suria

Model putus injap jantung, ibunya dikecam hantar anak ke hospital swasta kemudian rayu sumbangan - “Kalau terpaksa jual rumah, saya jual la...”

Aery kini terlantar di sebuah hospital kerajaan akibat jangkitan kuman pada injap jantungnya.

“SAYA sedih sangat apabila ada sesetengah pihak melemparkan tohmahan kepada saya dan keluarga,” demikian luah Noriza Yusuf yang kecewa dengan sikap segelintir pihak yang mempersoalkan tindakannya melancarkan dana bagi merawat anaknya, Muhammad Joharee Johari.

Joharee, yang mesra dengan panggilan Aery dalam kalangan ahli keluarganya kini terlantar di sebuah hospital kerajaan di Selangor, akibat jangkitan kuman pada injap jantungnya.

Bercerita mengenai Aery, 29, yang juga merupakan anak keempat daripada lima adik beradik, Noriza berkata penyakit tersebut dikesan menerusi ujian darah yang dilakukan baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kami tengok betul-betul, jari kelingkingnya dah tinggal separuh” - Awas, pintu gril ada bahaya tersembunyi, kanak-kanak ini hancur semua urat! 

ARTIKEL BERKAITAN: Darah keluar banyak sebab salah pasang tiub, doktor kata ‘tak ada masalah’... balik rumah isteri nak pitam tengok suami terketar tahan sakit 

“Sebenarnya, saya sudah dapat melihat perbezaan dan kelainan Aery sejak enam bulan lalu. Pada ketika itu, dia hilang selera makan, kelihatan lesu dan tidak bermaya.

“Malah dia juga akan memakai baju sehingga tiga empat lapis kerana terlalu sejuk. Jadi saya memintanya pergi membuat pemeriksaan kerana bimbang melihat keadaannya yang agak luar biasa itu.

“Aery pergi ke klinik kerajaan namun dia dimaklumkan bahawa badannya normal. Tapi apabila keadaan seperti tidak berubah, saya menyuruhnya membuat pemeriksaan di sebuah klinik swasta pula.

“Doktor di klinik tersebut kemudian membuat surat rujukan agar Aery dirujuk ke hospital untuk membuat pemeriksaan lanjut kerana keadaannya serius,” ujarnya kepada mStar

Joharee sebelum ini dirawat di sebuah pusat perubatan swasta.

Kata wanita berusia 57 tahun ini, Aery kemudian membuat pemeriksaan di sebuah pusat perubatan swasta kerana pada ketika itu, hospital kerajaan tiada pakar serta kekurangan katil.

“Di pusat perubatan swasta tersebut, bermacam-macam ujian dilakukan. Saya beritahu doktor, kenapa perlu buat pelbagai ujian kerana saya bimbang kewangan kami tak mencukupi. Mereka menerangkan bahawa ujian-ujian bukan dilakukan sewenangnya, tapi adalah untuk mengenal pasti penyakit.

Setiap hari, kos yang perlu ditanggung adalah sebanyak RM 1,500 iaitu empat suntikan antibiotik setiap enam jam dalam sehari. 

NORIZA YUSUF

IBU

“Akhirnya, hasil ujian mendapati bahawa terdapat jangkitan pada injap jantungnya, di mana kuman-kuman yang bersarang menyebabkan injap jantungnya putus. Doktor juga melakukan ujian untuk mengenal pasti antibiotik yang sesuai untuknya. Setiap hari, kos yang perlu ditanggung adalah sebanyak RM1,500 iaitu empat suntikan antibiotik setiap enam jam dalam sehari. 

“Kalau diikutkan, Aery perlu dirawat selama enam minggu di pusat perubatan swasta tersebut, dan dianggarkan menelan belanja sebanyakRM100,000 keseluruhannya. Namun dek kerana kekangan kewangan, Aery dipindahkan ke hospital kerajaan pada minggu lalu.

“Selama beberapa hari menerima rawatan di pusat perubatan tersebut, kos yang ditanggung memang di luar kemampuan. Disebabkan itu, kami terpaksa melancarkan dana. Namun ada pula suara-suara yang kedengaran, mengatakan mengapa kami pilih pusat perubatan swasta kalau dah tahu mahal?

“Sebagai seorang ibu, saya hanya mahu selamatkan nyawa anak saya. Itu saja. Kalau terpaksa jual rumah, saya jual la. Saya sedih dan terharu kerana ada juga orang yang tetap memberi sumbangan walau sedikit. Alhamdulillah, Allah bukakan hati mereka untuk membantu,” ujar ibu tunggal ini lagi.

Noriza menyifatkan Joharee sebagai seorang anak yang sangat baik dan manja.

Menurut Noriza, Aery yang merupakan seorang model dan bekas pramugara itu kini sudah lebih seminggu dirawat di hospital kerajaan sejak dipindahkan dari pusat perubatan swasta.

Apa yang membuatkan dirinya bertambah sedih ialah apabila melihat keadaan anaknya yang dahulunya seorang yang aktif, namun kini hanya terlantar di katil.

“Aery seorang yang aktif, suka melancong, suka mendaki bukit, menyelam, main futsal dan aktiviti lasak. Tapi tidak lagi sekarang selepas dia diuji dengan masalah kesihatan.

“Sebagai ibu, saya berharap untuk melihat anak saya kembali seperti dahulu. Saya sudah lama tidak bekerja. Wang perbelanjaan dan keperluan rumah banyak dibantu oleh anak-anak yang lain. Disebabkan itu, kami terpaksa melancarkan dana dan membuat hebahan di laman sosial.

“Kepada mereka yang mendoakan kesembuhan Aery dan juga memberi sumbangan kepada kami, saya nak ucapkan berbanyak terima kasih yang tak terhingga dari hati. Moga Allah merahmati dan berkati anda semua,” ujarnya mengakhiri bicara. 

Kepada yang ingin memberikan sumbangan, boleh hubungi talian 0172400835 (Noriza).

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
injap jantung, kuman, jangkitan

Artikel Lain