MEMANG menjadi lumrah, bintang bola sepak sama ada tempatan mahupun luar negara pasti menjadi tumpuan dan idola ramai, khususnya gadis-gadis. Bukan kerana aksi dan skil di atas padang saja, bahkan paras rupa seseorang bintang bola sepak itu juga menjadi antara faktor mengapa mereka begitu digilai ramai. ARTIKEL BERKAITAN: “Dipersilakan serang IG suami, mak bapak jangan buat main” - Isteri pemain Harimau Malaya sarat mengandung jadi tempat lepas geram penyokong ‘over’ ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar laung azan nak suruh kawan berhenti main futsal… Sudahnya jadi rebutan nak dibuat calon menantu Tidak terkecuali bagi gadis ini yang amat meminati pemain sayap skuad Harimau Malaya, Akhyar Rashid. Siti Aminah Adnan, 18, mendedahkan dia pernah mengalami depresi gara-gara hasrat untuk berjumpa dengan bintang bola sepak yang diminatinya tidak kesampaian. “Saya pernah alami kemurungan tahun lepas. Waktu itu saya ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menonton perlawanan bola sepak. “Pada masa itu memang niat saya nak berjumpa dengan Akhyar sebab saya betul-betul minat dia. Tapi hasrat untuk berjumpa dia tak tercapai. Masa itu saya nak ambil gambar dengan dia tapi salah seorang peminat yang lain tolak saya jatuh sampai siku tangan terluka. “Saya murung dekat sebulan, rasa macam bukan diri saya saja. Kadang-kadang saya menangis kerana tak boleh terima apa yang terjadi,” ujarnya kepada mStar. Paparan skrin pengakuan Siti yang pernah mengalami depresi gara-gara hasrat bertemu Akhyar tidak kesampaian. Gadis yang berasal dari Semeling, Kedah ini juga berkata, dalam tempoh sebulan mengalami kemurungan itu, selera makannya juga berkurang malah turut berdepan masalah tidur. Bagaimanapun gadis yang mesra disapa Siti ini, dia akhirnya sedar dan bangkit daripada masalah tersebut selepas dinasihati rakan-rakan dan keluarga. “Satu hari tu saya bangun tidur dan berfikir sebelum mandi dan solat. Selepas solat tu saya menangis lagi dan kemudian saya cuba kuatkan semangat untuk atasi kemurungan dan lupakan apa yang berlaku sebelum ini,” ujarnya yang kini bekerja di kedai makan milik ibu bapanya. Siti berkongsi tangkap layar daripada galeri di telefon bimbitnya yang dipenuhi dengan foto-foto Akhyar. Ujar Siti lagi, kini keadaannya sudah kembali seperti sedia kala, namun dirinya masih menyimpan hasrat untuk bertemu dengan pemain pasukan JDT itu sekiranya diberi peluang. “Saya fikir ini adalah satu pengajaran bagi saya. Dan ya, saya fikir bukan senang untuk kita bergaul dengan orang yang terlampau banyak peminat,” katanya. Satu hari tu saya bangun tidur dan berfikir, sebelum mandi dan kemudian solat. Selepas solat tu saya menangis lagi tapi selepas itu saya cuba atasi kemurungan dan lupakan apa yang berlaku sebelum ini. SITI AMINAH PEMINAT AKHYAR RASHID Siti menambah, minat terhadap Akhyar bermula sejak pemain bola sepak berusia 19 tahun itu bernaung di bawah pasukan Kedah lagi. “Saya minat dia sebab kacak, itu sudah pasti. Tapi perangai lawaknya juga buat saya meminatinya. Saya tahu dia orang Alor Setar, Kedah tapi bukan senang nak bertemu dengannya,” ujar Siti lagi. Malah katanya, galeri di telefon bimbitnya juga dipenuhi dengan gambar-gambar Akhyar. “Kalau saya diberi peluang untuk bertemu dengannya, saya nak nak kenal dia macam kawan-kawan. Saya nak beri dia hadiah. Saya juga nak ambil gambar dengannya. Tapi kalau betul dapat jumpa, saya rasa terharu tak tahu nak cakap apa,” katanya. Ditanya mengenai keputusan SPM, menurut Siti Aminah, dia tidak berpeluang untuk menduduki peperiksaan berkenaan kerana hanya bersekolah sehingga Tingkatan Dua. “Saya dahulu bersekolah di sekolah menengah agama dan tinggal di asrama. Namun ketika di Tingkatan Dua, saya berhenti kerana ayah saya jatuh sakit. “Jadi sejak itu saya tak bersekolah kerana perlu mencari wang untuk keluarga dan juga menjaga ayah yang sakit,” ujar anak sulung daripada tiga beradik ini. Dia juga tidak ketinggalan menyaksikan perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Indonesia malam tadi kerana mahu melihat aksi Akhyar di padang.