suria

“Tengah cakap, telefon terputus” - Datuk, nenek gigih sara 6 cucu selepas ibu bapa mereka ‘lesap’... umur 10 tahun dah mesin rumput demi duit sekolah!

Kesempitan hidup yang dialami oleh Nek Esah dan suaminya bukan alasan untuk mereka mengabaikan pelajaran enam cucunya.

"MAK kami nak belajar tapi tak cukup itu, tak cukup ini," demikian luahan salah seorang cucu kepada neneknya yang dipanggil 'mak'.

Lantas nenek yang menjaga enam cucunya itu menjawab, "Sabar, nanti mak dengan bak (datuk) dapat duit kita beli untuk semua."

Tidak hanya bergantung kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bantuan pihak sekolah serta belas ihsan daripada orang ramai, pasangan tua ini turut bekerja demi menanggung enam cucunya yang berusia antara lapan hingga 16 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Comel! Sayang punya fasal, opah bawa cucu pergi mengajar aerobik, atuk pula marah tak disuruh mandikan baby

Ponisah Tumin, 53, atau lebih mesra disapa Nek Esah berkata walaupun diuji dari segi kewangan dalam menanggung keluarga kecilnya itu, namun dia sedaya upaya cuba memberikan pendidikan sempurna kepada kesemua cucunya.

Walaupun keadaan kesihatan semakin merosot, ia tidak mengahalang Nek Esah untuk terus bekerja bagi menyara enam cucunya. 

"Kalau ikutkan memang orang dah tak mahu bagi saya kerja dengan kesihatan macam ni. Tapi bila fikir cucu nanti tak ada duit belanja, saya terpaksa cari kerja juga. Saya baru saja mula kerja dekat warung tepi jalan lebih kurang sebulan lepas.

"Gaji kat situ RM30 sebulan. Kalau saya sihat saya kerja, kalau tak sihat tak kerjalah. Biasalah bila dah tua macam ni kena ikut badan juga," kata Nek Esah ketika dihubungi mStar.

Jelas Nek Esah lagi, suaminya, Majid Dawan yang berumur 70 tahun turut membantunya dalam menguruskan perbelanjaan harian mereka sekeluarga dengan melakukan kerja-kerja kampung seperti mengambil upah mesin rumput.

"Suami pun ada tolong-tolong juga macam ambil upah mesin rumput, itu pun bukan kerja tetap. Kalau ada orang panggil adalah duit lebih sikit, tapi kalau tak, tak adalah. Kadang-kadang kalau dia tak sihat, cucu lelaki yang umur 10 tahun tu yang ganti dia pergi mesin rumput," luah Nek Esah.

Hanya saya saja yang selalu telefon anak-anak. Nak harapkan mereka? Payah sangat... Tapi itulah, kadang-kadang bila tengah cakap, tiba-tiba saja telefon terputus, tak berbunyi.

PONISAH TUMIN

Dia yang mempunyai masalah kesihatan seperti sakit jantung dan darah tinggi berkata, kesemua enam cucunya diletakkan di bawah tanggungannya bersama suami selepas mereka ditinggalkan tiga pasangan ibu bapa masing-masing sejak masih bayi.

Menurut Nek Esah lagi, cucu-cucunya memanggilnya 'mak' manakala suaminya, sebagai 'bak' dek kerana bagi mereka, pasangan ini telah dianggap seperti ibu bapa mereka sendiri.

"Kesemuanya saya ada 22 orang cucu, tapi hanya enam orang ditinggalkan pada saya dan suami sejak mereka masih merah lagi. Semuanya sekolah lagi macam yang paling besar sekarang ni umur 16 tahun dan yang kecil baru lapan tahun," kongsinya lagi.

Ujar wanita ini, walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan dan daif, dia dan suami tetap memberikan yang terbaik buat mereka terutamanya dari segi pendidikan.

Salah seorang cucunya berusia 10 tahun menggantikan datuknya melakukan kerja mesin rumput.

"Masa kecil-kecil dulu mereka selalu cakap, saya nak sekolah mak. Jadi nak buat macam mana, nak tak nak saya kena layankan juga. Sebab bila fikir balik pendidikan tu sangat penting, jadi saya dengan suami sanggup berkerja walaupun tak larat demi nak bagi mereka sekolah.

"Dan pernah juga mereka bunyi, mak kami nak belajar tapi tak cukup itu, tak cukup ini. Saya cakaplah sabar, nanti mak dengan bak dapat duit kita beli semua," katanya yang berasal dari Pontian, Johor.

Tambah wanita ini, dia sering mengingatkan keenam-enam cucunya agar belajar bersungguh-sungguh supaya masa depan mereka lebih cerah.

"Selalu juga saya ingatkan, awak kena belajar baik-baik supaya nanti awak semua senang... ada yang nak jadi doktor, nak jadi cikgulah, seronok saya dengar.

"Malah mereka pun selalu cakap, mak kalau saya kerja nanti saya akan ingat mak dengan bak saja, kalau saya ada gaji, saya nak belanja semua. Itulah apa yang mereka kata kat saya hari-hari," luahnya dengan gembira.

Menurut Nek Esah, jarang-jarang sekali anak-anaknya datang menjenguknya dan suami, apatah lagi bertanyakan khabar. Sebaliknya hanya dia sahaja yang sering menghubungi mereka jika terasa rindu di hati.

Posting yang dimuatnaik menerusi bebenang.

"Hanya saya saja yang selalu telefon anak-anak. Nak harapkan mereka? Payah sangat... Tapi itulah, kadang-kadang bila tengah cakap, tiba-tiba saja telefon terputus, tak berbunyi. Anak-anak selalu letak telefon bila dengar suara ayah mereka. Mestilah kita terasa," katanya dengan sedikit sebak akan tindakan anak-anaknya.

Tidak hanya itu, kongsi wanita ini keenam-enam anaknya seakan-akan melepaskan tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa terhadap dirinya dan suami.

"Tentang mak ayah mereka, sekalipun tak pernah nak bantu. Saya cakap terus terang, nak bantu-bantu ni tak ada. Kalau bagi (bantuan) pun dua ke tiga bulan sekali lepas tu selang pula bulan lain. Susahlah, cucu nak sekolah, nak belanja harian lagi. Saya ni lagi rasa terbeban. Rumah nak kena bayar, duit api, duit air lagi. Anak-anak kalau datang pun sekejap, tak ada langsung nak hulur duit ke apa," ujarnya.

Namun katanya, walaupun diuji dengan kesempitan hidup, nenek kepada enam cucu jagaannya ini bersyukur kerana masih ada pihak yang sudi tampil menghulurkan bantuan dari segi kewangan serta makanan.

"Kalau nak ikutkan wang bantuan dari pihak JKM memang tak cukup, mujur ada orang yang sudi bantu kami sekeluarga. Apapun, saya tetap bersyukur kepada Allah dan fikir ini hanyalah dugaan dariNya," luahnya.

Kisah ini mendapat perhatian ramai selepas tular satu posting yang dimuatnaik oleh seorang gadis di akaun Twitter miliknya @nabb_bee  pada Khamis.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
cucu, sekolah, nenek, miskin

Artikel Lain