suria

Keriangan bertukar tragedi, dahi anak terbelah dihempap besi rosak di taman permainan- “Mama akan lawan kes ini”

Safika Sahri berkongsi cerita mengenai anak perempuannya yang mengalami kecederaan serius ekoran dihempap besi alatan permainan ketika bermain di taman permainan, baru-baru ini. Foto: Fb Safika Sahri

BERMAIN di taman permainan sememangnya merupakan perkara yang amat digemari oleh kanak-kanak.

Kebanyakan ibu bapa juga gemar membawa anak-anak mereka ke lokasi itu atau taman rekreasi untuk beriadah sambil melakukan aktiviti berfaedah bersama-sama.

Bagaimanapun dalam keseronokan menikmati saat-saat gembira bersama, jangan terlalu leka kerana malang boleh menjengah tanpa mengira masa.

ARTIKEL BERKAITAN: Darah keluar banyak sebab salah pasang tiub, doktor kata ‘tak ada masalah’... balik rumah isteri nak pitam tengok suami terketar tahan sakit 

ARTIKEL BERKAITAN: “Kami tengok betul-betul, jari kelingkingnya dah tinggal separuh” - Awas, pintu gril ada bahaya tersembunyi, kanak-kanak ini hancur semua urat! 

Begitulah yang berlaku kepada seorang kanak-kanak perempuan ini yang ditimpa kemalangan di sebuah taman permainan, baru-baru ini.

Menerusi satu posting di laman Facebook, ibu kepada kanak-kanak perempuan tersebut, Safika Sahri berkongsi cerita mengenai anak perempuannya, Ifra Mikayla yang mengalami kecederaan serius di bahagian dahi akibat dihempap besi salah satu alat permainan di sebuah taman permainan di Kampung Melayu, Kluang, Johor.

“Benda terlalu cepat berlaku di tempat kejadian. Allah… atas kecuaian pihak tak bertanggungjawab inilah yang jadi pada tubuh si kecil ini.

“Tempat di taman permainan Kampung Melayu Kluang,” tulisnya pada posting tersebut.

Posting yang dikongsi oleh seorang wanita mengenai insiden yang menimpa anaknya baru-baru ini tular di media sosial.

Wanita tersebut turut memuat naik beberapa keping gambar bersama posting tersebut.

Salah satu gambar tersebut menunjukkan kecederaan yang dialami sejurus kemalangan berlaku, yang mana jelas kelihatan dahi kanak-kanak tersebut terbelah panjang.

Turut dimuatnaik beberapa keping gambar menunjukkan keadaan besi alatan permainan yang menghempap anak perempuannya.

Alatan permainan tersebut kelihatan tumbang ekoran tapaknya tercabut dari lokasi ia dipasang.

Menurut wanita ini lagi, dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang berkaitan ekoran insiden tersebut.

“Insya-Allah mama akan lawan kes ini untuk Mikayla ya.

“Untuk peringatan semua, hati-hati jika bawa anak-anak ke tempat macam ini. Jangan leka walau sesaat sebab nanti kita yang menyesal. Biar anak menangis, jangan kita yang menangis,” tulis wanita itu sambil memohon netizen agar mendoakan kesembuhan buat anaknya.

Gambar anak perempuan yang dimuatnaik wanita bernama Safika di media sosial selepas menerima rawatan. 

Dalam perkembangan terbaharu, wanita tersebut memaklumkan bahawa keadaan anaknya beransur stabil dan sedang dalam proses penyembuhan.

“Alhamdulillah berkat doa daripada anda semua untuk anak kami Ifra sembuh dan kuat seperti biasa.

“Sekali lagi dari pihak kami sekeluarga memohon terima kasih banyak-banyak pada anda semua. Moga Allah saja dapat membalas jasa baik anda semua,” tulisnya lagi.

Posting tersebut mendapat sehingga 2,000 perkongsian, selain dibanjiri ratusan komen daripada netizen.

Rata-ratanya mendoakan kesembuhan buat anak wanita itu, selain memberikan kata-kata semangat buat dirinya dan keluarga.

“Allahu, moga diberi kesembuhan untuk anak kecil ini, amin. Untuk mak ayahnya, moga tabah dengan ujian yang diberi,” tulis seorang pelayar Mem Ayue.

“Semoga cepat sembuh anak awak, sakitnya tengok dia… Kuat semangat ye, semoga dipermudahkan urusannya, amin,” tulis Nur Atikah Abd Rahim pula.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain