suria

Restoran jadi sasaran pelajar menjelang cuti sekolah, kali ini pemiliknya sebak didatangi remaja miskin - “Jawapannya buat kami tersentuh”

Seorang pemilik restoran berkongsi kisah remaja yang ingin mencari kerja di restorannya sewaktu cuti sekolah tidak lama lagi bagi meringankan beban keluarga.

"SEJUK perut ibu mengandung!"

Begitulah komen netizen terhadap perkongsian seorang wanita mengenai kegigihan seorang remaja lelaki yang mahu mengisi waktu lapang dengan bekerja ketika musim cuti persekolahan tidak lama lagi.

Menerusi satu perkongsian di Facebook, wanita yang bernama Amelia Tamby Hussin menceritakan satu peristiwa yang mana restoran yang diusahakan bersama suami didatangi oleh seorang remaja lelaki yang bertanyakan sekiranya mereka memerlukan pekerja.

ARTIKEL BERKAITAN: Kisah remaja 13 tahun tidur di lorong imbas pengalaman guru minum air paip, makan roti ‘expired’ – “Tu dia, homeschooling pun pandai sebut... English kau!” 

ARTIKEL BERKAITAN: Tak mudah terima sedekah, Tok Bibah jual botol kosong, barang lusuh cari rezeki... mampu hantar anak angkat masuk universiti! 

Menulis dalam posting tersebut, Amelia berkata melalui pengamatannya, remaja lelaki tersebut bukan berasal daripada keluarga yang senang.

Posting tersebut menjadi tular di Facebook, yang mana ramai netizen melahirkan rasa kagum dengan sikap remaja itu yang sanggup mengenepikan kegembiraan menikmati musim cuti dengan melakukan pekerjaan bagi membantu keluarga.

Ketika berkongsi cerita bersama mStar, Amelia berkata dia dan suaminya berlapang dada untuk menerima remaja yang dikenali sebagai Iskandar itu untuk menjadi salah seorang pembantu di restoran milik mereka.

Perkongsian Amelia yang tular di Facebook.

“Sebenarnya, sebelum ini beberapa kali restoran kami pernah didatangi oleh pelajar sekolah menengah yang mahu mencari duit poket dengan bekerja sebagai pembantu atau pelayan.

“Antaranya, seorang gadis bernama Ayu yang bekerja di sini sejak dia tingkatan tiga. Memang tersentuh tengok dia gigih nak cari duit poket. Kini dia sedang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memerlukan masa yang lebih untuk ulangkaji, jadi memang kami beri kebebasan kepadanya.

“Dan baru-baru ini, datang pula seorang remaja lelaki yang bertanya sama ada kami mahukan pembantu di restoran. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Iskandar. Kami pun bertanya mengapa dia nak kerja, dan jawapannya memang buat kami tersentuh.

“Rasa sebak bila dia beritahu nak cari duit untuk ringankan beban mak ayah. Dalam hati berkata, bagusnya budak ini… mesti dia seorang anak yang baik. Dari cara dia berpakaian pun boleh tahu dia bukanlah dari keluarga yang senang,” ujarnya yang mengusahakan Restoran Nasi Beriyani Haji Tamby yang terletak di Padang Temu, Melaka sejak 10 tahun yang lalu.

Komen netizen yang memuji pendekatan Amelia membantu remaja lelaki tersebut.

Bercerita lebih lanjut, Amelia berkata selain Iskandar dan Ayu, dia juga mengkagumi beberapa remaja dan anak muda lain yang pernah bekerja di restoran mereka di mana rata-ratannya mempunyai niat yang sama, iaitu membantu meringankan beban keluarga.

“Ada seorang remaja ni namanya Lan. Dia pernah bekerja dengan kami tak lama dahulu. Bila dapat gaji pertama sahaja, dia beritahu nak belanja ibu dan ayahnya ikan bakar. Sejuk telinga kami mendengar,” ujarnya lagi.

Menurut wanita berusia 39 tahun ini, dia gembira dapat membantu remaja seperti Iskandar kerana baginya, apa yang lebih penting adalah sikap dan niat mereka yang ikhlas ingin meringankan beban keluarga.

Rasa sebak bila dia beritahu nak cari duit untuk ringankan beban mak ayah. Dalam hati berkata, bagusnya budak ini…mesti dia seorang anak yang baik. Dari cara dia berpakaian pun boleh tahu dia bukanlah dari keluarga yang senang.

AMELIA TAMBI HUSSIN

PEMILIK RESTORAN

“Bila cuti sekolah, selalu kita dengar berita tentang kemalangan atau tragedi lemas. Belum lagi kalau bercampur sesama rakan, bimbang ada aktiviti kurang sihat. Jadi daripada mereka membuatkan ibu bapa susah hati, lebih elok jika masa cuti itu dimanfaatkan aktiviti berfaedah seperti mencari duit poket.

“Bukan saja duit poket, tapi mereka juga dapat pengalaman dan lebih penting, mereka sebenarnya sudah menerapkan dalam diri mengenai sikap tanggungjawab,” ujarnya sambil menambah, pekerja kategori remaja hanya diberikan pekerjaan sebagai pelayan ataupun di bahagian hadapan sahaja.

Dalam pada itu kata Amelia, dia dan suami sentiasa memberi kebebasan kepada pekerjanya sekiranya mereka mahu menimba pengalaman di tempat baharu.

“Kami di sini hanya membantu, dan menjadi batu loncatan untuk mereka. Sekiranya mereka dapat tawaran sambung belajar atau dapat pekerjaan yang lebih bagus, kami galakkan mereka pergi.

“Saya bersyukur kerana Allah memilih saya sebagai asbab untuk membantu mereka. Saya pun dahulu sama seperti mereka, kalau ibu bapa angkat saya tak ambil saya sebagai anak angkat, saya tak akan berada di tahap ini. Kini tiba pula giliran saya untuk berkongsi rezeki. Mudah-mudahan ini menjadi amal jariah saya di sana kelak,” ujarnya mengakhiri bicara. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
remaja, cuti sekolah, duit poket, miskin

Artikel Lain