasa sedikit lega kerana sekurang-kurangnya ada maklumat mengenai suami saya. Kemudian, saya dapat panggilan telefon daripada pihak polis yang menyatakan suami saya ada menghubungi mereka.

“Pegawai itu pesan kepada saya, nanti apabila suami pulang, segera minta pergi laporkan ke balai polis. Jadi apabila suami pulang pada pagi Khamis, selepas dia mandi serta tukar baju, kami ke balai seperti yang diarahkan,” ujarnya.

Wanita yang berusia 35 tahun ini berkata, ketika pulang dari balai polis, suaminya kelihatan kurang bermaya dan tidak banyak bercakap.

Antara komen netizen yang turut sama mengucapkan syukur dengan perkembangan terbaharu mengenai kepulangan suami Shakila.

“Kalau saya tengok, keadaannya macam pelik sedikit. Macam orang kena sampuk pun ada. Iyalah, kita tak tahu dia pergi ke mana masa hantar penumpang. Penumpang pun ada macam-macam ragam.

“Sehingga kini (berita ditulis) dia masih tak menceritakan apa yang berlaku sepanjang kehilangannya. Saya juga enggan terlalu memaksa. Dia juga enggan berjumpa dengan siapa-siapa pun buat masa ini. Nantilah biar suami berehat dahulu. Yang penting saya bersyukur suami pulang dengan selamat,” ujarnya.

Menurut Shakila, dia merancang untuk membawa suaminya mendapatkan rawatan perubatan Islam kerana khuatir ia berkaitan dengan unsur-unsur mistik.

“Yang penting, saya nak suami berehat dan keadaan tenang dahulu. Kemudian mungkin kami akan bawa berubat dengan ustaz,” ujarnya mengakhiri bicara. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Grab, sampuk, hilang

Artikel Lain