KANAK-kanak mana yang tidak suka mandi di kolam renang? Bagi mereka, itulah saat yang paling menyeronokkan. Menyedari hakikat itu, seorang ibu mengambil inisiatif untuk memenuhi impian anak-anaknya dengan membina kolam renang di rumah mereka. Paling istimewa ia dibuat dengan tangan dan keringat ibu dua anak ini, bersama suami dan adik-beradik demi merealisasikan kolam renang dilengkapi taman buatan sendiri. ARTIKEL BERKAITAN: Kejutan hadiah buat adik-adik, tapi abang yang sebak “Tak pernah meminta-minta, tapi saya tahu mereka teringin” ARTIKEL BERKAITAN: Umur 64 tahun baru merasa masuk mall, wanita ini enggan keluar kereta... alasannya buat ramai bergenang air mata Ibu berkenaan, Zulieda Hezline Atherra Mohd Zulkifli memberitahu, kolam renang berserta taman itu siap sepenuhnya dua minggu lalu, tetapi berita gembira itu baru dikongsikan di laman sosialnya pada Ahad lalu, sebelum ia menjadi tular. Kerja-kerja mengorek tanah dan menyimen batu-bata. Wanita berusia 26 tahun itu berkata, ia mengambil masa kira-kira sebulan untuk disiapkan dan segala proses pembinaan dilakukan sendiri tanpa bantuan orang luar. “Anak sulung saya, Mohammad Darryl Abrar yang berusia tiga tahun begitu suka mandi di kolam renang. Tapi rumah kami tak ada kolam renang. “Sudahnya, hampir setiap bulan saya dan suami akan bawa Darryl dan adik dia, Mohammad Dayyan yang baru setahun ke mana-mana hotel yang mempunyai kemudahan kolam renang untuk beristirehat,” katanya kepada mStar. Keadaan projek belum siap dengan takungan air akibat hujan. Lebih mesra dengan panggilan Hezline Atherra, dia yang menetap di Kemaman, Terengganu berkata, aktiviti bulanan itu turut memberi cabaran kepada mereka untuk merasai pengalaman yang berbeza. “Dari Kemaman, kami sanggup melalui perjalanan beratus kilometer ke Port Dickson, Negeri Sembilan bagi menikmati kolam renang di hotel yang lain. “Bayangkan sejak dua tahun kami sekeluarga berpindah ke rumah di Kampung Penunjuk Kijal di Kemaman, saya asyik tenung halaman rumah yang kosong sampai kadang-kadang penuh dengan lalang,” katanya. Proses mengecat pada bahagian dalam kolam. Hezline Atherra yang merupakan jurusolek sambilan berkata, dia dan keluarganya kemudian mencetuskan idea untuk membina kolam renang di halaman rumahnya, sebagai hadiah untuk anak-anaknya sempena hari ulang tahunnya ke-26 pada 19 Oktober lalu. “Bersungguh-sungguh saya, suami dan adik-beradik korek tanah, ikat bata, buat simen, untuk siapkan taman dan sebuah kolam renang sedalam kira-kira 5 kaki. “Tanya pihak luar, kos buat kolam renang boleh mencecah RM50,000! Kos kami cuma kira-kira RM5,000 sekali dengan taman,” katanya yang turut mengusahakan perniagaan kedai makan bersama keluarga. Bayangkan sejak dua tahun kami sekeluarga berpindah ke rumah di Kampung Penunjuk Kijal di Kemaman, saya asyik tenung halaman rumah yang kosong sampai kadang-kadang penuh dengan lalang. HEZLINE ATHERRA Sebagai anak sulung, dia turut digelar ‘rimau’ dalam kalangan lima adiknya kerana sikapnya yang garang tetapi penyayang. “Adik-adik saya ni rajin menolong, tapi malas nak buat waktu siang sebab panas. Masing-masing tak nak terbakar kulit, semua puteri lilin!” katanya secara berseloroh. Hezline Atherra bersyukur mendapat kerjasama keluarga terutama suami dan adik-beradiknya dalam merealisasikan kolam bertaman. Walaupun kebanyakan masa projek dibuat pada waktu malam sehingga pukul 3 pagi, tapi kata Hezline Atherra, cabaran untuk merealisasikan kolam renang bertaman itu tetap ada. “Ada dua kali hujan masa kami tengah buat kerja. Masa tu masing-masing kelam-kabut berlari cari tempat berteduh dan masuk rumah, habis semua basah kuyup. “Sebab musim hujan juga menyebabkan projek terpaksa ditangguhkan selama seminggu. Tapi, itulah keseronokannya bila membinanya dengan tangan sendiri dan kemudian digunakan bersama keluarga dan adik-beradik bila dah siap. “Sekarang ni dah tak payah jalan jauh semata-mata nak cari kolam renang, sebab dah ada sekarang bak kata adik-adik kolam dan taman kami macam ‘Little Bali’ dan Cameron Highlands sebab ada banyak pokok bunga,” ujar Hezline Atherra.