suria

‘Kaya’ anugerah, pelajar cemerlang ini tak pernah tuntut hadiah daripada bapa, tetap guna handphone ‘nazak’... kini iPhone jadi miliknya tanpa disangka!

(gambar kiri) Hafizuddin kini mengikuti pengajian Tahun Tiga Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan Veterinar di UMK. Foto Hafizuddin Gos Hambali, (gambar kanan) Hafizuddin (kiri) menerima ganjaran iPhone daripada penjual telefon pintar, Muhammad Asyraf Ab Rahim. Foto Muhammad Asyraf Ab Rahim

ANAK muda kini berlumba-lumba mengikuti perkembangan dunia gajet terkini sehingga kebanyakan mereka mempunyai telefon pintar yang canggih dengan harga ribuan ringgit.

Seorang pengguna Twitter baru-baru ini membangkitkan persoalan bagaimana segelintir pelajar institusi pengajian tinggi mampu mempunyai telefon pintar model terkini dan mahal.

“Dapatkan Dekan dan tuntut kat ayah kau!” demikian jawab seorang gadis kepada pertanyaan itu dengan merujuk kepada anugerah Dekan di atas kecemerlangan setiap semester sebagai tiket untuk memperoleh ganjaran telefon pintar daripada ibu bapa.

ARTIKEL BERKAITAN: Dikagumi kerana 7 semester dapat 4 Flat, Neelofa pun offer hadiah... graduan dedah hampir tukar jurusan - “Saya pernah menangis, banyak kali”

ARTIKEL BERKAITAN: Gagal 18 kali, belajar 11 semester baru dapat ‘degree’... bakal peguam pernah nak rempuh kereta orang - “Saya bukan slow learner”

ARTIKEL BERKAITAN: “Kau belajar main-main macam mana nak dapat” - Tragis kisah selempang pink... abah sebak, mak merajuk 2 hari

Namun, bukan semua dilahirkan di dunia ini dengan kemewahan dan kesenangan untuk merasai ganjaran itu meskipun memperoleh anugerah tersebut setiap semester.

Siri bebenang di Twitter mengenai isu telefon pintar dan keputusan Dekan.

Begitulah yang dialami oleh seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan Veterinar di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kota Bharu, Kelantan yang memperoleh keputusan dengan kepujian Dekan selama empat semester berturut-turut.

Pelajar tahun tiga itu, Hafizuddin Gos Hambali menjelaskan dia bukan dilahirkan daripada keluarga yang senang dengan bapanya bekerja sebagai guru.

“Sejak kecil, saya dididik oleh ibu bapa untuk tidak bersikap meminta-minta meskipun cemerlang dalam pelajaran. Saya pun sendiri faham keadaan keluarga macam mana.

“Sebagai bapa tunggal, ayah perlu menyara kehidupan kami tiga beradik yang masih belajar. Jadi, saya tak pernah minta ayah untuk belikan telefon baharu,” ujar pelajar berusia 25 tahun itu kepada mStar.

Hafizuddin menerima keputusan Dekan selama empat semester berturut-turut bagi pengajian ijazah sarjana muda.

Pemergian ibu akibat kanser paru-paru pada akhir 2012 membuatkan emosi Hafizuddin terganggu sehingga memberi kesan pada dirinya dan gagal dalam program asasi sains Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun berikutnya.

Bertitik tolak di atas kegagalan itu, pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang 8A masing-masing dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) itu nekad untuk bangkit dengan mencatatkan keputusan cemerlang.

Hafizuddin akhirnya berjaya memperoleh Anugerah Naib Canselor (ANC), iaitu keputusan cemerlang dengan kepujian Dekan setiap semester dalam pengajian Diploma Mikrobiologi di UiTM kampus Kuala Pilah di Negeri Sembilan pada 2016. 

Hafizuddin bersama keluarganya selepas menerima Anugerah Naib Canselor (ANC) di UiTM.

Anak jati Sungai Buloh, Selangor itu berkata, tiada apa yang melemahkan semangatnya selain mahu mengubah kehidupan keluarganya kepada yang lebih baik.

Hafizuddin yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu mengakui telefon pintar yang digunakannya sejak akhir 2014 itu sering berdepan dengan masalah.

Sebagai bapa tunggal, ayah perlu menyara kehidupan kami tiga beradik yang masih belajar. Jadi, saya tak pernah minta ayah untuk belikan telefon baharu.

HAFIZUDDIN

“Walaupun masih boleh guna tapi sebab dah lama, ada saja masalah macam susah nak connect dengan WiFi. Bateri pun tak tahan lama, lepas setengah jam dah kena caj dengan power bank,” tambahnya.

Hafizuddin bertuah apabila bebenangnya mengenai ‘telefon pintar’ dengan memuat naik kesemua sijil anugerah Dekannya disedari oleh seorang penjual telefon.

Bercita-cita untuk menjadi dokto veterinar.

Penjual telefon, Muhammad Asyraf Ab Rahim telah memberikan ganjaran berupa telefon iPhone 7 kepada Hafizuddin menyifatkan anak muda itu seorang yang merendah diri, rajin dan dibesarkan dengan baik oleh keluarganya.

“Saya ternampak bebenang dia dengan beberapa pengguna Twitter lain. Dan saya kagum dengan kecemerlangannya, dan telefon yang dia pakai itu pernah saya gunakan pada 2014. Bagi saya, ia merupakan sesuatu yang nostalgik.

“Saya berharap dengan pemberian telefon itu akan memberi semangat untuk dia meneruskan cita-citanya dan membuatkan ibu bapanya bangga dengan kejayaannya,” katanya sambil menambah persamaan mereka juga adalah pencinta kucing.

Ganjaran iPhone sebagai pembakar semangat Hafizuddin untuk terus berjaya dalam hidup.

Bercita-cita untuk menjadi doktor veterinar, Hafizuddin amat menghargai ganjaran tersebut yang disifatkan sebagai pembakar semangat untuk terus berjaya dalam hidup.

“Saya mendoakan dia dimurahkan rezeki dan nanti bila saya dah tamat pengajian nanti saya beri khidmat percuma untuk kucing-kucing dia pula,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
iPhone, veterinar, UMK, UiTM, Dekan, ANC

Artikel Lain