suria

Gadis ‘hilang’ nikmat makan guna tangan sebab ekzema – “Saya sampai total lost, rasa nak potong tangan tapi...”

Kerana jari mengalami ekzema, Nur Dini terpaksa makan menggunakan sudu dan garpu. Foto ihsan Nur Dini Aqilah Muhammad Hafez

KEBANYAKAN kita sudah terbiasa makan menggunakan tangan terutama nasi berlauk kerana itu yang diajar sejak kecil.

Jadi, apabila ada yang makan menggunakan sudu dan garpu, pasti ada mata yang memandang secara sinis, dikatakan lupa adat sampai dituduh berlagak!

Namun, antara mereka yang makan tanpa menggunakan tangan itu sebenarnya hanya Tuhan saja yang mengetahui betapa peritnya mereka menanggung derita.

ARTIKEL BERKAITAN: Dek kerana misai, tangan berbulu... gadis 'handsome' dilamar, tapi respons ibunya aduhai selamba je

ARTIKEL BERKAITAN: Tangan dah la ‘besar sebelah’ cium bau kari pula tangan kiri! Gadis ayu jawab bau tu dah sampai kaki

Seperti gadis ini, dia hilang kenikmatan untuk makan menggunakan tangan sendiri selama dua tahun kerana menghidap penyakit kulit ekzema, iaitu sejenis radang pada kulit yang menjadi merah, kering, gatal dan merekah.

Perkongsian Nur Dini mendapat sokongan dan motivasi daripada warganet.

Nur Dini Aqilah Muhammad Hafez berkata, dia mengalami penyakit kulit itu sejak bayi, tetapi keadaan ketika itu tidak begitu serius.

Pelajar berusia 20 tahun itu memberitahu, penyakit ekzema mula menjadi masalah baginya apabila ia merebak ke bahagian belakang badannya.

“Masa tu saya baru 13 tahun. Ada cuba krim tapi tak begitu berkesan atau kejap ok, kejap tak ok. Tapi bila mak sapu dengan minyak zaitun, lama-kelamaan ia hilang.

“Tapi sejak dua tahun lalu, jari-jari tangan saya pula kena ekzema. Mula-mula satu jari saja yang kena, lepas tu merebak ke jari-jari lain,” katanya kepada mStar.

Jari-jemari Nur Dini merekah dan kemerahan.

Sejak itu, Nur Dini berkata, dia mengalami kesukaran untuk melakukan aktiviti tertentu dengan selesa terutama semasa menikmati hidangan.

“Penyakit ni membuatkan kulit-kulit jari saya mengelupas, dan bila keluar air akan ada rasa berbisa. Pernah keluar air seperti bernanah.

“Bila tidur, saya memang tak sedar sampai kadang-kadang rasa gatal tu tergaru jari-jari sehingga kulit terkoyak dan keluar darah,” ujar pelajar Ijazah Sarjana Muda Kimia dan Pengurusan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Sebenarnya ada ramai lagi yang tidak bernasib baik berbanding saya sebab antara mereka dilahirkan tanpa tangan. Saya sebak bila mengenangkan mereka

NUR DINI

Malahan, gadis yang berasal dari Bangi, Selangor itu turut mengalami masalah setiap kali mengikuti sesi kuliah di universiti terutama ketika menulis nota.

“Bilik kuliah biasanya sejuk sebab ada penyaman udara, ia akan membuatkan kulit saya menjadi tegang. Kulit jari saya akan merekah dan masa tu rasa sakit sangat apabila menulis nota atau menyiapkan tugasan, terpaksa layan rasa sakit tu,” katanya.

Terpaksa menahan sakit setiap kali kulit merekah.

Menurut Nur Dini yang telah melalui beberapa rawatan, kesakitan itu kadang-kadang membuatkan dia tertekan sehingga terlalu emosi mengenang nasib dirinya.

“Sampai satu tahap, tekanan itu tak dapat dikawal sehingga saya rasa nak potong saja tangan-tangan ini. Rasa dah tak tertangung, macam total lost sampai menangis.

“Tapi bila saya fikir semula, sebenarnya ada ramai lagi yang tidak bernasib baik berbanding saya sebab antara mereka dilahirkan tanpa tangan. Saya sebak apabila mengenangkan mereka,” ujar anak anak sulung daripada empat beradik itu.

Nur Dini syukur kerana mendapat sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan.

Namun, dia bersyukur kerana mempunyai keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa memberi sokongan kepadanya, sedikit-sebanyak memberi kekuatan pada dirinya.

“Mak ayah ada pesan, ‘sabarlah, ujian yang Allah SWT beri ni sebab nak uji kekuatan kita dan Dia tahu yang saya kuat untuk mengatasi kelemahan diri.

“Ada masa saya lost dan ada masa saya kuat. Semoga Tuhan terus memberi kekuatan kepada saya, dan berharap penyakit ekzema yang saya hadapi ini sembuh segera kerana jujurnya saya amat merindui makan menggunakan tangan,” ujarnya dengan nada sebak.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
ekzema, kulit, nanah, UiTM

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan