USIANYA baru sembilan tahun, namun siapa sangka umur semuda itu dia sudah pandai melipat kain untuk dijadikan tanjak. Kebolehan dan bakat kanak-kanak ini mula menjadi tumpuan selepas seorang lelaki dengan menggunakan akaun KhariKJ_ memuat naik video di Twitter menunjukkan dirinya sedang melakukan demonstrasi melipat tanjak dalam masa hanya beberapa minit. Ternyata video tersebut mengundang perhatian netizen apabila ia meraih sehingga 9,900 retweet selain ditonton sehingga melebihi 154,000 kali. ARTIKEL BERKAITAN: Dipanggil ‘Agong, Permaisuri junior’, 2 budak ini lawat Muzium Diraja selepas tanya siapa tuanku... Paling best Tunku Azizah komenlah! – “Tapi tak sempat lawat pintu gerbang Istana Negara” ARTIKEL BERKAITAN: Budak pakai lampin hisap vape jadi bahan lawak, doktor persoal respons publik – “Adakah kita mahu perkara ini dianggap biasa?” Berkongsi cerita dengan mStar, ibu kepada kanak-kanak yang dikenali sebagai Muhammad Haziem Hisham itu berkata, minat anaknya mula berputik beberapa bulan lalu selepas menonton filem Upin Ipin Keris Siamang Tunggal. “Dia sebenarnya seperti kanak-kanak lain juga yang gemar bermain termasuk permainan video. Cuma dalam tiga empat bulan kebelakangan ini, dia tiba-tiba minat membuat lipatan tanjak. Video yang dimuat naik oleh seorang pelayar Twitter yang memaparkan Haziem melipat tanjak diulang kicau hingga melebihi 9,000 kali. “Saya perasan sejak dia menonton filem Upin Ipin tu, dia tertarik melihat satu kumpulan bikers yang berkonvoi memakai tanjak. Ketika menghadiri kenduri, dia juga tertarik melihat pengantin lelaki yang segak mengenakan tanjak. "Bermula daripada situ, dia mengambil sampin ayahnya yang sudah tidak dipakai untuk dibuat tanjak. Banyak helai jugalah sampin ayahnya yang 'terkorban' demi minatnya ini,” ujar Rosida Ishak bercerita mengenai minat anaknya itu. Menurut Rosida, anak bongsunya yang juga pelajar di Sekolah Kebangsaan Cochrane Jalan Shahbandar, Kuala Lumpur hanya menonton panduan melipat tanjak daripada Youtube sahaja. Antara tanjak hasil lipatan Haziem. “Kebetulan ketika mengunjungi rumah saudara kami, dia ternampak ada tanjak. Dia ambil tanjak itu untuk dijadikan contoh. Bila pulang ke rumah, dia ambil kain sampin bapanya yang sudah tidak dipakai dan dia ukur ikut tanjak contoh itu. “Kemudian, dia hantar kain ke sebuah kedai jahit untuk dijahit dengan kain bagi mengeraskan kain sampin itu. Bila kain dah siap dijahit pengeras, barulah dia mula melipat tanjak dengan hanya merujuk Youtube. “Apa yang membuatkan kami sekeluarga kagum, dia siap boleh melipat beberapa lipatan tanjak seperti Nakhoda Trong, Dendam Tak Sudah dan beberapa lagi jenis lipatan,”ujar wanita berusia 49 tahun ini. Bercerita lebih lanjut, Rosida berkata, Haziem bukan sekadar melipat tanjak, malah dia juga siap menggayakan lagi tanjaknya terutama ketika mengikut ayahnya ke surau. “Dia tanya saya, bolehkah solat pakai tanjak? Saya kata boleh, tidak ada masalah. Dan sejak itu dia pakai apabila ke surau dan juga menghadiri kelas mengaji. Sampaikan ustaz yang ajar dia mengaji turut tertarik dengan tanjak Haziem lantas anak saya menghadiahkan kepadanya,”ujar ibu kepada tiga cahaya mata ini. Apa yang membuatkan kami sekeluarga kagum, dia siap boleh melipat beberapa lipatan tanjak seperti Nakhoda Trong, Dendam Tak Sudah dan beberapa lagi jenis lipatan ROSIDA ISHAK IBU Dalam pada itu Rosida berkata dia bersama suami amat menyokong minat Haziem dan sedia menghantar anaknya 'berguru' dengan mana-mana individu yang mempunyai ilmu dalam seni melipat tanjak sebagaimana yang diinginkan anaknya itu. “Kalau ada guru yang mahu menawarkan diri untuk mengajar Haziem, apa salahnya. Kami amat alu-alukan. Tambahan pula Haziem juga ada berkata dia bercita-cita mahu membuka sebuah kedai tanjak apabila dewasa kelak,”katanya. Tidak menyangka bakat Haziem viral sehingga menjadi perhatian ramai, Rosida berkata dia berharap agar perkara itu membuka mata generasi muda sekarang yang semakin melupakan seni warisan Melayu. “Memang rasa kagum juga lah bila budak umur macam dia kreatif, apatah lagi mengangkat seni warisan Melayu. Bagus juga, setidak-tidaknya warisan kita tidak dilupakan,” ujarnya mengakhiri bicara. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) on Nov 2, 2019 at 9:46pm PDT