'LEPAK mana malam ni?' merupakan persoalan yang sering bermain di bibir remaja masa kini. Mana tidaknya, bagi mereka itulah antara aktiviti yang paling seronok dan santai dilakukan jika mempunyai masa terluang. Bagaimanapun, bukan semua golongan ini hanya lepak sambil berborak kosong, sebaliknya ada yang mengambil peluang ini untuk berkongsi ilmu, pengalaman serta membincangkan isu-isu yang dekat dengan mereka. ARTIKEL BERKAITAN: “Tak payah tegur, kunci pintu rumah!” - Nah... Idea ‘kasar’ buat isteri yang tawar hati, buntu suami asyik lepak sampai pagi Inilah yang berlaku ke atas sekumpulan sahabat ini yang mana posting tentang mereka sedang berkongsi ilmu agama ketika sedang melepak di sebuah gerai mamak di Ampang, tular di laman Twitter. Firdaus tak kekok berkongsi pengetahuannya terhadap persoalan yang diajukan oleh rakannya. Muhammad Firdaus Che Yusof, 19, yang merupakan salah seorang individu di dalam video tersebut berkata ketika itu dia sedang berkongsi ilmu mengenai dua jenis istighfar selepas ditanya oleh rakannya. "Kebetulan Jumaat malam tu saya free, saya turun jumpa mereka kat tempat biasa (mamak). Itupun selepas tiga bulan saya tak lepak dengan mereka. Kami lepak dari pukul 1 lebih masa saya datang sampailah pukul 4.30 pagi. Memang kami borak saja. "Kebetulan malam tu kawan ada tanya pasal istighfar 'hayul' dan 'hayyum', jadi saya kongsi apa yang saya tahu dan belajar. Saya beritahu sebenarnya tak ada masalah untuk sebut yang mana satu. Saya pun terangkan semuanya dan saya sendiri tak tahu kawan record saya," katanya ketika dihubungi mStar. Jelas Firdaus lagi yang merupakan salah seorang guru agama di Maahad Tahfiz Al-Fadhni, Hulu Langat, Selangor, dia bersama rakan-rakannya sering berbincang serta berkongsi pengetahuan sama ada ilmu berkaitan agama, hiburan dan sebagainya. Satu sahaja, kalau lepak tu buatlah perkara yang bermanfaat. Contoh macam kami sendiri, kadang-kadang tengah lepak dengar azan, kami akan berhenti pergi solat dulu. MUHAMMAD FIRDAUS CHE YUSOF Guru Agama "Macam remaja lain juga, mula-mula kami borak pasal motor, lepas tu pasal kawanlah dan macam-macam lagi. Dan sebenarnya malam tu kami baru habis main bottle flip challenge, jadi siapa tak dapat dirikan botol tu dia kena kongsi ilmu, tak kisah apa-apa," kongsi anak bongsu daripada enam adik beradik ini. Tambah anak kelahiran Ampang ini, dia pada mulanya tidak menyangka bahawa video berdurasi 0:41 saat yang dimuatnaik oleh seorang rakannya pada Sabtu menjadi tular serta mendapat perhatian ramai. "Alhamdulillah, ramai yang bagi kata-kata positif. Selain tu bila dah macam ni kadang-kadang boleh juga sangkal dakwaan sesetengah individu, ye lah bila tengok lelaki melepak je mesti ada yang cakap kami cerita pasal perempuanlah, merokoklah, buat yang bukan-bukan dan buang masa saja. "Tapi sebenarnya tidak, banyak benda yang ilmiah kami kongsi dan terpulang atas individu itu juga, ada yang jenis lepak nak main game saja, main telefon, tapi kalau saya bila lepak tu saya akan gunakan masa tu untuk bercakap sahaja. Memang tak akan pegang telefon, tanya itu, tanya ini," ujar Firdaus. 'Istighfar' menjadi topik yang dikongsikan oleh Firdaus kepada rakan-rakannya. Firdaus turut menafikan tanggapan sesetengah individu yang memandang negatif terhadap kumpulan anak muda yang melepak kerana aktiviti itu dianggap membuang masa. Malah katanya lagi, perkara sebegini bergantung kepada individu itu sendiri. "Satu sahaja, kalau lepak tu buatlah perkara yang bermanfaat. Contoh macam kami sendiri, kadang-kadang tengah lepak dengar azan, kami akan berhenti pergi solat dulu. "Kalau saya tak ajak, kawan lain yang ajak, sampai dah terbiasa. Wei dah azan, jomlah solat... habis je solat, masing-masing duduk diam-diam main phone kejap, lepas tu baru sambung lepak balik," ujarnya. "Kepada semua lelaki, kalau korang dapat kawan macam ni yang boleh lepak sembang agama. Maka, kamu berada di dalam persekitaran yang baik. Susah nak cari, jadi jaga mereka betul-betul," kata seorang netizen menerusi ruangan komen pada posting berkenaan.