"ELEH nak tunjuk baguslah tu! Sampah saja kot, itu pun nak bising-bising," antara kata-kata yang dilemparkan terhadap seorang lelaki yang menunjukkan sikap baik. Inilah realiti yang terpaksa kita hadapi kerana masih wujud segelintir masyarakat yang berfikiran cetek dan kurang kesedaran sivik terutama apabila ia melibatkan faktor kebersihan dan persekitaran. ARTIKEL BERKAITAN: Orang lain sibuk OOTD tapi pemuda ini selfie dengan sampah, siap tegur publik tak kira pangkat - “Kalau botol plastik ni bernilai, abang dah kaya” ARTIKEL BERKAITAN: Murid teruja sampai hilang fokus tengok lori sampah, cikgu taska terkedu lihat reaksi Wira Oren, “Mereka kata tangan busuk” Tular satu video berdurasi 0:57 saat yang dimuatnaik pada Isnin dengan kapsyen: 'Contoh mak bapak tak ajar! Biar kereta penuh sampah asalkan tak jadi sampah masyarakat'. Posting yang dimuatnaik menjadi tular di laman sosial. Menerusi posting tersebut, dapat dilihat seorang kanak-kanak dengan selamba membuang sampah ke luar dari dalam kereta yang dinaikinya. Walaupun ia dilakukan oleh seorang kanak-kanak, tindakan itu tetap menimbulkan rasa kurang senang orang ramai. Bagaimanapun, pendekatan bijak seorang lelaki yang dikenali sebagai Azham Aizad mendapat pujian ramai apabila dia bertindak keluar dari keretanya dan mengutip semula sampah tersebut. Azham ketika dihubungi mStar berkata insiden tersebut berlaku semasa dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Jalan Semarak pada petang Isnin. "Masa tu saya dalam perjalanan balik kerja lebih kurang pukul enam petang, menuju ke Jalan Tun Razak. Ketika tunggu lampu isyarat tu hijau saya perasan kereta sebelah buka tingkap dan buang sampah macam tu saja. "Bengang juga masa tu, saya terus tekan hon. Saya harap bila dah kena hon tu pemandu kereta berkenaan keluarlah kutip balik sampah yang anak dia buang. Tapi langsung tak, dia buat bodoh saja," katanya. Azham mengutip semula sampah yang dibuang dan menyelit di wiper kereta berkenaan. Jelas Azham, dia kemudian mengambil keputusan untuk keluar dari kereta dan mengutip semula sampah yang dibuang oleh kanak-kanak berkenaan sebelum menyelit sampah tersebut di wiper kereta tersebut bagi memberi pengajaran kepada orang dewasa di dalamnya. "Tunggu punya tunggu tak ada respons juga, saya ambil keputusan bagi lampu isyarat kecemasan dan buka pintu kereta, tengok trafik OK saya pergi kutip sampah tu dan selit pada wiper cermin kereta orang tu. "Tak ada maksud pun nak undang provokasi atau pergaduhan kat situ. Niat saya hanya nak bagi kesedaran saja. Saya tahu kalau saya selit kat situ, sampah tak akan jatuh," katanya. Kongsi lelaki berusia 30 tahun ini lagi, dia percaya tindakan selamba itu bukanlah daripada kanak-kanak berkenaan namun disuruh oleh ibu bapanya. Ikut logik akal, budak-budak kalau buka tingkap mesti lambat-lambat. Satu nak buka tingkap sampai habis. Kedua, lepas buang dia nak main-main dulu. Tapi ini tak, buka pun sikit dan cepat. AZHAM AIZAD HAMDAN Katanya sampah yang dibuang oleh kanak-kanak berkenaan adalah plastik jajan atau makanan ringan. "Kalau lihat cara tingkap dibuka dan ditutup, saya tak rasa budak tu yang buat. Saya rasa ayah atau ibu budak tu yang buat, dia buka tingkap dan suruh budak tu buang. Sebab ia berlaku terlalu cepat, lepas saja buang terus tutup. "Kalau ikut logik akal, budak-budak kalau dia buka tingkap mesti lambat-lambat. Nak buka tingkap sampai habis. Kemudian lepas buang dia nak main-main dulu. Tapi ini tak, buka pun sikit dan cepat," kata bapa kepada seorang cahaya mata ini. Jelas Azham yang bekerja sebagai perunding hartanah, ada kemungkinan pemandu berkenaan tidak mahu keretanya kotor lantas menyuruh anaknya membuang sampah ke luar tanpa memikirkan tindakan tersebut boleh menjejaskan persekitaran dan alam sekitar. Azham bersama anak lelakinya yang berusia enam tahun. "Mungkin dia tak suka anak kotorkan kereta, jadi dia suruh anak buang sampah ke luar. Alah, bukannya kotor sangat pun sampah tu bekas plastik jajan saja, pada saya benda tu bukanlah kotor mana pun," ujarnya. Selain menerima pujian ramai, lelaki ini turut dikecam kerana ada yang menganggap tindakannya memuatnaik video tersebut sebagai mahu menunjuk-nunjuk. Azham bagaimanapun menafikan dakwaan dia 'meminta pujian orang ramai' sebaliknya dia hanya mahu berkongsi serta memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya menjaga persekitaran. "Itu semua spontan, kebetulan trafik tak sesak. Jadi saya ambil peluang itu, mungkin itu cara yang sepatutnya untuk menegur orang macam ini. Dan terfikir juga takut-takut timbul pergaduhan atau provokasi kat situ. "Yelah kalau kita tengok sekarang ni, banyak kes bergaduh tengah jalan sebab perkara kecil. Lagipun saya tahu masyarakat sekarang ni sangat sensitif dan tak boleh terima teguran orang. Apa-apa pun saya bersyukur, tak ada apa-apa yang berlaku. Andai kata terjadi pun saya akan selesaikan dengan cara yang berhemat," luahnya. Komen netizen pada posting tersebut. Jelasnya lagi, nilai-nilai murni serta kesedaran sivik ini perlulah diajar kepada anak-anak sejak kecil supaya mereka sedar dan lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar. "Jangan salahkan anak-anak kalau mak ayah yang tak tahu mendidik! Nilai-nilai sivik macam ni harus diajar bermula dari rumah. Tak payah bagi contoh jauhlah, bila ibu bapa buat macam ini, lama kelamaan anak-anak fikir benda ni tak salah malah sudah jadi kebiasaan pada mereka. Anak saya sendiri, lepas saya tunjuk video ini dia tanya saya, 'eh, kenapa budak tu buang sampah merata-rata?'. Tengok budak pun tahu benda tu salah, ni yang masalahnya orang tua. "Lagipun bukannya masyarakat tak tahu kesannya. Ya memang bagi mereka, 'eleh sampah saja pun, itu pun nak bising'. Cuba fikir kalau dah ramai yang buat macam ni, tak ke tersumbat longkang-longkang. Bila banjir, salahkan sana... salahkan sini," kata Azham yang kecewa dengan sikap sesetengah individu. Respect cara lelaki ini "sekolahkan" pengguna jalan raya yang tiada kesedaran sivik. pic.twitter.com/Cu9uMaIaJY — MyWatch (@My_CrimeWatch) November 18, 2019