suria

“Tengoklah, siapa buat sepah? Siapa pengotor?” - Seminggu balik kampung, ketua rumah ‘bongkar’ ada juga orang Kelantan yang bersih!

Keadaan berselerak dan berbau hapak mengejutkan ketua rumah ini.

"EH! Rumah aku kena rompak? Kenapa boleh jadi sampai macam ni," merupakan antara persoalan yang bermain di fikiran salah seorang penghuni kediaman jenis studio apartment ini.

Seakan-akan 'tongkang pecah', itulah ungkapan yang paling sesuai untuk menggambarkan keadaan rumahnya yang terletak di Cyberjaya, Selangor itu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak sangka sangat teruk sampai macam tu” - Rumah baru beli 2 tahun 'hancur berkecai', penyewa lesap!

Insiden malang ini menimpa seorang lelaki yang menyewa bersama rakan-rakannya. Tidak sekadar barangan bersepah dilantai bersepah, ia juga datang dengan 'pakej' bau hapak dan semestinya menyakitkan mata.

Keadaan rumah yang berselerak dengan pakaian di lantai.

Menurut Ahmad Mursyid Mohd Harith, 21, dia sangat terkejut selepas mendapat mesej serta beberapa foto yang dihantar oleh salah seorang rakan rumah menerusi aplikasi WhatsApp.

Dikenali sebagai Mursyid, dia pada mulanya menyangka rumahnya telah dimasuki perompak apabila melihat barangan dalam rumah serta pakaian berselerakan.

"Buka mesej saja terus terkejut! Ingatkan rumah kena pecah masuk, tapi rupa-rupanya ni kerja budak rumah. Sengaja mereka biarkan berselerak macam tu dengan  pakaian dibiarkan bersepah di lantai, keadaan tilam juga berubah.

"Nak marah ada, nak gelak pun ada... ye lah sebab kami dah lama kenal, satu sekolah dulu. Jadi nak marah pun tak syok juga, sebab kawan.

"Saya balik kampung Jumaat lepas sebab dah lama tak balik. Cuti pula dua minggu, tapi tak sampai seminggu saya tak ada, habis 'hancur' keadaan rumah tu," katanya ketika dihubungi mStar.

Dia yang bekerja sebagai penghantar makanan GrabFood menjelaskan dia mendapat tahu tentang keadaan rumah sewanya itu pada Selasa lepas, selepas lima hari pulang ke kampung.

Tak bolehlah cakap macam tu,  tak semua orang jenis pengotor, malas. Ada saja yang jenis pembersih. Itu semua atas kesedaran individu tu sendiri bukan terletak atas negeri dia

AHMAD MURSYID

Penghuni kondominum

Kongsi anak kelahiran Kelantan ini, rumah berkenaan didiami seramai tujuh orang sejak empat bulan lalu.

Kata Mursyid, biarpun bukan merupakan kali pertama berlaku namun ini merupakan yang paling teruk sejak dia tinggal di situ.

"Sebelum ni tak adalah sampai teruk macam ni, habis sampai tilam pun 'dikerjakannya'. Terfikir juga apa bendalah yang mereka ni buat.

"Mentang-mentang ketua rumah balik kampung, mereka buat party! Lepas tengok gambar tu, saya cakaplah, sebelum aku balik, tolonglah kemas balik semua ni. Tegur biasa-biasa saja, sebab kawan-kawan," luahnya.

Menceritakan pengalamannya, Mursyid berkata selain rumahnya yang sering ditinggalkan dalam keadaan bersepah, terdapat juga rakan serumah yang malas mencuci baju.

"Ada juga yang jenis ulang pakai baju yang sama tanpa basuh sampai beberapa hari, lepas tu sangkut balik dalam almari. Kalau jenis makan tak basuh sampai beberapa hari tu, boleh cakap perkara biasalah. Tapi tak adalah sampai berulat.

"Memang dah dibahagi tugas masing-masing, ada hari-hari tertentu untuk mereka kemas, tapi bila ketua balik kampung, mulalah mereka lupa semua tu," ujarnya.

Mesej beberapa keping foto dihantar oleh rakannya menerusi WhatsApp.

Kisah ini turut dikongsi oleh lelaki ini di Twitter miliknya @SyizzMarquez pada Selasa dengan kapsyen, 'baru tinggal beberapa hari rumah sewa, balik kampung tengok apa dah jadi'. 

Dalam pada itu Mursyid juga mengaku sedar akan tanggapan sesetengah masyarakat yang melabelkan orang Kelantan sebagai 'pengotor' namun dia sedikit pun tidak terusik dengan kata-kata negatif itu.

Ini kerana, dia lebih tahu apa yang berlaku kerana kesemua rakan serumahnya berasal dari negeri berbeza dan hanya dia sahaja berasal dari Kelantan.

"Dari dulu lagi saya selalu dengar dan tengok netizen cakap orang Kelantan itulah... inilah, pengotorlah. Tapi bila dah duduk ramai-ramai macam ni datang dari negeri-negeri berbeza. Tengoklah, siapa yang buat sepah? Siapa yang pengotor? Tak semua orang Kelantan pengotor!

"Tak bolehlah nak cakap macam tu, sebab tak semua orang jenis pengotor, malas. Ada juga jenis pembersih. Itu semua atas kesedaran individu tu sendiri bukan letak salah atas negeri dia," luahnya yang sedikit kesal dengan tanggapan tersebut.

Tambah Mursyid, walaupun rumah bersepah ini dianggap perkara biasa bagi sesetengah individu, namun perlu diingatkan ada kalanya ia mampu memberikan tekanan kepada penghuni yang lain.

Oleh itu, buanglah sikap pentingkan diri dan titipkan kesedaran dalam menjaga kebersihan dalam diri.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
rumah, sepah, rakan, pengotor

Artikel Lain