suria

“Baru dia tahu betapa susahnya saya hari-hari” - Pernah dilabel perigi cari timba, wanita ini ‘buat hal’ lagi... kali ini try kerusi roda suami

Firdaus (gambar kiri) percaya kekurangan pada dirinya bukan penghalang untuk dia terus berjaya.

SETIAP antara kita pasti diuji dengan musibah, ujian atau masalah. Namun perlu diingat bahawa setiap ujian yang didatangkan mampu membentuk diri kita agar menjadi seorang yang lebih bersabar dan bersyukur.

Apa yang pasti selepas ditimpa sesuatu masalah atau dugaan, seseorang itu perlu bangkit dan jangan sesekali mengeluh dengan nasib yang menimpa diri.

ARTIKEL BERKAITAN: Maaflah dah 19 tahun tiada tangan! Terima pakwe OKU bukan sebab harta, rupa... “Bagi saya dia tiada kekurangan”

Siapa sangka, video berdurasi 0:30 saat yang dimuatnaik oleh seorang atlet di akaun Twitter miliknya pada Khamis mendapat respons luar biasa apabila seorang wanita dilihat sedang berusaha menggerakkan kerusi rodanya untuk menaiki bukit.

Posting yang mendapat respons positif daripada netizen.

Melihatkan video tersebut, kebanyakan netizen meluahkan rasa kagum atas usaha yang ditunjukkan oleh wanita berkenaan.

"Bawa isteri pergi ikut latihan hari ini. Aku cakap kat dia bukit nilah aku naik hari-hari. Lepas tu, dia cakap dia nak cuba naik. Haa... itu dia!" tulis atlet para ini menerusi kapsyen pada posting tersebut.

Menurut Muhamad Firdaus Ibrahim, 23, isterinya, Siti Fatimah Mohd Nor adalah seorang yang normal dan pada hari video itu dirakam, wanita itu menyuarakan hasratnya untuk merasai sendiri kesukaran latihan yang perlu dilalui Firdaus.

"Hari tu saya saja cakap pasal bukit itulah yang saya naik hari-hari. Lepas tu dia cakap nak cuba naik bukit tu dengan kerusi roda saya. Saya bagilah dia guna kerusi roda harian saya.

"Haa... baru dia tahu betapa susahnya saya hari-hari. Saya sebenarnya ada dua kerusi roda, satu saya guna untuk aktiviti harian. Lagi satu kerusi roda khas untuk saya training," kata Firdaus ketika dihubungi mStar.

Isteri Firdaus  sering menemaninya menjalani latihan pada setiap hujung minggu.

Merupakan salah seorang atlet tenis paralimpik negara, Firdaus berkata lumpuh separuh anggota badan bukanlah satu bebanan atau halangan kepadanya untuk melakar nama dalam sukan tenis.

Kongsi Firdaus lagi, jika mempunyai kelapangan, isterinya sering mengikuti dan menemaninya menjalani latihan pada setiap hujung minggu di Akademi Tenis Antarabangsa Duta, Kuala Lumpur.

"Selalunya setiap hujung minggu kalau isteri free, dia selalu teman saya buat latihan. Sebab saya selalu berlatih seorang. Jadi kalau ada dia, dia akan tolong baling bola, kutip bola, sembang-sembang dengan saya... macam tulah," jelas Firdaus.

Tidak wujud istilah perigi cari timba sebenarnya, bahkan saya sangat bersyukur apabila memiliki seorang isteri yang sangat memahami serta terima kekurangan saya.

MUHAMAD FIRDAUS IBRAHIM

ATLET TENIS PARALIMPIK NEGARA

Dia yang berasal dari Bagan Serai, Perak ini, mengakui berdepan pelbagai kesukaran dalam menjalani aktiviti harian, namun berkat kesabarannya dia kini berada di satu tahap yang dia sendiri tidak pernah menjangkanya.

"Tipulah kalau saya cakap tak pernah rasa susah. Mula-mula saya rasa macam tak boleh terima juga, mana tidaknya sebelum ni kita hidup normal, boleh berjalan. Tiba-tiba hilang nikmat macam tu saja, sampaikan terpaksa bergerak guna kerusi roda.

"Pernah terfikir juga macam mana nak teruskan hidup dengan keadaan macam ni. Tapi apa-apa pun saya syukur, sebab keluarga dan kawan-kawan banyak bagi sokongan dan itu jugalah buatkan saya lebih bersemangat," katanya.

Jelasnya lagi, kecacatan yang menyebabkan dia lumpuh kedua dua belah kakinya berlaku selepas dia terlibat dalam kemalangan ketika berusia 16 tahun.

Firdaus (dua dari kanan) bersama rakan atlet tenis ketika memenangi pingat gangsa dalam Sukan SEA 2017.

Dalam pada itu, perkahwinannya yang berlangsung pada Ogos lalu pernah menarik perhatian ramai apabila Siti Fatimah yang melamarnya.

"Tidak wujud istilah perigi cari timba sebenarnya, bahkan saya sangat bersyukur apabila memiliki seorang isteri yang sangat memahami serta terima kekurangan saya.

"Satu saja, isteri saya ni seorang yang positif. Susahlah nak tengok dia ambil sesuatu perkara tu negatif. Contoh kalau saya cakap benda-benda yang negatif, dia pasti akan putar jadikan benda tu positif dan itu yang membuatkan saya lebih semangat lagi," luahnya.

Dalam pada itu, Firdaus turut mendedahkan bahawa dia pernah mengalami masalah kemurungan yang kadang kala membuatkan dia lebih selesa duduk bersendirian. Malah, pernah sampai satu tahap dia seperti ingin bunuh diri.

"Alhamdulillah, sekarang saya semakin sihat sebab keluarga dan isteri banyak bagi semangat dan sebab itu jugalah saya rasa saya perlu fokus dalam bidang ini," ujarnya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
atlet, lumpuh, isteri, positif

Artikel Lain